Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Sunday, 11 September 2016

(selingan) Selamat Hari Raya Haji : Haji dan Wukuf

Bis-mil-laa-hir-rah-maa-nir-ra-hiiiiim.
In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful.


Tahun ini, adik saya, Liza, yang bertugas di Pusat Darah Negara sedang mengerjakan haji. Petang hari sebelum beliau bertolak, kami berkumpul di rumah saya. Mudah-mudahan haji mabrur, aamiiiiin.


Dua adik saya mengerjakan haji lebih awal daripada saya. Seorang hanya muda setahun daripada saya, tetapi beliau mengerjakan haji pada usia 32 tahun sewaktu beliau hamil anak kedua. Seorang lagi yang inilah, Liza, baru sahaja 41 tahun. Saya mengerjakan haji agak lambat, hanya pada usia saya 44 tahun, setelah rayuan haji kami diterima.




Mmmm....
Terkenang pengalaman haji saya...
Pemahaman saya mengenai keistimewaan wukuf Arafah memang lambat. Saya hanya mengetahuinya sewaktu berkursus haji. Salah saya yang tidak membaca / mengambil tahu sebelum ini. Terasa rugi pun ada.

.
.
.

Esok hari wukuf.


Waktu kami dahulu, tempoh Zuhur ke Maghrib tak sampai 6 jam, tolak solat dan khutbah (wukuf kami Jumaat) tinggallah sekitar 5 jam untuk berdoa, berzikir dll.

Tahun ini, waktu Zuhur 12.18 tengahari manakala Maghrib pula 6.30 petang. Tolak solat dan khutbah Arafah, ada lebih setengah jam berbanding haji saya. Beruntungnya adik saya dan para jemaah haji tahun ini dapat masa lebih....

Saya dah rancang nak berdoa semula dengan membacakan semua ini esok selari dengan waktu jemaah haji sedang berwukuf di Arafah, dengan izin Allah.


Keistimewaan dan kebesaran wukuf ini saya kongsikan dengan anak saya, Iman sebelum saya pergi menunaikan haji. Saya yang dahulunya tidak mengetahui keistimewaan wukuf pada usia beliau ketika itu (15 tahun) mahukan Iman tahu awal. Maka saya selitkan dalam surat saya kepadanya (never in my life have I sent so many 'love letters' and cards to anyone but her). Saya memang suka bagi dia surat dengan kad ucapan.

Kali ini, untuk pertama kalinya, saya kongsikan dalam blog ini. Kita lihat versi yang lebih jelas di bawah ini;


Belum apa-apa, saya dah sebak membaca surat ini. Memang saya tak pernah tinggalkan dia selama ini. Dulu-dulu, on-call kadang-kadang saya 'angkut' dia, pergi conference pun saya bawa dia. Dia duduk asrama pun, saya jenguk setiap Sabtu dan Ahad (masa Form 1) dan kini setiap Ahad. I'm just a phone call away, my child.

...dan surat bersambung di bawah ini;



Saya pesan kepadanya :

"Nanti Iman balik rumah Abah (beliau masih memanggil datuknya Abah) masa cuti raya , Iman bacakan doa yang Ma buat untuk Abah dengan Nenek depan dia orang ya"

Saya berikannya satu salinan doa-doa yang saya akan bacakan untuk :
- dia
- abah saya
- emak saya

.
.
.

... dan untuk pertama kalinya di sini, saya kongsikan sebahagian doa-doa saya sewaktu wukuf.


Doa untuk Iman sahaja ada 14 mukasurat A4 bertaip. Ini sebahagian mukasurat pertama.

 ... dan juga mukasurat terakhir untuk doa-doa untuk Iman. Punyalah risau terlupa atau takut tertinggal doa, sampaikan saya letak "Juga kurniakanlah apa-apa yang baik yang hamba terlupa untuk mendoakannya". Begitulah kasih ibu.....


.... serta doa-doa di antaranya. Pada tahun itu, Iman dan pelajar-pelajar Tingkatan 3 yang lainnya di seluruh negara menduduki peperikaaan PT3 yang pertama kali diadakan dengan caca-merba masalah teknikal kurikulum yang bertukar-tukar. Maklumlah, baru tahun pertama diadakan.


... dan saya sediakan doa-doa tersebut mengikut pecahan tajuk : agama, kehidupan, jodoh, kesihatan, rezeki, anak solehah, pelihara maruah, haji, ajal dll.

.
.
.

Begitulah yang diajar oleh Guru Haji kami : Ustaz Dr Abdul Basit Haji Abdul Rahman. Beliaulah yang memberi panduan menyediakan doa Arafah kerana waktu 300 minit (5 jam) itu sangatlah berharga.

