Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Wednesday, 20 April 2016

Kualiti Sperma Kembali Normal 5 Tahun Selepas Kemoterapi. Apa Rahsianya?

Bismillahirrahmanirrahim
In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful



Ingat lagi post saya mengenai 'transporter' terbaru (klik sini) siri transporter lagi : thanks to vitrification ? Tadi, beliau datang untuk scan. Usia kandungan dah 6 minggu. Dah nampak 2 kantung kandungan berserta 'yolk sac'! Saya cuma perlu periksa kandungan beliau 2 kali lagi, berselang 2-3 minggu dari sekarang. Selepas itu, beliau ingin menyambung rawatan antenatal dan bersalin di hospital di mana beliau menjalani IVF sebelum ini, dengan doktor yang sama. Berkenan sungguh beliau dengan doktor tersebut, maklumlah, dah pangkat 'super-senior' dan 'Otai' di kalangan pakar-pakar obstetrik dan ginekologi. 

.
.
.


Kisah kali ini mengenai pasangan :
Suami pernah menjalani pembedahan pada 2009 dan kemoterapi pada 2010 untuk kanser usus. Analisa sperma pada tahun 2014 didapati 'severe oligo-astheno-terato-spermia' atau lebih dikenali sebagai 'severe OATs'

.

Beliau hamil setelah menjalani IVF kali kedua. Kedua-duanya di 2 pusat IVF berbeza di Semenanjung Malaysia (mereka menetap di Sarawak). Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman IVF di sini. 

.

Atas faktor sperma, beliau menjalani IVF pada Mac 2014.
Kali pertama IVF di sebuah hospital di Selangor.
Antagonist Protocol dan Agonist Triggering.
Suntikan rangsangan sebanyak 225 IU setiap hari selama 9 hari (jumlah keseluruhan = 2025 IU).
OPU : dapat 24 telur (18 daripadanya MII dan 6 pula GV).
ICSI ke atas 18 telur MII : 12 berjaya disenyawakan (ICSI fertilization embriologisnya = 66.7%, bagus)
Kesemua 12 embrio menunjukkan 'cleaving'/ membahagi kepada beberapa sel.
Pada Day-3 : 2 embrio dimasukkan (jenis 14C1 dan 8C1) ie gred yang bagus.
10 lagi embrio diteruskan kultur di dalam inkubator (extended culture) sehingga hari ke-6 di mana hanya 1 sahaja mencapai tahap blastocyst, maka 1 blastocyst dibeku-simpan, manakala 9 lagi tidak (dan dibuang).
Beliau tidak hamil.

.
.

Oktober 2015 mereka berjumpa saya buat kali pertama di PHKL.

Penilaian saya seterusnya mendapati;

1. Ujian 'Seminal Analysis' dilakukan di PHKL dengan persediaan untuk 'sperm freezing'. Keadaan sperma suaminya kini sangat bagus. Malah lebih bagus daripada sebahagian mereka yang tidak pernah menjalani kemoterapi. Maka, tiada 'sperm freezing dilakukan'.

2. Isteri pula : Beliau ada fibroid jenis subserosal dan kecil sahaja (3cm). Fibroid subserosal lazimnya bukanlah penyebab masalah kesuburan tetapi dengan kehadiran fibroid, 'penyakit seiringan' ie endometriosis dijangka mungkin turut ada (uterusnya pula retroflexed) cuma untuk beliau, endometriosis tidak dapat disahkan secara scan. Kita sedia maklum bahawa endometriosis; jika berada pada peringkat moderate atau severe boleh menurunkan peluang IVF.

3. Berkahwin pada Jun 2005 (lebih 10 tahun)

4. Sewaktu IVF kali pertama di Selangor, walaupun pada usia 35 tahun dan menggunakan suntikan dos sederhana sahaja tetapi beliau memperolehi telur yang sangat banyak. BMI beliau ideal. Saya buat ujian AMH, parasnya 18.6 pmol/L. Kini usianya 37 tahun. Berapakah dos suntikan rangsangan yang perlu saya gunakan untuk mendapatkan telur dalam kuantii sederhana (6-14)?

.
.
.

IVF kali kedua (di PHKL)

Saya gunakan :
1. Antagonist Protocol dan Agonist Triggering
2. Dos suntikan rangsangan sebanyak 225 IUI selama 8 hari (jumlah dos 1800 IU)
3. ICSI
4. Extended embryo culture (blastocyst culture)
5. Freeze-all-transfer-later

.

OPU pada 28hb Januari 2016 : 
- Dapat 17 telur : 15 daripadanya telur matang (MII) dan 2 lagi telur tak matang (GV)
- Embriologis buat ICSI ke atas semua 15 telur MII : 11 berjaya disenyawakan (ICSI fertilization rate embriologis saya = 73.3%). Kesemua 11 membahagi kepada 11 embrio beberapa sel.
- Setelah dikultur di dalam inkubator : 4 embrio membentuk blastocyst pada day-5 dan dibekusimpan. 1 lagi embrio menjadi blastocyst hanya pada day-7 dan dibekusimpan. 6 lagi embrio didapati masih tidak menjadi blastocyst pada day-7 dan dibuang. Keseluruhannya, beliau ada 5 blastocyst yang dibekusimpan.
- Saya tak buat fresh ET untuk beliau. (kan saya dah tulis tadi 'freeze-all-transfer-later').

