Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya.

Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas ibubapa saya dan ibubapa mertua saya. Juga ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. Segala pujian bagi Allah (peringatan ini untuk diri sendiri) . Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Friday, 31 March 2017

(selingan) : Perginya Mak yang Kami Kasihi

Bis-mil-laa-hir-rah-maa-nir-ra-hiiiiiim.
Dengan nama Allah, Maha Pemurah, Maha Pengasih.


Dah lama peringatan ini digantung di klinik saya........
Kini, barulah saya faham perasaan anak kehilangan ibu.



" Terima kasih atas ucapan takziah dan doa. Maaf lambat membalas dan tidak dapat membalas secara personal. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan untuk arwah Mak, dari saat tiba-tiba sesak nafas tak sampai 10 minit pada pukul 2 lebih pagi tadi, sehinggalah dikebumikan selepas Zuhur sebentar tadi, Mak kini di tempat yang lebih baik dan kami bersyukur dengan rahmatNya ke atas roh Mak, mudah-mudahan. Hiba kami adik-beradik kerana kini tiada lagi ibu yang sentiasa mendoakan kami. Sekarang kami yang kena terus mendoakan kesejahteraan Mak. Semoga Abah tabah. Bertuahlah mereka yang masih ada ibu. "


Itulah yang saya whatsapp kepada puluhan kiriman takziah dan doa untuk kami/Mak. Terima kasih kerana turut mendoakan kesejahteraan roh arwah emak kami.

.
.
.

Betapa sucinya kasih seorang ibu.....


Mak yang melahirkan kami.
Mak yang menyusu kami, membesarkan kami.
Mak yang mengajar kami ABC.
Mak sebenarnya guru Bahasa Inggeris dan Matematik sekolah rendah.


Mak yang pernah menceritakan waktu awal 'persekolahan' saya : "Satu benda pun Dilah ni tak tahu" pada usia saya 5 tahun sewaktu mengikuti Mak untuk 'sekolah tumpang Darjah 1'. Betapa saya mulanya hanya suka mengoyakkan buku rampai sekolah dan kemudian berubah menjadi baik (pandai la tu) apabila tahun berikutnya saya masuk sekali lagi ke dalam darjah 1 dan tidak mustahillah apabila saya benar-benar bersekolah formal Darjah 1 di sekolah lain di bandar Melaka (tahun ke-3 saya belajar Darjah 1), tugas guru sekolah mendidik saya menjadi sangatlah senang. Mak lah yang mengajar saya ABC dan mengeja sambil kami berjalan kaki dari pekan Umbai menuju ke rumah (kerana tiada bas awam masuk ke kampung kami pada waktu itu).


Mak yang mengajar kami mengaji alif, ba, ta dan Muqaddam dan kemudiannya al-Quran sehinggalah kami khatam sewaktu sekolah rendah. Berkali-kali juga dicubit dan dikutil Mak sehingga menangis. Mak juga yang menjemput beberapa kawan sekolah agama kami (kami bersekolah rendah di bandar tetapi bersekolah rendah agama di kampung) makan mi goreng setelah kami khatam al-Quran. Kini, selepas kematian Mak, sungguh terasa bersyukurnya kami apabila dapat mengaji lancar kerana di samping bacaan ini kami dapat sedekahkan untuk Mak, kami juga memanjangkan pahala ilmu Mak mengajar kami mengaji al-Quran dahulu. Kini lebih terasa bersyukur pula /berbaloi kena cubit dan kutil tu. 


Mak juga yang turut 'berusaha' dengan peperiksaan pengajian kami. Mak yang memang akan berpuasa pada setiap hari kami mengambil peperiksaan bermula Peperiksaan Penilaian Darjah 5 sehinggalah peperiksaan terakhir pengajian kami di universiti. Setiap hari peperiksaan, Mak akan berpuasa. Jika SPM mengambil masa 2 minggu, pada hari-hari peperiksaan sepanjang 2 minggu itulah Mak berpuasa untuk kelima-lima anaknya ini. Betapa Mak memang sangat mengasihi kami. Saya sendiri tidak pernah berpuasa pada hari-hari Iman menduduki peperiksaan setakat ini. Mak yang tidak putus-putus mendoakan anak-anaknya ini. Apa pun keputusan peperiksaan kami selepas itu (dan kemudian pula cucu-cucunya), Mak akan senyum lebar sambil berkata "Alhamdulillah!". Tidak pernah membanding-bandingkan kepandaian anak-anak mahupun cucu-cucunya.


