Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Saturday, 15 October 2016

Kanser Serviks (Pangkal Rahim) : 'such a preventable cancer, yet many succumb to it'

Bis-mil-laa-hir-rah-maa-nir-ra-hiiiiiim.
In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful.


(tiada kaitan)
Ini gambar TVS rahim pada pandangan sisi (sagittal view). Servis (pintu atau pangkal rahim hanyalah sebahagian kecil rahim (bahagian ai atas tulisan R08 G51 C7) dengan saluran berwarna gelap (cervical tunnel).



Saya akan selalu bertanya soalan ini kepada semua pesakit saya yang telah pernah melakukan hubungan seks:

"Dah pernah buat Pap smear?"

"Bila last buat Pap smear? Apa keputusannya?"



Kemudian saya kan beritahu;

"Pap smear ni untuk kesan penyakit pintu rahim (serviks). Kalau ada penyakit ni, kita boleh rawat sebelum dia jadi kanser. Rugi kalau dapat kanser. "



Untuk pesakit yang datang mendapatkan rawatan kesuburan pula, saya beritahu;

"Pap smear ni bukan ujian kesuburan, tapi .....(sama seperti penerangan di atas). Kalau nak saya buatkan, boleh saya buatkan. Tapi kalau nak lagi murah, buat di klinik kerajaan. Janji buat ya". Maklumlah, di hospital swasta lebih mahal kosnya.


Pesanan seterusnya ialah;

"Kalau (keputusan Pap smear) normal, buat semula tahun hadapan. Kalau tahun hadapan pun  normal, boleh pilih sama ada nak buat setiap tahun; atau setiap 2 tahun; atau setiap 3 tahun."

.
.
.


5 fakta penting mengenai kanser serviks dan ujian Pap smear :

1. Kanser serviks ada peringkat pra-kanser yang dinamakan Cervical Intra-epithelial Neoplasia (CIN) yang lazimnya mengambil masa bertahun-tahun sebelum ia bertukar menjadi kanser serviks.

2. Pap smear ialah ujian saringan penyakit CIN (peringkat pra-kanser) itu.

3. Apabila Pap smear melaporkan keputusan dysplasia, ujian lanjutan (colposcopy) pula akan dilakukan dan biopsi tisu serviks diambil untuk ujian pengesahan penyakit CIN.

4. Rawatan penyakit CIN memberi peluang sembuh sepenuhnya hampir 100%. Rawatan kanser serviks pula tidak begitu peluangnya.

5. Ujian Pap smear perlu dilakukan secara berkala (setiap 6 bulan sehingga setiap 3 tahun mengikut keadaan) bagi mengelakkan 'false-negative result' dan bagi mengesan dysplasia. Jika tidak, berkemungkinan besar hanya apabila telah menjadi kanser serviks (kerana ujian Pap smear tidak dilakukan secara berkala), maka turut kelihatan 'sel yang mungkin sel kanser' pada Pap smear itu.




5 fakta penting vaksin HPV :


1. Hampir kesemua kanser serviks berkait dengan jangkitan HPV strain tertentu (dipanggil strain berisiko tinggi). Ini kerana peringkat pra-kansernya, CIN; berpunca akibat jangkitan HPV strain tertentu.

2. Vaksin HPV boleh melindungi dari jangkitan beberapa strain HPV. Ada 2 jenis vaksin HPV di pasaran : satu jenis mencegah HPV 16 dan 18, satu jenis lagi mencegah HPV jenis 6,11,16 dan 18. HPV 16 dan 18 adalah HPV yang berisiko tinggi. Tidak semua HPV ada kaitan dengan kanser serviks. HPV sub-type 16 dan 18 adalah penyebab kepada 70% kanser serviks. 

3. Setakat ini, di negara-negara Asia; hanya Malaysia dan Bhutan yang memberikan vaksinasi HPV secara percuma dalam program imuninasi HPV. (di Malaysia, ianya diberikan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1, usia mereka dijangka belum melakukan hubungan seks). UK dan Australia juga ada program ini. Penghargaan kepada mereka di KKM yang prihatin berusaha membawa perkara ini ke bahagian atas untuk kelulusan bajet. Terima kasih yang tidak terhingga di atas usaha murni ini, maklumlah kos suntikan ini (beberapa ratus RM untuk 3 kali suntikan) adalah yang paling mahal untuk suntikan vaksinasi yang ada di negara kita.

