Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Wednesday, 16 November 2016

To know mitochondrium is to love mitochondrium : Mitochondrial Replacement

Bis-mil-laa-hir-rah-maa-nir-ra-hiiiiiim.
In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful.


Bayangkan dalam ovum yang bersaiz hanya 0.1 mm diameternya ini, ada beribu-ribu mitokondria di dalamnya (di samping organel-organel yang lain). It is another world inside it.

Itulah saiz telur. Hanya 0.1 mm sahaja. Cuba ambil pen matabola dengan saiz matanya 0.1mm dan titik di atas kertas. Itulah saiz telur kita. Maka, saya tak boleh nak tunjukkan telur sewaktu scan. Saya tak boleh cari/nampak telur sekecil itu dengan mata kasar saya. Saya hanya boleh tunjukkan kantung (folikel) telur sahaja, yang di dalamnya ada telur dan juga cecair folikel. Kantung telur lazimnya membesar kepada saiz 18-22mm apabila matang, tetapi saiz ovum di dalamnya masih sekecil 0.1mm.

.
.
.

Saya ada menyentuh sedikit mengenai mitokondria dalam penghujung post terdahulu (klik sini).

- mitokondria menghasilkan tenaga untuk sel
- mitokondria ada DNAnya sendiri
- DNA mitokondria kita diwarisi dari DNA mitokondria (telur) ibu kita
- DNA mitokondria telur kita pula seterusnya diwariskan kepada embrio yang membesar menjadi anak-anak kita : lelaki dan perempuan.


Secara teori, kita semua membawa/mewarisi DNA mitokondria dari ovum nenek moyang yang sama, maka secara logiknya kita semua mempunyai komposisi genetik DNA mitokondria yang serupa. Tetapi, apabila terjadinya mutasi gene pada mitokondria, komposisi DNA kita boleh berubah menjadi berlainan sedikit daripada DNA mitokondria ibu kita dan kita pula boleh menurunkan mutasi gene DNA mitokondria ini kepada keturunan kita. Inilah yang menjadikan penyakit genetik mitokondria (jika berlaku) ini boleh diturunkan kepada anak-anak kita.


Apakah yang boleh dilakukan sekiranya seseorang wanita itu membawa penyakit genetik mitokondria yang boleh menyebabkan kesan teruk kepada janin atau bayinya?

Apakah telah ditemui rawatan untuk penyakit genetik mitokondria ini?

.
.
.

Baru-baru ini, dunia rawatan IVF telah maju setapak lagi dengan lahirnya bayi hasil 'pendermaan mitokondria' atau 'penggantian mitokondria'.



Bayi lelaki warganegara USA itu dilahirkan di Mexico beberapa bulan yang lepas dan disahkan bebas daripada sindrom Leigh (sejenis penyakit genetik mitokondria) yang menyebabkan dua adik-beradiknya meninggal dunia akibat sindrom tersebut. Ibunya mempunyai gene penyakit sindrom Leigh ini. Doktor John Zhang yang bertugas di New Hope Fertility Centre di New York City yang mencipta sejarah MR (mitochondrial replacement) ini. Prosedur tersebut dilakukan di Mexico kerana di USA,  pihak Kongress masih tidak meluluskan pihak FDA (Food and Drug Administration) untuk membenarkan 'gene editing' atau 'gene modification' seperti 'penggantian mitokondria' dalam kes ini.

.
.
.

Bagaimanakah prosedur 'Mitochondrial Replacement' (MR) ini dilakukan?


Saya cuba olah secara mudah difahami ;


Konsep MR :
Menggantikan mitokondria yang berpenyakit genetik dengan mitokondria yang sihat i.e. bebas dari penyakit genetik. Sama seperti menukar bateri yang rosak dengan bateri yang baik. 


Ini membolehkan embrio berkembang menggunakan mitokondria-mitokondria  yang sihat dari penderma.



Rasional
Proses MR ini masih menggunakan kromosom 'ibu'. (Ini berbeza dengan kes ovum donation di mana gene/DNA dari kromosom 'ibu' langsung tidak dapat diwariskan kepada bayinya) .



Practicality
Memandangkan di dalam sel ovum, mitokondria-mitokondrianya sangat kecil dan sangat banyak untuk dipindahkan satu persatu dari ovum penderma kepada ovum penerima, maka cara yang lebih mudah ialah dengan memindahkan kromosom penerima (dalam rupa spindle) ke dalam ovum penderma yang telah dibuangkan kromosomnya (spindle) terlebih dahulu. 



Ada 2 jenis kaedah MR:

1. Memindahkan kromosom ibu sebenar (pada spindle MII ovum) ke dalam ovum penderma yang telah dibuang spindle MII terlebih dahulu.



2. Memindahkan pro-nukleus dari telur ibu yang telah tersenyawa oleh sperma bapa ke dalam telur penderma (yang telah tersenyawa oleh sperma bapa/penderma dan kemudiannya dibuang pro-nucleusnya).