Mak yang (bersama Abah) menelan kepahitan membesarkan anak-anak hanya berasaskan gaji bulanan Cikgu sekolah rendah yang tidaklah sampai RM1300 pun ketika itu. Mak yang rupa-rupanya sewaktu masih bekerja/mengajar, kerana malu sekiranya ditegur mengapa tidak makan bersama sewaktu rehat di sekolah, sanggup berpuasa kerana terpaksa berjimat 'mengikat perut' demi membesarkan kami (kami hanya diberitahu dalam dekad terakhir hayat Mak). Mak yang pernah baki buku banknya sebanyak tidak sampai RM10 pun kerana menanggung keperluan dan kehendak anaknya. 


Mak yang masih menyelimutkan anak-cucunya lewat tengah malam sedang mereka dibuai mimpi apabila di kampung, walaupun kami dan berusia 20-30 tahun (dahulu di kampung kami tidur berlambak di ruang tamu, kemudian tidak lagi setelah memahami aurat di hadapan ipar-duai).


Mak yang jarang mengadu sakit walaupun jelas keuzuran tubuhnya setelah menjangkau 70 tahun. Mak yang selama ini risaukan kesihatan Abah, rupa-rupanya Mak yang pergi lebih dahulu. Mak kami meninggal dunia pada usianya 72 tahun 5 bulan.


Itulah Mak kami. Banyak kebaikannya yang saya tidak terkira.


Namun, Mak itu jugalah yang sepanjang usia saya memasuki 47 tahun ini, saya pasti pernah lebih daripada sekali mengecilkan hatinya, melalui tutur kata dan gerak laku saya, cuma hanya dia sahaja yang tidak menunjukkannya. Berdosanya saya terhadap Mak. Ampunkan Ilah, Mak. Ampunkan hamba, wahai Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih.....

.
.
.

Mak meninggalkan kami pada saat kami tidak menjangka kematiannya rupa-rupanya mendahului Abah (yang kini hampir memasuki 78 tahun). Namun, kami redha dan gembira dengan 'betapa mudahnya' urusan pemergian Mak. Begitu hebatnya perancangan Allah yang memudahkan segalanya untuk Mak. Abah bersyukur beliau 'menghadap dan memimpin' Mak dari Mak sebelum nazak sehinggalah Mak menghembuskan nafas terakhirnya. Cuma Abah hiba mengadu kepada kami apabila mengenangkan siapakah pula yang akan 'menghadapnya' untuk memimpinnya di saat kematiannya kelak. Abah dapat mendengar Mak mengucap kalimah syahadah penuh kali pertama, masuk kali kedua hanya sebahagian sahaja kedengaran sebelum lidahnya kelu. 


Semua ahli keluarga terdekat sempat bertemu Mak dalam minggu terakhir hayatnya (kecuali adik bongsu bersama suaminya di Melaka yang memang selama ini menemani menemani Mak di rumah dan adik lelaki Mak yang tinggal di Johor). Abang di NS sempat mengunjungi Mak sebentar sewaktu Mak di rumah saya. Mak meninggal di rumah anak terakhir kunjungannya (Mak dan Abah sedang menziarahi kami bertiga yang duduk di Lembah Klang). Kami sangat-sangat bersyukur.

.
.
.

Urusan Jenazah Mak.

Saya mengalami sedikit halangan kerana terpaksa ke PHKL dahulu untuk melakukan prosedur Embryo Transfer (ET) yang dijadualkan pada tengahari hari itu.