4. Ada juga ujian pengesanan HPV DNA yang boleh dilakukan pada masa yang sama dengan ujian Pap smear. Ujian ini dinamakan ujian pengesanan HPV DNA. Ia menguji kehadiran beberapa strain virus ini, sama ada strain yang berisiko tinggi atau berisiko rendah.

5. Pengambilan vaksin HPV dimasukkan sebagai pencegahan primer (kerana ia bertujuan mengelakkan jangkitan HPV berisiko tinggi). Ujian pengesanan HPV DNA juga sebagai pencegahan primer (mengesan kehadiran HPV DNA sebelum ia menyebabkan perubahan sel dysplasia / penyakit CIN). Manakala ujian Pap smear pula sebagai pencegahan sekunder (mengesan sel-sel dysplasia yang mungkin penyakit CIN). 


Bagi mereka yang tidak pernah menjalani Pap smear atau tidak menjalani Pap smear secara berkala dan telah mempunyai kanser serviks peringkat paling awal (stage 1A1), ada kemungkinan sel-sel kanser serviks jenis 'microinvasion' ada terpalit dan dikesan pada Pap smear itu.

Jika sewaktu pemeriksaan serviks (secara pengamatan/penglihatan sebelum memulakan ujian Pap smear) telahpun mendapati kelainan mencurigakan seperti wujudnya ketumbuhan/tumor atau ulser, maka doktor tidak lagi melakukan Pap smear, sebaliknya melakukan 'punch biopsy' dengan mencubit sedikit daging serviks itu untuk dihantar ujian HPE biopsi serviks, bukannya ujian sitologi Pap smear.

Jika doktor mengesyaki anda telah berkemungkinan mempunyai kanser serviks eg pendarahan selepas hubungan seks tetapi pengamatan ke atas serviks tidak menemui kelainan yang mencurigakan, doktor mungkin akan mengesyorkan pemeriksaan lebih jelas menggunakan alat teleskop. Pemeriksaan ini dinamakan colposcopy dan berpandukan perubahan warna setelah diletakkan bahan tertentu, barulah doktor dapat mengambil biopsi serviks (punch biopsy) untuk ujian HPE. Lazimnya pada masa yang sama, ujian Pap smear dan HPV DNA turut dilakukan/dihantar.

.
.
.

5 fakta penting mengenai kanser serviks :


1. Ada 4 peringkat (1, 2, 3, dan 4) yang dibahagikan lebih terperinci kepada 'sub-stage' (1A1, 1A2, 1B1, 1B2, 2A1, 2A2, 2B, 3A, 3B, 4A, 4B). Peringkat 1A1 sehingga peringkat 2A2 dikatakan sebagai peringkat awal kanser serviks.

2. Hanya 'stage 1' sehingga 'stage 2A2' sahaja (peringkat awal kanser serviks) yang ada pilihan sama ada pembedahan ataupun radioterapi. 'Stage 2B' sehingga 4B : pembedahan bukanlah satu pilihan, hanya radioterapi yang mungkin digabungkan dengan kemoterapi

3. Memang patut diberi perhatian serius bahawa 'stage 1' kanser serviks di negara membangun seperti Malaysia dilaporkan memberikan '5-year survival rate' yang lebih rendah berbanding di negara-negara maju. Ini berdasarkan hasil kajian yang diterbitkan di journal-journal. Hanya di bawah 80% sahaja, sama seperti yang dilaporkan di Indonesia dan Thailand. Kanser serviks adalah kanser wanita paling kerap di Indonesia, kedua paling kerap di Thailand dan ketiga paling kerap di Malaysia. 

Ini berbeza dengan '5-year survival rate' untuk 'stage 1' kanser serviks yang dilaporkan di negara-negara maju seperti Singapura (80-90%) dan USA (80-92%) serta yang dibaca di dalam buku-buku teks perubatan undergraduate dan post-graduate. Di negara-negara maju, kanser serviks hanyalah berada di tempat ke-9 atau ke-10 dalam senarai kanser wanita paling kerap. Ini kerana mereka mempunyai liputan saringan Pap smear yang bagus, mungkin pesakit-pesakit 'stage 1' mereka masih berada pada 'stage 1A1' sahaja.

4. Kanser serviks lazim pada wanita yang pernah melakukan hubungan seks, walaupun hanya seorang pasangan seks. Tidak semestinya berbilang pasangan seks. Ini kerana HPV sangat mudah berjangkit.

