Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Saturday, 9 April 2016

Kehamilan Ektopik - Pesanan Penting untuk selepas itu.

Bismillahirrahmanirrahim
(In the name of Allah, Most Compassionate, Most Merciful)

Kali ini satu lagi kisah mengenai kehamilan ektopik.

Bayi pertamanya baru berusia 8 bulan. Beliau pula baru didatangi haid pertama selepas bersalin (kerana masih menyusu badan) bermula awal Februari ini. Pada awal bulan Mac pula, haidnya 'datang' tetapi hanyalah sehari sahaja pendarahannya.

Dipendekkan cerita; rupa-rupanya kandungan kali ini kandungan ektopik.

Kelihatan kantung kandungan di luar rahim (di bawah anak panah putih), malah telah kelihatan janin beserta degupan jantungnya. Ukuran menunjukkan kehamilan sekitar 7 minggu, betul jika dikira berdasarkan haid Februari beliau.

7 minggu?
Oh! Tidaaaaaakk!!!!!

Waktu sekitar 7-8 minggu adalah waktu yang berisiko untuk kandungan ektopik yang masih 'hidup' untuk pecah dan menyebabkan pendarahan. Ini kerana tiub falopian tidak mampu 'mengembang' seperti rahim. Pada had tertentu, ia akan mula merekah. Scan dah nampak sedikit takungan cecair di POD. 

Saya pun aturkan kemasukan segera dan buat persiapan pembedahan 'emergency laparoscopy'. Ini memerlukan kombinasi doktor - pembantu klinik - saya telefon bilik bedah - saya telefon doktor bius - pembantu klinik saya tolong telefon kaunter kemasukan - saya telefon wad. Dalam kes kecemasan sebegini, doktor kena buat kerja tambahan. Cross-check. Setiap beberapa minit sementara meneruskan baki pesakit-pesakit di klinik, saya tanya pembantu; "Porter dah ambil patient (bawa pergi kaunter kemasukan)?", "Patient dah sampai mana?". Nak kena pastikan tiada kelewatan yang disengajakan kerana kes ini ibarat 'time bomb'. Sekiranya pendarahan berlaku dalam kadar yang laju, lebih bahaya. Sejurus klinik habis, saya ke wad, melihat keadaan persiapan pesakit. Ada waktunya, tidak boleh dielakkan kesibukan jururawat di wad, maklumlah pesakit bukanlah sedikit.  Apabila pesakit disorong keluar untuk ke bilik bedah, barulah saya pula beredar ke bilik bedah. Staf bilik bedah telah sedia menunggu. Peralatan pun telah disediakan.

Saya buat pembedahan laparoskopi untuk memotong tiub falopian kanannya. 'Tebuk' 4 lubang untuk 'cepat' buat. Satu lubang di pusat untuk dimasukkan teropong. 2 lubang di kiri pesakit (saya berdiri di kiri pesakit) untuk tangan kanan dan tangan kiri saya mudah melakukan pembedahan. 1 lagi lubang di kanan pesakit untuk pembantu saya tolong pegang bahagian tertentu mengikut arahan. Pada waktu laparoskopi, kandungan tersebut telahpun pecah sehingga tumpahan darah dari kawasan tiub yang 'merekah'/pecah ke dalam pelvis sebanyak sekitar 600ml. Pembedahan laparoskopi untuk kehamilan ektopik lazimnya mengambil masa sekitar 40 minit, skin-to-skin :

- Pendakatan laparoskopi : Masukkan gas CO2 untuk 'kembungkan' ruang abdomen-pelvis.  Masukkan teropong pada kawasan pusat/umbilicus. Ubahsuai sudut/kedudukan katil pembedahan. Buat 1 tebukan pada bahagian tepi.
- Buat penilaian ringkas. Kenalpasti kawasan pendarahan/ektopik di samping membandingkan tiub kiri dan kanan. Bagaimana pula dengan pendarahan - laju menitis dengan banyak dan cepat atau hanya sedikit dan perlahan? Sesuaikah dibuat pembedahan laparoskopi? 
- Buat lagi 2 tebukan pada bahagian tertentu. Periksa keadaan tiub falopian kehamilan ektopik itu, bolehkah ia diselamatkan? Mulakan prosedur memotong tiub falopian yang ada ektopik. Beri perhatian akan kawasan potongan untuk 'menjaga' bekalan darah ke ovari bahagian itu. Beri juga perhatian untuk tidak terlalu 'mengusik' ovari sebelah yang sama. Ini sangat, sangat dan sangat penting - memotong tiub ektopik dan pada masa yang sama menjaga ovari.  
- Pastikan bahagian pembedahan sempurna dibuat dan pendarahan berhenti. Keluarkan potongan tiub falopian ektopik melalui salah satu lubang. Selepas ini barulah sesuai buat penilaian penuh. Periksa tanda-tanda endometriosis, PID etc. Tinjau bahagian lain (dah masukkan teropong tu, ambil kesempatan ini). 