Di dalam keheningan awal pagi di rumah adik saya (tempat Mak meninggal) dengan penuh rasa hiba:

- Abah bersama kami 3 anak-menantu dan cucu-cucu mengemaskan jasad Mak,

- kemudian kami duduk di sekeliling jasad Mak sambil berdoa dan membaca al-Fatihah dan Yaasin berkali-kali,

- di dalam kehibaan kami yang masih terkejut kehilangan Mak secara tiba-tiba,

- di dalam kami menenangkan Abah yang pastinya paling sedih di antara kami,

- di dalam kesibukan abang dan adik bongsu serta warga kampung menguruskan persiapan pengkebumian,

- di dalam urusan menantu-menantu membantu menguruskan laporan polis dengan bantuan/makluman staf HKL yang datang bersama ambulans (sempat melakukan resusitasi sebagai protokol); mendapatkan permit pengkebumian (rupa-rupanya mereka kena berpindah pergi ke Balai Polis di tempat lain pula), urusan van jenazah untuk penghantaran jenazah dari KL ke Melaka sejurus selepas Subuh,

- di dalam perkhabaran telefon / whatsapp kepada keluarga sebelah Mak dan Abah;

- di dalam menunggu ketibaan van jenazah

- saya pula terpaksa mencuri / menggunakan masa (yang sepatutnya saya tumpukan untuk membaca ayat-ayat al-Quran untuk Mak) untuk mengaturkan urusan prosedur ET. Saya telefon pihak OT dapat menyediakan staf/slot (walaupun sebenarnya kes OT untuk pukul 8 telah penuh ditempah) untuk saya mempercepatkan masa ET dari tengahari itu kepada pukul 8am. Saya hubungi pesakit memaklumkan untuk datang ke hospital lebih awal kerana waktu ET dipercepatkan. Saya hubungi embriologis untuk datang sebelum pukul 7 pag bagi memeriksa embrio sama ada sesuai untuk dilakukan ET pada hari itu ataupun tidak. Saya hubungi pembantu klinik untuk membatalkan klinik pada hari itu.


Ada juga terfikir untuk meminta pertolongan doktor lain melakukannya tetapi apabila meletakkan diri saya 'di dalam kasut' pesakit tersebut, hati ini tidak sampai hati pula. Dengan profil beliau yang telah berusia 42 tahun, berkahwin hampir 10 tahun, masih belum pernah hamil, hanya mempunyai 1 embrio sahaja untuk dimasukkan, memilih 'Fresh ET' pula, embrionya pula lewat berkembang (hari tersebut, day-6 baru jadi blastocyst), saya memang tidak sampai hati memindahkannya kepada doktor pengganti. Prosedur ET beliau sepatutnya sehari sebelum itu tetapi saya tunda kerana embrio masih belum berkembang baik. Kini, apabila embrio telah menjadi blastocyst, prosedur ET beliau tidaklah boleh ditangguhkan lagi harinya (ada kemungkinan keseluruhan embrio telah 'completely hatched' keluar dari sarung embrio untuk masa yang lama jika ditunda keesokannya. Keesokan pula day-7). Bukanlah sebab hendakkan bayarannya (caj ET untuk doktor selepas ditolak caj hospital, zakat dan LHDN - tinggal tidak sampai pun RM700). Wang bukan faktor dalam hal ini. Hatta jika bayaran RM 10 ribu pun, tidak sama dengan peluang sekali seumur hidup memandikan dan mengkapankan jenazah ibu sendiri.


Di dalam fikiran, sempat ke tidak ni sampai ke Melaka sebelum jenazah Mak dimandikan? Sempat ke tidak sebelum jenazah dikapankan? Sempat ke tidak sebelum jenazah dikebumikan? Saya hanya berdoa dan berserah kepada Allah. Suami juga ada kes pembedahan histerektomi (membuang rahim/uterus) tetapi beliau dapat menangguhkannya kepada keesokan harinya. Kasihan juga kepada pesakit tersebut yang telah membuat persiapan termasuk berpuasa. Mujurlah beliau memahami. Beliau juga sanggup menunggu (diberi pilihan sama ada meneruskannya pada hari tersebut bersama doktor lain atau menunda kepada keesokannya).