5. Walaupun kanser serviks mudah dicegah, kanser serviks masih berada pada kanser ke-3 paling kerap dalam senarai kanser wanita di Malaysia. Dengan program pap smear percuma oleh Kerajaan, mengapakah masih begitu?


Maka,

- Alangkah ruginya jika anda tidak menjalani ujian Pap smear secara berkala (bukan sekali seumur hidup atau melebihi 3 tahun)

- Alangkan eloknya jika anak gadis kita diberikan perlindungan vaksinasi HPV yang ditawarkan oleh KKM kepada pelajar Tingkatan 1

- Anda masih boleh memilih untuk mengambil vaksinasi HPV (walaupun di luar umur yang dikaji) sekiranya ujian HPV anda didapati bebas daripada HPV 6,11,16 dan 18. Mana tahu, anda masih boleh mendapat kebaikan/perlindungan darinya.

- Anda juga boleh memilih menjalani ujian pengesanan HPV DNA yang boleh dilakukan bersekali dengan ujian Pap smear. Ujian HPV DNA bolehlah diulangi setiap sekitar 5 tahun.

.
.
.

Tanyalah diri kita;

1. Such a preventable cancer;

2. Such a simple screening test (Pap smear). Such availability (In government clinics, even trained nurses can do it.

3. Below 80% 5-year survival rate for stage 1 (and lower for stages 2-4) when treating pre-cancerous lesion (CIN) can almost 100% prevent it from progressing to cervical cancer.

4. Our KKM also provides free HPV vaccination for our girls, please don't deny them. That doesn't mean we encourage sexual activity.

5. As for us, in addition to Pap smear, please also consider HPV DNA test. Pap smear alone can be 'false negative'.

Bagi yang bertanyakan jika HPV DNA mereka masih 'negative', masih bolehkah mereka mengambil suntikan vaksinasi HPV? Ini jawapan/pendapat peribadi saya : tak salah jika anda ambil walaupun keupayaan orang dewasa untuk memberikan respon imun yang dikehendaki dapat diperolehi atau tidak, masih belum dikaji..

.
.
.

"Such a preventable cancer, yet many succumb to it"


Please spread the words to our female friends to come for regular Pap smear and for taking up HPV vaccination offered to their daughters at school.

May one day, God willing, cervical cancer be a past issue, just like smallpox.....

.
.
.

FYI

Pembedahan kanser serviks bukanlah mudah (ingat, pembedahan hanya dilakukan ke atas peringkat awal sahaja). Hanya peringkat 1A (micro-invasion iaitu yang tidak dapat dikesan secara penglihatan tetapi hanya disahkan secara microscopy) dibuang secara 'simple hysterectomy' atau; mungkin  'cone biopsy' sahaja untuk wanita yang masih ingin hamil, setelah memenuhi syarat-syarat tertentu.

Bagi stage 1B dan stage 2A, walaupun ianya masih melibatkan hanya 'pintu' rahim, pembedahan lazimnya adalah yang dinamakan 'Wertheim's hysterectomy and pelvic lymphadenectomy' ini melibatkan :

- membuang keseluruhan rahim
- satu pertiga vagina (yang diukur dari bahagian atas)
- kedua-belah tiub falopian
- kedua sisi parametrium
- kelenjar-kelenjar limfa pada beberapa kelompok di dalam pelvis.

Bagi yang berminat untuk tahu lebih lanjut, bolehlah klik di bawah ini:

(klik sini) FIGO : Cancer of the Cervix



NB

Hanya ada 1 sahaja kajian yang dibuat di Malaysia mengenai 'survival rate according to stage' rakyat tempatan. Memandangkan ianya dilakukan di HUSM, Kelantan, kebanyakan pesakitnya adalah berbangsa Melayu. Maka, data ini mungkin lebih terpakai untuk panduan menerangkan '5-year survival rates' wanita Melayu Malaysia yang menghidap kanser serviks. 


Saya tidak sampai hati nak menulis '5-year survival rate' untuk 'stage 1' serendah di bawah 55% (saya berharap ianya salah atas alasan saiz sampel yang kecil tetapi inilah satu-satunya kajian yang dibuat di Malaysia mengenai 'survival rate according to stage'), cukuplah untuk saya menulis di bawah 80% kerana peratusan di bawah 80% ini sama seperti yang dilaporkan oleh beberapa kajian berasaskan penduduk negara-negara membangun yang juga negara-negara jiran kita iaitu Indonesia dan Thailand.