.

Pada bulan berikutnya, Februari 2016.
Embriologis 'thawed' 3 embrio : 2 embrio day5-blastocysts dan 1 embrio day7-blastocyst.
Hanya day5-blastocyst itu menunjukkan perkembangan yang bagus. Gred embrio 4BC dan 3BB - kedua-duanya hatching. Manakala embrio yang dibekusimpan pada day-7 pula dibuang kerana tidak bagus. FET pada 8hb April : saya masukkan 2 embrio tadi. Semestinya blastocyst. Beliau pun pulang ke Sarawak selepas beberapa hari. Saya nasihatkan beliau agar menjalani ujian pengesahan kehamilan secara ujian darah BhCG di sana. Lebih memudahkan beliau.

10 hari kemudian (18hb April), beliau menjalani ujian BhCG.



Bagaimanakah penjagaan kehamilan seterusnya?
Saya tidak galakkan beliau ke Semenanjung semata-mata hanya untuk pemeriksaan kehamilan. Saya berikan panduan pengambilan ubat-ubatan hormon menerusi WhatsApp. Di sana, rupanya sukar didapati sebahagian jenis ubat-ubatan yang beliau guna, maka saya terpaksa ubahsuai jenisnya sementara mengirim ubat asal dari rakan/saudara mereka jika ada ke Sarawak kelak. Kita tunggu perkembangan kehamilan beliau nanti. Ini baru 'biochemical pregnancy'. Kehamilan beliau perlu disahkan secara 'clinical pregnancy' (secara scan) barulah dimasukkan ke dalam statistik PHKL.

.

Mengapakah kali ini berjaya hamil? (walaupun usia beliau meningkat kini 37 tahun)
1. Sperma suami : sangat bagus berbanding keputusan sperma sewaktu IVF kali pertama.
2. Ubat yang digunakan tidak sama. Protokol yang digunakan masih sama. 
3. FET : saya telah tulis dalam post terdahulu bahawa ada kajian menunjukkan peratus kehamilan FET lebih tinggi berbanding fresh ET.
4. Embrio dimasukkan pada tahap blastocyst. Pun saya telah tulis dalam post sebelum ini bahawa ada kajian menunjukkan bahawa peratus kehamilan blastocyst transfer lebih tinggi daripada cleavage-stage transfer. Ini benar sama ada secara FET mahupun secara fresh ET.


Kita lihat embrio-embrio beliau sebelum vitrification.
Day-5 culture. Bolehkah anda kenal yang mana satukah 4 embrio yang telah menjadi blastocyst? Proses 'embryo selection' semakin mudah dengan memilih blastocyst. Pemilihan 'the best embryo/s' dapat memberikan peluang kehamilan lebih tinggi.


Embrio-embrio di atas pada Day-3 iaitu 2 hari sebelumnya. Dalam 'culture dish' ini, telur yang tidak tersenyawa selepas ICSI masih diletakkan bersama (dapatkah anda kenal 3 telur tersebut?). Pada hari day-3 ini, bolehkah anda menjangka berapa embrio yang akan berjaya menjadi blastocyst pada day-5? Adakah anda menjangka rupa-rupanya hanya 4 sahaja embrio yang menunjukkan perkembangan yang bagus (menjadi blastocyst pada day-5)?
.

Apakah beliau kini sebenarnya boleh hamil dengan kaedah bukan IVF?
Jika tiub falopiannya berfungsi elok, mengapa tidak? Cuma mereka memilih IVF atas faktor masa dan 'cost-effectiveness' memandangkan mereka perlu berulang-alik dari Sarawak ke Semenanjung. IVF memberikan peluang kehamilan tertinggi untuk beliau. Siapa tahu, sewaktu membesarkan bayi ini kelak (mudah-mudahan berjaya hamil sehingga melahirkan bayi sihat), beliau hamil secara semulajadi.

.

Apakah rahsia rawatan yang diambil oleh suami beliau?
Tiada rahsia lagi pun.
Multivitamin.
I repeat (sebab dah selalu bagitau tapi masih ada yang ambil ringan perkara ini);
M.u.l.t.i.v.i.t.a.m.i.n.
Itu sahaja (beri perhatian kepada perkataan sahaja).


Beliau masih ada 2 embrio yang dibekusimpan di PHKL dan 1 lagi embrio dibekusimpan di hospital pertama. Ketiga-tiganya blastocyst.

Sama-samalah kita doakan agar suami beliau terus bebas dari kanser usus. Yang pastinya, kualiti sperma suami beliau telah menjadi bagus semula. Aamiiiiiin.


M-U-L-T-I-V-I-T-A-M-I-N.


Sekian.
Alhamdulillah.
All praise is due to Allah.

2 comments:

  1. Salam doktor,

    pernah ada pengalaman berdepan dengan pesakit yg di "diognase hypogonadotropic hypogonadism" ? Any chance of getting pregnant? please reply me

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya ada ajukan beberapa soalan dalam post di mana anda soal mengenai HH. Sila rujuk

      Delete