Inilah antara tanggungjawab / tugas kami sebagai doktor. Ada yang pernah menyifatkan pekerjaan doktor sebagai 'no life'. Ada kalanya, tidak dapat dielakkan untuk kami mendahulukan pesakit daripada keluarga kami sendiri ...... daripada ibu kandung kami sendiri....

.
.
.

Sementara adik-adik dan Abah bersedia menunggu ketibaan van jenazah untuk ke Melaka, kami pulang ke rumah untuk bersiap-siap. Selepas Subuh, kami berempat (saya, suami, Iman dan Umu - 'home manager' kami) ke PHKL. Suami berjumpa pesakit yang ditunda pembedahan histeroktomi. Iman dan Umu menunggu saya di ruang lobi hospital. Pukul 7 pagi saya telah menunggu ketibaan pesakit di kaunter kemasukan wad dan mengiringi sendiri pesakit mendaftar di kaunter serta kemudiannya masuk ke wad. 


Sekitar pukul 8.30 saya selesai melakukan prosedur ET. Kami pun terus ke Melaka selepas itu.  Saya anak yang terakhir sampai ke kampung. Orang telah ramai tiba. Setibanya di Melaka (sebelum pukul 11 am), rupa-rupanya jenazah Mak baru sahaja mula dimandikan dipimpin oleh Bilal perempuan masjid kampung kami.  Alhamdulillah, saya sempat. Saya pun mencelah (Lily dan Liza sedang membantu) memandikan jenazah Mak kami sambil kami adik- beradik membaca al-Fatihah berulang kali sehinggalah jenazah Mak selamat kami kapankan. Selepas itu, kami duduk di sebelah pembaringan Mak sambil berdoa dan mengulangi bacaan Yaasin serta sesekali hanya menyambut salam mereka yang menepuk bahu/menghulurkan tangan.


Suasana menjadi penuh hiba apabila kami adik-beradik meletakkan tangan di belakang/bahu memujuk hati sesama sendiri sewaktu kami bergilir-gilir mencium Mak buat kali terakhir. Air mata saya masih berlinangan mengingatkan hibanya kami teresak-esak sambil menyapu airmata sebelum mencium Mak. Saya memberitahu kepada yang hadir;


"Kami bersyukur Mak pergi dengan mudah dan kami percaya Mak kini berada di tempat yang lebih baik. Tetapi kami adik-beradik menangis kerana kami sedih kini Mak yang selama ini selalu mendoakan kami kini dah tak ada (di dunia)".

Ya. Kini kami kehilangan sesuatu yang sangat berharga : doa seorang ibu.


Solat jenazah dilakukan 2 sesi. Sesi pertama oleh hadirin lelaki. Kemudian, anak-anak dan cucu-cucu perempuan pula solat jenazah disertai oleh sepupu-sepupu Mak, anak-anak saudara dan anak-anak saudara sepupu serta beberapa orang kampung perempuan turut serta dalam solat jenazah kedua (perempuan) yang bermakmumkan menantu lelaki Mak yang paling tua. 


Urusan pengkebumian juga berjalan lancar. Bertuahnya Mak.

.
.
.

Kini, hampir 3 minggu Mak meninggal dunia.
.
.
.

Ya Allah, Maha Pengampun, Maha Pengasih.


Ampunilah emak kami, rahmatilah beliau, sejahterakanlah beliau dan maafkanlah beliau. Kasihanilah beliau sebagaimana beliau mengasihi kami sejak kami kecil lagi.

Ampunilah juga bapa kami, rahmatilah beliau, sejahterakanlah beliau, maafkanlah beliau, tenangkanlah hati beliau menyusuri hari-hari bersendirian tanpa emak kami di dunia ini. 

Ampunilah arwah-arwah keluarga kami, rahmatilah mereka, sejahterakan mereka dan maafkanlah mereka.

Ampunilah kami semua yang masih hidup ini, rahmatilah kami, sejahterakanlah kami dan maafkanlah kami. 