Maka, saya pun mulalah menyediakan doa-doa tersebut. Berpeluh juga nak menyediakannya dalam masa beberapa bulan sahaja. Mujurlah zaman sekarang ada komputer. Boleh tambah dan edit dan copy-paste doa-doa orang lain dari blog mereka serta copy-paste doa-doa dari al-Quran dan Hadith. Semoga mereka yang berkongsi ilmu haji ini dirahmati Allah.

.
.
.

Mukadimah sebelum berdoa.  Ambil mood  diam sejenak sambil membetulkan niat.


Saya juga bawa salinan khutbah Jumaat/Arafah Nabi kita (s.a.w.) dalam bahasa Melayu dan saya baca sebelum memulakan doa Arafah.

....dan bermulalah


Doa untuk diri sendiri dan keluarga sendiri (suami dan anak-anak berempat). Saya print dalam bentuk 2-column in landscape layout untuk menjimatkan kertas dan mengurangkan berat. Ada 80 mukasurat dipadatkan menjadi 41 helai sahaja. Untuk Iman ada 14 mukasurat (juga dipadatkan secara 2-column menjadi 7 helai). Untuk mak ada 2 helai, Abah 2 helai, mak-abah kongsi ada 2 helai. Untuk suami (ada edisi khas tambahan) ada 3 helai. Campur kesemuanya memang lebih 50 helai 2-column (100 mukasurat). Saya cuba baca sepatah-sepatah supaya saya faham dan menghayatinya.


...... dimulakan dengan puji-pujian dan kesyukuran barulah doa bermula dengan meminta ampun dari mukasurat 3 hinggalah mukasurat 9. Banyak sangat dosa saya, saya bentangkan satu persatu dan minta ampun.


.... termasuklah dosa saya dengan manusia, dari usia sekolah menengah (usia baligh saya) sehingalah saya mati kelak. Saya memohon Allah bukakan dan lembutkan hati mereka untuk memaafkan saya. Saya doakan mereka diberi pahala berlipat ganda atas kesudian mereka memaafkan saya. Saya merayu untuk Allah tidak mengambil pahala saya.  Banyaknya salah saya ......

.

Selepas meminta ampun, barulah iikuti dengan doa-doa untuk rezeki, kesihatan, ilmu, pelihara daripada kecelakaan, muliakan darjat, pelihara maruah, pelihara daripada orang zalim, mati, kesempurnaan haji, urusan harian, bangun, kenakan pakaian, solat, mandi, wajah, makan, keluar/masuk rumah, perjalanan, pekerjaan, hubungan kakitangan/rakan/saudara, tidur dll sehinggalah ke mukasurat terakhir untuk saya. Baru part 1.

.

Tidak dilupakan dalam doa ini, doa untuk pesakit-pesakit saya;




.... dan lagi


... dan lagi. Maklumlah, dah nak masuk usia menopaus ni, mungkin mood swing mungkin lebih ketara. Lebih-lebih lagi apabila mendapat soalan yang berulang kali walaupun telah faham tetapi hanya sebab nak dapat kepastian berulang kali melalui WhatsApp, pada waktu tidur malam atau awal pagi pula. Sabar, Mokcik. Bersabarrrrr....

Kemudian disusuli dengan ;

 ... doa-doa dari al-Quran dan hadith dibacakan dalam bahasa Arab berserta maknanya dalam bahasa Melayu dari mukasurat 28-37. (mohon abaikan tulisan jawi saya yang seperti budak sekolah rendah itu). Kemudian diakhiri dengan doa-doa lain dalam bahasa Arab kemudian dalam bahasa Melayu eg doa qunut witir dll.

.
.
.

Selepas membacakan doa untuk diri sendiri, saya bacakan pula part 2, 3 dll : doa untuk anak, emak, abah dll. Untuk suami saya baca terakhir, dia juga berada di Arafah ketika itu.



.. kemudian untuk Abah saya




... dan doa 'kongsi' untuk mereka berdua.


.... Doa-doa inilah antara doa-doa untuk emak dan abah yang saya suruh Iman kongsi bacakan di hadapan mereka sewaktu Iman bercuti raya haji.

Hanya doa untuk suami yang saya masih belum bersedia untuk berkongsi di sini (sah saya banyak salah dan dosa ni).

.
.
.

Sebelum ke Mekah, saya buat rehearsal, nak pastikan masa saya berdoa cukup dalam waktu 300 minit itu. Inilah peluang keemasan yang saya tak boleh lepaskan. Baru saya faham, mengapa orang berlumba hendak menunaikan haji. Saya juga cemburu dengan Pengelola Haji yang dapat berwuquf hampir setiap tahun apabila membawa jemaah haji syarikat mereka. Beruntungnya mereka....