Mungkin jumlah sebenar pendarahan lebih lagi kerana paras Hemoglobin darah beliau turun dari 11g% sebelum pembedahan kepada 9.9g% selepas pembedahan. Saya bekalkan dengan ubat pil zat besi bersama vitamin C untuk sebulan berserta nasihat pemakanan yang ada zat besi. 

.
.
.

Tujuan post ini ditulis adalah nak bagi peringatan penting kepada mereka yang pernah mengalami kehamilan ektopik.

1. Risiko kehamilan ektopik berulang adalah lebih tinggi.

2. Zaman kini, diagnosis kehamilan ektopik dapat dibuat awal, lazimnya sebelum usia kandungan 6 minggu, sebelum ia pecah. Zaman dahulu, ada ibu yang kematian kerana kehamilan ektopik lambat dikesan dan dilakukan pembedahan. Zaman kini, dengan kemudahan TVS dan ujian darah yang membolehkan kehamilan ektopik dikesan awal sebelum ia pecah, maka insiden kematian ibu hamil akibat kehamilan ektopik (pendarahan intra-peritoneal berlebihan) sepatutnya tiada jika ibu dan doktor mengambil langkah di bawah,

Maka;

1. Sekiranya anda lewat didatangi haid, buat UPT, sahkan sama ada anda hamil ataupun tidak. Begitu juga, sekiranya haid anda berlainan (seperti pesakit ini cuma sehari sahaja), lakukan UPT juga, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai simptom awal kehamilan seperti payudara lebih pejal/bengkak serta puting payudara menjadi sensitif. Jika tidak pasti, boleh buat ujian darah BhCG.

2. Jika UPT positif - SEGERA berjumpa pakar sakitpuan untuk pengesahan secara TVS. Jika kantung kandungan telah kelihatan di dalam rahim, anda bolehlah menarik nafas lega.

3. Jika kandungan tidak dapat dikesan di dalam rahim dan ruang rahim kelihatan 'kosong'melalui TVS, ada kemungkinan anda kehamilan ektopik lagi :
- bergantung kepada usia sebenar kandungan anda, doktor akan mengambil tindakan lanjut.
- ujian darah BhCG yang dilakukan 2 kali berselang 48 jam dapat membantu doktor membuat diagnosis. Pada awal kehamilan, paras BhCG dijangka meningkat sebanyak 2 kali ganda selepas 48 jam untuk kandungan di dalam rahim yang normal/sihat. Dalam kehamilan ektopik yang masih hidup/berkembang, paras BhCG meningkat sedikit tetapi tidaklah sampai 2 kali ganda. Begitu juga dengan kandungan dalam rahim yang tidak sihat/normal, BhCG lazimnya meningkat tidak sampai 2 kali ganda. Sekiranya paras BhCG menurun pula, ini bermakna anda mungkin keguguran; sama ada di dalam rahim mahupun ektopik. Ini lazim bagi kebanyak kes, bukan kesemua kes.
- ujian darah hormon progesteron juga dapat membantu doktor membuat diagnosis. Paras hormon progesteron juga lazimnya didapati rendah dalam kehamilan ektopik.
- anda akan diminta datang selepas beberapa hari untuk penilaian lanjut. Atau, anda mungkin akan diminta 'admit' ke wad untuk pemantauan.

.
.

Tugas doktor yang melakukan pembedahan ektopik di antaranya adalah :

- Memaklumkan lebih lanjut akan keadaan kehamilan ektopik anda. Di bahagian mana (paling kerap di dalam tiub falopian). Di kawasan tiub falopian yang mana (hampir terkeluar atau di bahagian ampulla). Dah pecah ke? Berapa jumlah pendarahan,
- Memaklumlan kepada anda akan keadaan di dalam pelvis. Ada penyakit berkaitan ektopik ke tidak eg endometriosis, PID. Ada kelainan pada rupa dan panjang tiub falopian ke tidak (pun salah satu faktor penyebab kehamilan ektopik)
- Memaklumkan kepada anda mengenai keadaan tiub falopian sebelah bertentangan. Ini dapat memberi maklumat mengenai peluang kesuburan anda selepas ini.
- Memberi pesanan seperti di bawah ini (mengenai risiko kehamilan ektopik dalam kandungan akan datang)

Biasanya ini akan diberitahu kepada suami sejurus selepas pembedahan, ataupun akan diberitahu kepada anda sewaktu doktor melakukan 'ward-round' keesokan harinya. Jika doktor tidak memaklumkan kepada anda (mungkin terlupa atau kesibukan), bolehlah anda bertanya perkara-perkara di atas. Kita perlu ambil tahu mengenai diri/kesihatan kita.

.

Tugas anda selepas sihat semula adalah : jika lewat didatangi haid (atau corak pendarahan tidak normal) segera sahkan sama ada anda hamil atau tidak. Buat UPT. Jika tak pasti, buat ujian darah BhCG.

.