Ampunilah semua dosa kami terhadap emak kami. Terimalah dan makbulkanlah semua doa kami untuk emak kami. Sampaikanlah kerinduan kami kepada Mak. Hadirkanlah roh Mak dalam mimpi kami, dalam keadaan/berita menggembirakan. Berilah rahmat ke atas kami untuk kami sentiasa berubah ke arah yang lebih baik dan menjadi anak yang solah/solehah supaya doa dan sedekah kami untuk Mak diterima. Berilah kebahagian pada Abah dalam jagaan kami. 

Mudah-mudahan dengan rahmatMu, kami semua akan berbahagia berkumpul di sana. Kami percaya, roh emak kami juga masih mendoakan kami yang baik-baik. 

.
.
.

Tiga amalan yang berterusan selepas kematian seseorang :

1. Sedekah jariah
Kini tugas kami untuk meneruskan lagi amalan Mak bersedekah jariah, termasuk meneruskan amalan beliau yang selepas solatnya, sering mengaji al-Quran bersedekah kepada arwah-arwah ibubapanya dan ahli keluarga besar kami yang telah meninggal dunia.


2. Ilmu yang bermanfaat
Mak memang bertuah (saya selalu kata 'guru ni pekerjaan yang mulia'). Pekerjaan Mak sebagai guru (walaupun hanya guru sekolah rendah, tetapi juga guru mengaji al-Quran kepada kami berlima) memberi Mak kelebihan dengan pahala ilmu yang disampaikannya berpanjangan walaupun selepas kematiannya. 


3. Doa anak yang soleh
Kami berazam untuk menjadi orang yang lebih baik, soleh dan solehah, agar doa kami untuk Mak diterima dan dimakbulkan Allah. Semoga Allah merahmati kita semua untuk menjadi anak yang soleh/solehah supaya doa kita untuk ibubapa kita diterimaNya. Hubungan kami adik beradik kini juga baik/bertambah rapat. Banyak sunguh rahmat Allah kurniakan.

.
.
.

Dan saya selalu berpesan kepada pesakit-pesakit saya untuk :

- sentiasa membahagiakan kedua ibubapa mereka dan ibubapa mertua mereka sementara mereka masih hidup,

- untuk sentiasa menunjukkan kasih kepada mereka sehingga mereka dapat rasakan betapa kita kasihkan mereka seperti mereka kasihkan kita dari kita kecil lagi, seperti kita sendiri kasihkan anak kita (apabila kita sendiri menjadi ibubapa, barulah kita dapat membayangkan betapa kasihnya seorang ibu/bapa terhadap anaknya).


Saya selalu kata ;

"Nanti jumpa emak, duduk sebelah mak, letakkan tangan atas bahu emak, bergurau-gurau dengan emak, tatap muka emak (dengan penuh kasih sayang) sama macam kita tatap anak kita sendiri. Suapkan emak sama macam kita selalu suapkan anak kita. Biar emak tahu betapa kita sebenarnya amat kasihkan dia, cuma sebelum ni kita mungkin tak selalu tunjuk"


Dan saya selalu berpesan ;

"Minta emak tolong doakan lagi banyak ya. Doa ibu ni cepat makbul. Doa kita pun sebenarnya makbul juga tetapi doa ibu lagi cepat dimakbulkan".


Apabila mereka disahkan hamil, saya juga berpesan;

"Lepas ni jangan lupa telefon mak, ucapkan terima kasih sebab mendoakan".


Saya telah tiada lagi peluang itu. Ruginya saya.

Kini kami anak yatim. Mujurlah kami masih ada Abah.


.
.
.

Sekian. 
Terima kasih atas kesudian membaca kisah panjang ini.


Segala puji bagi Allah.