Banyak ilmu saya dapat dari blog mereka yang pernah ke sana sebelum saya. Saya turut buat check-list barang-barang yang perlu saya bawa. Berkali-kali saya semak. Awal saya sediakan barang-barang tersebut di dalam beg. Ini bukanlah resmi saya sebelum ini. Sebelum ini, kami hanya kemas beg pada siang hari nak terbang melancong (tetapi masih berdasarkan kepada check-list melancong yang memang saya akan buat).


Buat Mokcik! Jangan tak buat!


Bukan setakat buat. Saya print, kemudian gunting bahagikan saya dan si dia punya, kemudian bawa ke kedai untuk laminate senarai check-list Arafah ini sebab nak masukkan dalam beg nanti takut berkedut/rosak pula. 


Begitu juga dengan checklist senarai barang-barang ke Mina. Pun saya laminate juga. Sebenarnya bergantung kepada muassasah atau jenis pakej; banyak barang-barang yang tak diperlukan pun. Ini hasil carian blog-blog hajah-hajah sebelum saya dan saya kumpulkan. Eloklah bertanyakan kepada pengelola haji masing-masing nanti.



Saya juga print peringatan mesra ini dan buat beberapa salinan, kemudiannya masukkan ke dalam beg dan letak di dalam buku.

Sabar.....
Banyak-banyak bersabarrrrrr.....


Ustaz Basit berkali mengingatkan kami untuk tidak melakukan 3 perkara ini setelah berniat ihram haji sehinggalah tahallul thani:

1. Berbual-bual mengenai seks atau melakukan seks
2. Berbuat fasik
3. Berbantah-bantahan mengenai sesuatu perkara termasuk perkara mengenai ibadat walaupun kita merasa di pihak yang benar.

Ini memang ada di dalam ayat al-Quran surah al-Baqarah (sebahagian ayat 197);

"...... barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu untuk mengerjakan haji, maka tidak boleh rafas, berbuat fasik atau berbantah-bantahan semasa mengerjakan haji"


Perkara 3 itu yang diberi peringatan berserta beberapa contoh ; termasuklah berbalah mengenai cara jemaah negara lain melakukan ibadat, berbantah-bantah sesama jemaah (terutamanya apabila berkongsi khemah di Arafah dan Mina) dll. 



Folder haji ini saya buka lagi minggu ini sambil mengenang nostalgia haji. Memang suatu kenangan yang menyeronokkan. Patut pun ramai yang memberi respon/reply dalam post Facebook Tabung Haji dan berkongsi pengalaman seronok mereka mengerjakan haji.


Doa-doa kiriman orang lain juga masih tersimpan elok. Doa-doa mereka saya tidak bacakan di Arafah (memang tak kesempatan masa) tetapi saya bacakan di Masjidil Haram di Mekah. Setiap hari, saya bawa satu mengikut giliran dan bacakan.

.
.
.

Kita layan sebahagian gambar haji kami dahulu;

Sebelum itu, saya sertakan link ke post saya mengenai haji;


(klik sini dan scroll ke bawah lagi) Doa yang saya kirimkan melalui bekas guru MRSM Jasin saya yang berwuquf tahun lepas (2015)


Adik-adikku. Kiri gambar (bakal Hajjah Liza) dan kanan gambar (Hajjah Lily). Adik yang bongsu tidak ikut menghantar kami ke KLIA. Kami memang tinggi-tinggi belaka. Lily itulah yang paling 'tak tinggi' , beliau juga dilahirkan sangat kecil hanya 4 pounds (ukuran zaman dahulu, menyamai 1.8kg), itu pun dia paling tinggi di dalam kelas sekolahnya dahulu. Sewaktu saya undergrad Perubatan dahulu, Lily telahpun bekerja dan beliaulah yang turut menampung wang perbelanjaan makan saya (MARA hanya memberi pinjaman yuran pengajian dan peperiksaan). Kadang-kala saya merasakan Lily itu kakak saya kerana beliau lebih matang daripada saya. Saya dan Liza pula hampir serupa (terutamanya apabila saya bercermin mata) sehinggakan rakan kami tersilap sewaktu kelihatan kami di HKL dahulu.


Macam tak nak kawan je? Masing-masing pandang arah bertentangan. Selain adik-adik saya, abang ipar dan isteri turut menghantar kami (tiada dalam gambar). Sebab itulah kami kena bahagikan arah muka kami menghadap/melayan mereka.