Tugas doktor seterusnya pula (jika UPT positif atau BhCG hamil) adalah untuk mengesahkan awal sama ada anda hamil di dalam rahim atau ektopik. Tujuannya bagi menyelamatkan anda daripada komplikasi akibat pendarahan ektopik yang banyak yang boleh menyebabkan kematian, dengan melakukan pembedahan awal/segera.

.

Cara pembedahan kehamilan ektopik : secara laparoskopi bagi doktor yang mahir melakukannya sekiranya kelengkapan peralatan laparoskopi yang cukup. Saya dah pernah tulis mengenai kelebihan pembedahan secara laparoskopi. Satu contoh yang jelas, bayangkan anda melakukan kerja menggunakan mata anda berbanding menggunakan lensa teropong yang boleh dibesarkan kuasa penglihatannya. Teknologi HD sistem kamera laparoskopi kini sangat membantu. Di samping itu, teropong boleh dihalakan ke sudut 360 darjah untuk meninjau bahagian pelvis, bahagian usus eg apendiks dan juga sehingga kawasan atas abdomen (kadang-kala ada kaitan dengan penyakit PID - jangkitan Chlamydia boleh menyebabkan pembentukan sesawang lekatan pada kawasan permukaan hati). 

Pilihan lain adalah secara laparotomi (buka sebesar 5-10 cm melintang) terutamanya jika kelengkapan pembedahan laparoskopi tidak mencukupi. Cuma, penglihatan dan penilaian hanya terhad kepada kawasan bukaan sebesar 5-10 cm itu sahaja. Tak nampak kawasan usus lain, apendik, mahupun hati.


Ingatlah;

1. Kehamilan ektopik boleh menyebabkan kematian kerana kehilangan darah berlebihan (akibat tiub pecah dan darah tumpah ke ruang bebas/inra-peritoneum) sehingga kehabisan darah untuk mengalir ke organ-organ vital/ penting badan. 
2. Itulah sebabnya penting untuk kita kesan seawal mungkin (sebelum ia pecah atau sewaktu pendarahan masih sedikit/boleh dikawal).

.
.
.

Ingat lagi kes di bawah ini?

Kehamilan Ektopik (klik sini)

Beliau sebenarnya Pembantu Klinik saya di Hospital Pusrawi dahulu. Beliau berkahwin pada tahun 2009. Kali pertama kehamilan ektopik pada tahun 2010, saya rujuk ke HUKM atas faktor kos pembedahan (suaminya anggota tentera dan ada GL di sana). Tiub falopian kanan tersebut dibuang secara pembedahan laparoskopi pada Oktober 2010. Ada penyakit endometriosis.

Tidak lama tahun berikutnya (Mei 2011) beliau hamil sekali lagi, tetapi rupa-rupanya mengalami kehamilan ektopik sekali lagi pada tiub falopian kirinya. Sewaktu itu, beliau di kampungnya di  Temerloh, maka pembedahan dilakukan di Hospital Temerloh. Mujurlah didapati tiub falopian kiri tidak perlu dibuang. Pembedahan dilakukan secara 'buka besar melintang' (laparotomi). Pun diberitahu masih ada endometriosis.

Dalam mencuba rawatan kesuburan yang mudah (maklumlah, kos IVF kan mahal), beliau hamil secara spontan! Rezeki!

Bayi ini telahpun sebulan umurnya. Muhammad Qayyim Askari bin Mohd Alwi. (Qayyim = Ketua , Askari = Tentera), dah ayahnya anggota tentera kan. Bekas pembantu klinik saya ini melahirkan bayi lelaki ini secara pembedahan Caesarean di Hospital Pusrawi pada Februari yang lepas. B

Terima kasih kepada mereka kerana sudi berkongsi kisah kehamilan ektopik ini untuk panduan umum.

Sekian.

Alhamdulillah.
(All praise is due to Allah) for the knowledge given.










5 comments:

  1. Dr. Adilah, out of curiosity, patient ni datang haid sehari sahaja, what was the delay until 7 weeks baru datang check-up ye? Sebab dah ada bleeding ke?

    ReplyDelete
  2. I hope you (and your pregnancy) are doing well. That 7 weeks is calculated from her menses in February. 'Period' sehari dalam Mac tu sebenarnya bukan period pun. Dia datang hujung Mac sebab saja nak check kenapa period sekejap. No more bleeding, no pain.
    Take care

    ReplyDelete
    Replies
    1. :) we're fine alhamdulillah. Thank you for the answer. Dr. pun jaga diri ye.

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. Salam doktor , saya dalam proses nak buat IVF, masalah saya ialah saya tak pernah period jika tak makan ubat, menurut pakar yang merawat saya saya kekuragan hormon FSH , boleh kah ianya di rawat? bolehkah saya hamil?. Next step ialah utk buat laproscopy sbb pakar nak tgok , HSG test ok, I need 2nd opinion. my email is fzah77@gmail.com

    ReplyDelete