Saya sangat berterima kasih kepada radio IKIM yang memperkenalkan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menerusi slot 'Mau'izati'. Kami hanya berkesempatan mendengarnya melalui radio IKIM sahaja sebelum ini dalam perjalanan pulang dari kerja. Ustaz Dusuki memang banyak bercerita mengenai alam kematian. Topik kegemaran beliau. Banyaknya pahala beliau mengajar ilmu ini untuk menyedarkan kita supaya kita membuat persiapan/bekalan. Kini, saya menonton youtube banyak rakaman video beliau mengenai kematian / alam barzakh. Ada yang saya tonton lebih daripada sekali demi hendak memahami apa yang sedang berlaku kepada Mak dan mempelajari apa yang perlu dilakukan oleh kami.


Melalui ceramah beliau, saya banyak belajar mengenai apa yang kami boleh lakukan untuk membantu Mak di sana. Mengenai bilakah waktu yang paling afdal untuk membaca al-Quran sebagai peneman kita di alam kubur. Banyak lagi. Terasa banyaknya kekurangan ilmu saya mengenai alam barzakh ini. Tidak tahu pula berama lamakah alam barzakh saya kelak. Ramai kita berada di alam rahim selama 9 bulan, alam dunia selama sekitar 70 tahun (paling lama pun tidaklah sampai 130 tahun), tetapi alam barzakh mungkin beratus tahun seperti yang sedang dilalui oleh Nabi Muhammad (salam dan selawat ke atas Baginda). Tetapi sangat sedikit persiapan yang saya telah sediakan untuk itu.....


Maka kini, saya susun semula plan hidup saya. 'Re'-prioritize things in my life. Apa pun, Allah Perancang Yang paling Hebat.


Saya juga menambah-baik strategi bekalan saya. Jika sebelum ini saya hanya bertanya mengingatkan Iman mengenai ;

"Dah sedekah al-Fatihah untuk Mama tak hari ni?"

Dari Iman kanak-kanak lagi, dalam nada bergurau, saya selalu beritahu dia untuk sedekahkan al-Fatihah untuk saya;

"Nanti kan bila Ma mati, awal-awal lagi dalam kubur Ma dah terang dah"

Kini saya pastikan Iman membaca al-Fatihah sampai habis, didengari jelas di hadapan saya. Kami baca bersama-sama. Saya bacakan untuk Abah, Iman pula bacakan untuk saya :)


Dan saya ceritakan perbualan telefon saya bersama arwah Mak pada harijadi saya ke-46 Julai tahun lepas (sewaktu bersama suami dalam kereta menuju ke tempat kerja, Iman di asrama pada waktu itu). Saya masih ingat kerana itulah ucapan yang sama saya beritahu dia pada harijadi saya 2-3 tahun kebelakangan ini. Kali pertama nak ucapkan terima kasih kerana melahirkan, menyusukan dan membesarkan memang terasa janggal, maklumlah, sebelum itu tak pernah pun ucap sedemikian. Namun pada harijadi saya tahun-tahun berikutnya, lidah saya semakin lancar mengucapkannya kepada Mak.


"Assalamualaikum, Mak.
(Wa'alaikumsalam. Ilah ya?)

Ilah ni, Mak. Mak sihat?
(Sihat. Abah pun sihat)

Mak, nak bagitau. Hari ni birthday Ilah.
(Iya? ... Mak dah lupa. Happy birthday)

Ilah nak ucapkan terima kasih kat Mak sebab lahirkan Ilah, susukan Ilah, besarkan Ilah.

Dah 46 tahun dah Ilah ni Mak, dah tua dah ....."
(Mak doakan panjang umur, murah rezeki, bahagia keluarga. Amin.)

.
.
.

Untuk makluman, pesakit yang menjalani ET pada pagi tersebut kini disahkan hamil secara ujian BhCG (baru memasuki 5 minggu pun), awalnya BhCG hanya 50 IU dan meningkat kepada lebih 300 IU selepas beberapa hari. Siapa sangka pada usia 42 tahun, IVF kali pertama, hanya 1 embrio, lambat berkembang pula (day-6 blastocyst), hamil. Saya mungkin kongsikan kisah ini kemudian, dengan izin Allah dan dengan kebenaran pesakit itu, apabila telah nampak janin dan degupan jantungnya kelak. Doa ibu-ibu kan cepat dimakbulkan. Saya percaya, roh Mak juga mendoakan kejayaan saya / kehamilan mereka. Apabila Allah mengkehendakkan sesuatu, sama ada kematian emak kami mahupun kehamilan pesakit ini, ia akan terjadi.