Masa ni di Lapangan Terbang Jeddah, sementara menunggu urusan visa/pasport imigresen siap. Dalam kapalterbang, room mate saya menukar ke pakaian ihram. Saya pula menyarung jubah putih dan tudung putih. Hmm.... tak payah pun sebenarnya kerana memakai jubah 2 lapis memanglah tidak selesa dengan cuaca kepanasan itu. Tak perlu jubah putih pun. Lebih sesuai memakai jubah berwrna gelap sahaja. Tudung pun begitu.


Dah nampak menara jam tu dah terasa dekat sangat dah.


Mudah dengan katil berasingan ni. Maklumlah, kan kami akan pulang semula ke Mekah selepas dari wuquf Arafah dan bermabit Muzdalifah. Masih belum tahallul thani tu.

Jauhnya si dia merenung.


 The best view you could ever ask for any hotel room. Rezeki kami, kami tak minta pun. 
Tak sangka pihak Ash-Har melayan kami sedemikian rupa.

Apa pun, saya tulis semula apa yang telah tuliskan dalam post terdahulu (pada link Salam dari Mekah di atas) mengenai pilihan muassasah haji :


" Saya juga menyokong pendapat bahawa yang sangat penting sekiranya memilih pakej haji, perkara yang teratas dalam senarai keutamaan adalahlah 'SIAPAKAH GURUNYA/pembimbing haji itu' kerana biarlah ilmu yang disampaikan memberi kesan berterusan sehingga selepas kita selesai haji, ajaran yang bukan sahaja berkait dengan manasik haji, tetapi juga ilmu serta kesedaran yang menggerakkan hati untuk kita sendiri pula kemudiannya terus mendalami ilmu tersebut;  bukannya 'hotel manakah' atau 'khemah manakah' atau 'berapakah kosnya' kerana yang lain-lain itu lebih kurang sama sahaja dan hanyalah besifat 'secondary'. "

Ini lebih penting untuk orang yang kurang berpengetahuan dan kesedaran seperti saya dan kita bertuah kerana ada ramai pembimbing haji sebegitu di negara kita. 

Kita layan lagi beberapa gambar ;



Antara ahli kumpulan kami. Ramai yang lebih muda daripada saya. Ramai yang dari Kelantan. Maklumlah, Ash-Har memang berpusat di Kelantan, ada cawangan sahaja di Kuala Lumpur. Saya sebenarnya tak tahu pun mengenai agensi ini sehinggalah dicadangkan oleh pesakit saya. Beliau pun bukanlah orang Kelantan (orang Terengganu), mudah-mudahan Allah melimpahkan rahmat ke atas beliau kerana menemukan kami dengan Guru haji itu.


Mr and Mrs  Smith  Hatta. Masa ni kami di Mekah. Perhatikan rambut Panglima Jebat dah pendek sedikit selepas digunting selepas umrah.


Bas yang kami naiki ke Arafah, Muzdalifah dan Mina. Mujurlah ada tandas di tepi tangga itu.


Mata masih merah. Dalam bas hendak ke Arafah. Belum apa-apa dan berjurai airmata mengenangkan apa yang hendak dibentangkan sebentar lagi.


Di Arafah sementara menunggu bas membawa kami ke Muzdalifah pula.


Masih di Arafah. Inilah Ustaz Haji Ahmed Shukri b Haji Abdul Rahman. Beliaulah Pengarah Urusan Ash-Har. Sebenarnya beliau abang kepada Ustaz Dr Basit. Ada seorang lagi adik Ustaz Shukri ini yang bersama kami.


Bas kami lambat tiba untuk membawa kami ke Muzdalifah. Lihatlah deretan bas, memang kesesakan di jalanraya.


Gambar diambil dari dalam bas menuju ke Muzdalifah. Ada yang berjalan kaki.


Ada yang betul-betul menaiki bas, di atas bumbung bas.


Ramai yang telah lama sampai dan bermabit di Muzdalifah.


 Memang sangat ramai.

Memang menyedarkan.



Selepas bermabit di Muzdalifah, kami pulang ke hotel untuk tawaf, saei dan tahallul awal. Kami terpisah sewaktu saei. Dalam sekelip mata sahaja pandangan ini pusing, tiba-tiba saya 'kehilangan' dia. Saya habiskan saei dan bertahallul. Saya sampai dahulu ke bilik (dia ke kedai gunting rambut untuk bercukur). Terperanjat Mokcik bila nampak dia masuk bilik! 