(Untuk makluman, setiap ovum kita mempunyai di antara beberapa ribu sehingga beberapa puluh ribu mitokondria. Sangat banyak. Maklumlah, ovum adalah sel terbesar di dalam tubuh manusia. Lagipun, bilangan asal ini diperlukan banyak kerana ia kemudiannya dibahagi-bahagikan ke dalam sel-sel embrio sehinggalah blastocyst telah 'hatched', barulah mitokondria ini membiak (menjalani replikasi). Mitokondria diperlukan untuk menghasilkan tenaga bagi membolehkan persenyawaan telur oleh sperma, pembahagian sel-sel embrio dan seterusnya. Selain bilangan, kualiti mitokondria juga penting dalam menghasilkan jumlah tenaga yang diperlukan dan ini berkait dengan usia wanita. Semakin berusia wanita, tenaga yang dihasilkan oleh mitokondria ovumnya juga semakin berkurangan. Memang ada banyak perkara mengujakan yang boleh dikaji mengenai mitokondria).

.
.
.

Ada yang memanggil MR sebagai 'gene editing'

Ada yang menerangkannya secara bahasa komputer iaitu 'cut-and-paste'. Contohnya, dalam kaedah MII spindle transfer;

1. 'Cut' spindle (yang mengandungi kromosom) dari telur penderma untuk dibuang ala 'empty into trash bin'. Organel-organel (termasuklah mitokondria) yang lain di dalam ovum penderma dikekalkan. 

2. 'Cut' spindle (kromosom) pada ovum ibu. 

3. 'Paste' spindle ibu ke dalam ovum penderma yang telah dibuang spindlenya. Kini, ovum penderma mempunyai kromosom ibu.

4. Barulah ovum ini dilakukan prosedur ICSI menggunakan sperma bapa.

5. Setelah sel-sel embrio membahagi, dilakukan PGS untuk mengesahkan keadaan euploidy embrio tersebut. 

6. Kemudian barulah dilakukan ET.

.
.
.

Maka;

Memandangkan mitokondria juga mempunyai gene/DNA, maka, bolehlah dikatakan bayi ini mempunyai gene-gene yang diwarisi daripada 3 orang berlainan:

- DNA dari 23 kromosom telur ibu
- DNA dari 23 kromosom sperma bapa
- mtDNA (DNA dari mitokondria) telur penderma

3-parent baby.

.
.
.

Sebenarnya, bilangan gene yang dibentuk oleh DNA mitokondria hanyalah 37 sahaja. Memang sangat sedikit pun jika dibandingkan dengan gene-gene dalam DNA kromosom yang terdapat dalam nukleus sel-sel kita. Secara perbandingan, bilangan DNA base-pairs dalam mitokondria hanyalah setakat 16,500 pasang sahaja untuk membentuk 37 gene. Manakala bilangan DNA base-pairs di dalam kromosom autosom terkecil i.e. kromosom 21 pula ada sebanyak 48 juta pasang yang membentuk 200-300 gene. Ini belum lagi dibandingkan dengan kromosom terbesar (kromosom 1). Ingat tak dahulu saya beritahu bahawa kromosom (autosom) disusun nombornya mengikut saiz terbesar sehingga terkecil? Tetapi setelah dikaji dengan lebih mendalam bilangan base-pairs, didapati rupa-rupanya kromosom 21 paling kecil, bukannya kromosom 22. Ingat lagi ke tidak ni? Kromosom (autosom) terbesar iaitu kromosom 1 mempunyai 249 juta base-pairs yang meng-kod untuk 2000-2100 gene. Secara keseluruhan, ovum dan sperma masing-masing mempunyai 3 bilion DNA base-pairs manakala sel diploid dalam badan kita mempunyai 6 bilion DNA base pairs. Dalam 6 bilion DNA base pairs itu membentuk kira-kira 19,000-20,000 gene. (Ingat lagi tak apa fungsi gene?)

Jadi, DNA mitokondria mewakili hanya 0.0054% sahaja daripada keseluruhan DNA base-pairs di dalam ovum ibu untuk diturunkan kepada anaknya.

Walaupun hanya 0.0054% sahaja, tetapi ia masih melibatkan isu keturunan/nasab. Ada isu etika kerana ia melibatkan manipulasi telur dan manipulasi gene. Ada isu kemungkinan jika tidak dikawal, pada masa akan datang, teknik 'gene editing' ini dimanipulasi ke arah membentuk 'designer baby'. Ada isu hukum dalam agama juga. Apabila mereka melakukan pendermaan mitokondria ini, ini bermakna 0.0054% DNA yang diturunkan kepada anaknya itu bukanlah daripada DNA ibu dan bapa kandung.

.
.
.

Bagi yang berminat membaca lebih lanjut mengenai MR, boleh (klik sini)

Saya pula akan meneruskan minat mengkaji apakah yang boleh diperbaiki ke atas bilangan dan kualiti mitokondria-mitokondria ovum, supaya persenyawaan dan pembahagian sel-sel embrio dapat berlaku pada kadar optimum. Mitokondria kan 'power house'. Mungkin dengan pemahaman lebih mendalam, kita dapat memperbaiki kekurangannya bagi  mendapatkan embrio berkualiti bagus.

.
.
.

A hobby should not be an obsession. Slow and steady......
A reproduction of 'Bouquet de printemps by Renoir'
Renoir was 25 years old when he painted it. At 25, I was merely a houseman...



Sekian.

Al-ham-du-lil-lah.
All praise is due to Allah.






No comments:

Post a Comment