Sekian.

Al-ham-du-lil-lah.
Segala puji bagi Allah.



19 comments:

  1. Dr Adilah yg dikasihi....moga sentiasa tabah dan sabar. Takziah atas pemwrgian bonda tercinta. Saya menangis dan lebih sedih membaca patient Dr tu mengandung. Itulah amal soleh Dr yg berlipat ganda yg menjadi pemberat timbangan arwah bonda di sana. Semua amal soleh anak2 nya akan terus mengalir pada arwah bonda tidak putus2

    Nasibah

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih banyak-banyak atas doa dan ucapan takziah jauh dari Perth <3

      Delete
  2. sebaknya Dr. berjurai air mata sambil baca huhu.. semoga Allah tempatkan arwah ibu di kalangan org2 beriman..

    dlm keadaan mcm ni pun Dr tetap fikirkan pesakit tu... Alhamdulillah berjaya.. tahniah pada mereka.. Dr. buat prosedur dlm emosi yg sngt mencabar... terharu..

    harap ada rezeki bersua lg untuk FET nanti

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah. Terima kasih atas doa, hanya Allah dapat membalas doa untuk emak saya. FET? Hmmmm.....ni mesti komen sebelum buat UPT ni :)

      Delete
  3. Salam Takziah dr. Semoga Allah ditempatkan bersama org beriman... s

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamiiiiiin ya Allah. Terima kasih atas doa, semoga anda terus dirahmati Allah.

      Delete
  4. takziah untuk Doktor sekeluarga....allah..touching nya saya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itulah, sebelum ni apabila bertemu dengan mereka yang baru kehilangan ibu, saya tak dapat bayangkan begini rupanya hibanya perasaan......

      Delete
  5. Takziah atas pemergian Bonda Dr. Innalillahiwainnailaihirajiun.
    Tears

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih atas ucapan takziah. Cubalah tambah kasih kepada ibu (jika masih ada) walaupun ia takkan sama dengan betapa kasihnya ibu terhadap kita.

      Delete
  6. takziah buat Dr Adilah sekeluarga di atas pemergian bonda tersayang. Moga ditempatkan di kalangan orang yang beriman. InsyaAllah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamiiiiiin. Terima kasih atas doa :)

      Delete
  7. salam takziah Dr. Adilah. sebak saya baca kisah ini. Semoga Dr. Adilah sentiasa dirahmati Allah. Teringin juga nak jumpa dr satu hari nanti.

    ReplyDelete
  8. Apa yg boleh..banyakkan doa tuk arwah.. semuga Dr Adilah sentiasa sihat dan di rahmati olehNya.

    ReplyDelete
  9. Assalam doctor, lama saya x mengikuti blog doctor. Innalillahi wainna ilaihi rajiun... takziah saya ucapkan. Saya doakan semoga roh arwah di Rahmati Allah. Amin....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Aamiiiin. Terima kasih kerana mendoakan

      Delete
  10. Ya Allah kau rahmatilah semua ibu2 dimuka dunia ini yg telah membesarkan anak2 mereka dgn penuh kasih sayang.. Al Fatihah buat arwah mak Dr Adilah dan juga arwah mak yg ku sayangi.. Allahyarhamah Hjh Siti Awa Mamat.. moga mereka ditempatkan bersama org2 yg beriman.. hiba sgt baca cerita Doc ttg pengorbanan seorg ibu.. sesungguhnya jasa mereka membesarkan anak2 sungguh tidak ternilai..hanya doa yg mampu dititipkan buat mereka.. semoga aku juga kelak mampu menjadi seorg ibu buat zuriatku sendiri.. aminnnn @Norsalwa (Elly Zakaria)

    ReplyDelete