Paginya kami solat Subuh dan pulang ke hotel untuk berehat. Kemudian ke Masjidil Haram semula untuk solat raya. Pertama kali waktu haji ini, saya solat di hadapan pintu masjid kerana orang sangat ramai dan pintu ditutup lebih awal.

.

(Hmm...menulis mengenai solat di hadapan pintu masjid ni, teringat insiden saya, Liza dan Iman solat di hadapan pintu masjid sewaktu Umrah 2006 dahulu. Saya dah 36 tahun masa tu, tetapi masih nakal. Kami duduk di Hotel Sofitel yang bersambung dengan pintu Marwah (kini hotel tu dah lama tiada). Suami saya dah lama turun ke masjid. Abah saya menggesa kami turun ke Masjidil Haram untuk solat Maghrib kerana dah nak masuk waktu, tetapi saya dan Liza bergurau sambil gelak kecil ;

"Ala Abah, rileks la. Kalau tak dapat solat dalam masjid, solat depan pintu masjid puk OK apa"

Kan kata-kata tu doa....

Memang 'makbul' doa kami. Cash! Kami bertiga turun je, orang dah mula berdiri untuk solat. Akhirnya kami solat betul-betul di hadapan pintu Masjidil Haram). Tak ada karpet. Hanya berkongsi sejadah nipis di atas lantai marmar yang dipijak tapak-tapak kasut orangramai sebelum itu. Padan muka kami. Maka jagalah pertuturan kita di mana juga (termasuklah di negara kita ni). Bercakaplah baik-baik mengenai / dengan anak-anak kita juga. Cakap itu doa.

.
Sambung semula mengenai haji saya.
.

Selepas solat raya dan berehat sebentar, selepas Zuhur, kami ke Mina untuk bermabit (sebenarnya kami bermalam/tidur di situ pun) dan melontar jamrah3. Tamatlah tahallul thani.

Urusan haji kami seterusnya berjalan lancar. Seperti dijangkakan, bas juga lambat tiba di Mina untuk membawa kami pulang ke hotel di Mekah kerana kesesakan. Kami dicadangkan membawa beg kami berjalan menuju ke bas yang berhenti lebih jauh, supaya mudah untuk bas berpusing semula.
Small matter.


Di Madinah pula, kami dibimbing oleh Ustaz Hasyimi (berdiri di tengah berjubah cerah). Baru beberapa hari sahaja, rambut si dia dah nampak tumbuh. Pembimbing haji kami semuanya berpelajaran lulusan universiti di Arab Saudi, malu kami mendengar kefasihan mereka bertutur dalam bahasa Arab, bahasa al-Quran.


Sampai kembali di Malaysia, sticker beg masih melekat (walaupun dah terkoyak-koyak).


Mudah-mudahan taubat saya diterimaNya, semua dosa saya diampuniNya dan saya sentiasa berubah kepada yang lebih baik daripada yang sebelumnya. Aamiiiiiin.

Semoga doa-doa yang saya cedok dari blog-blog mereka yang sudi berkongsi ini, Allah rahmati mereka yang berkongsi dan mengurniakan haji mabrur juga.

Esok, saya dah niat nak berpuasa. Pertama kali dalam hidup saya nak berpuasa pada hari wukuf. Tahun lepas pun saya tak buat. Dan saya akan bacakan kesemua doa-doa yang saya bacakan sewaktu wukuf dahulu. Doa orang berpuasa kan makbul, apatah lagi pada waktu ini

Ya Allah, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Pemurah; segeralah makbulkan segala doa hamba yang baik-baik, yang hamba minta sewaktu hamba berwukuf di bumi Arafah 2 tahun lepas, agar hamba terus sentiasa mensyukuri nikmatMu yang telahpun memakbulkan sebahagian doa-doa tersebut. Hamba berdoa dengan penuh pengharapan, agar hamba juga dilihat olehMu dan para malaikatMu. Pandanglah juga kepada hambaMu ini dengan kelembutanMu, dan berilah keistimewaan kepada semua doa hamba yang baik-baik, sama seperti keistimewaaan yang diberikan kepada doa adik hamba, Liza serta mereka yang berwukuf di Arafah ketika ini.


Sekian
Al-ham-du-lil-lah
All praise is due to Allah.

4 comments:

  1. Masya Allah Tabarakallah. Semoga Allah melimpahkan kebaikan

    Hasanah

    ReplyDelete
  2. Terharu dan seronok membacanya...dan malu dgn diri sendiri sebab buku doa saya x perfect mcm dr...terima kasih krn sudi berkongsi pengalaman dr...#sarahtriplet

    ReplyDelete
  3. Terima kasih krn sudi berkongsi pngalaman dgn kami..sebak membacanya ��

    ReplyDelete