5-year survival rates (Malaysia) :

Stage 1 : 54.7% (95% CI : 38.7, 77.2)
Stage 2 : 40.8%

Dalam kajian ini, stage 2 di sini tidak dipecahkan kepada Stage 2A (early stage) dan stage 2B (late stage). Apa pun, sekiranya kita menggunakan hanya 'stage 1' sekalipun, kita dapati 5-year survival rate masih sangat rendah (54.7%) dan julat atas 95% CI (confidence interval) juga hanyalah 77.2%. Ada yang membahaskan data ini tidak benar kerana saiz sampelnya kecil. Tetapi adakah kajian tempatan yang membuktikan sebaliknya? Alangkah eloknya jika ada lagi kajian-kajian mengenai ini dengan menggunakan saiz sampel yang lebih besar. Bagi yang berminat, bolehlah merujuk kepada kajian di bawah ini:




Ada satu lagi kajian di Malaysia.
Saiz sampelnya besar, mewakili hampir separuh (5,859 pesakit atau 47.6%) jumlah pesakit kanser serviks Semenanjung yang didaftarkan di Malaysia National Cancer Registry (MNCR) seramai 12,299 orang. Tidak dipecahkan 'survival rates according to stages', tetapi secara amnya untuk semua peringkat (1 hingga 4), '5-year survival rate' adalah 71.1%. Alangkah bagusnya jika selepas ini dimasukkan data 'cancer stage' supaya dapat dibuat analisa. Bagi yang berminat, bolehlah merujuk kepada kajian di bawah :




Cadangan saya?

Menambah variable pada data kajian : stage pada data kanser serviks berdasarkan FIGO staging; contohnya data yang dikumpulkan oleh NCR (National Cancer Registry) Malaysia. Kemudiannya mengkaji peratusan pesakit mengikut 'stage'. Saya berpendapat agaknya kebanyakan pesakit 'stage 1' di negara kita bukanlah berada pada peringkat 'microinvasion' iaitu stage 1A, itulah sebabnya secara purata, survival rate untuk stage 1 masih rendah. Mereka berada pada tahap kanser telah dapat dilihat pada mata kasar , sama ada 'bulky' (melebihi 4cm diameter) ataupun tidak. My 2-sen opinion ...

Jika substage-by-substage masih memberikan '5-year survival rate' yang rendah berbanding negara maju, maka sampailah masanya kita mengkaji apakah puncanya (adakah faktor bangsa, persekitaran, etc ?) dan yang lebih penting (kerana dah terbukti) adalah dengan menguatkan lagi kempen Pap smear dan kesedaran program vaksinasi HPV yang ditawarkan serta; mungkin mengadakan program saringan ujian HPV.


- Vaksinasi HPV untuk remaja
- Saringan Pap smear untuk pengesanan dysplasia sel serviks
- Kempen Pap smear secara berkala (bukannya sekali seumur hidup atau berjarak jauh)
- Saringan pengesanan HPV 

.
.
.

Ada 2 artikel yang sangat menarik yang diterbitkan di dalam jurnal, satu oleh seorang Pakar Gynae-Onkologi (Pakar Obstetriks dan Ginekologi yang ada sub-specialty dalam bidang Kanser Gynae/Sakitpuan), satu lagi pula oleh seorang Pakar Patologi. Anda bolehlah klik di bawah ini;

(klik sini) : A review by a Consultant Pathologist from HUSM

(klik sini) : a review by a Consultant Gynae-Oncologist from Hospital Tuanku Fauziah, Perlis 

Bacalah kedua-dua artikel di atas ini dan anda akan merasa bersemangat untuk menjalani Pap smear setelah menyedari kelebihannya. Kami doktor-doktor pula merasa bersemangat untuk menjalankan kempen Pap smear secara pro-aktif dan lebih agresif lagi.


Untuk perbandingan dengan negara Indonesia, Thailand dan Singapura, saya sediakan link kepada yang berminat :

(klik sini) Indonesia

(klik sini) Indonesia

(klik sini) Indonesia

(klik sini) : Cervical cancer survival rates in Africa, Asia, Caribbean, Central America

(klik sini) : Cancer survival rates in Africa, Asia, Caribbean, Central America

(klik sini) North East Thailand

(klik sini) : Songkhla Thailand

(klik sini) : Parkway Cancer Centre Singapore
(klik sini) Singapore Cancer Registry 1973-2012



Sekian
Al-ham-du-lil-lah
All praise is due to Allah
(the best supplication is Alhamdulillah)













No comments:

Post a Comment