Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Tuesday, 29 September 2015

Transporter lagi.

Bismillahirrahmanirrahim

Telah lama saya tidak menulis di sini.
Sibuk dengan urusan lain.

Telah lama saya tidak menulis kisah transporter.
Semalam, saya mula bekerja setelah 10 hari bercuti.

Mari kita lihat kes-kes di klinik semalam.

.
.
.

Usianya 38 tahun.

Sebelum ini beliau telahpun menjalani IVF di sebuah pusat di Klang.

Percubaan pertama
Berdasarkan maklmat dari pesakit, IVF kali pertama di sana menggunakan 'Long Protocol' pada penghujung 2013.
Jumlah dos FSH 2800 IU.
Bilangan telur yang diperolehi adalah sebanyak 27. Beliau mengalami komplikasi OHSS, maka prosedur ET ditangguhkan.
Daripada 27 telur, 23 telur matang, 15 menjadi embrio (fertilization rate 15/23 = 65.2%).
Saya jangkakan kesemua 23 telur dibuat ICSI (memandangkan telah diketahui sama ada telur matang ataupun tidak. Dalam IVF pula, proses denudasi telur tidak dilakukan, maka tidak diketahui sama ada telur matan ataupun tidak).
Daripada 15 embrio, hanya 9 embrio dibekusimpan, 6 lagi dibuang (mungkin gred embrio tidak elok agaknya).
Tiada fresh cycle ET.

Pada Februari 2014, beliau menjalani FET (frozen ET).
Daripada 9 embrio yang dibekukan dahulu, 3 embrio di-thaw dan dimasukkan pada 'usia' Day-3 dimasukkan (pada tahap 7-8sel). Maka, beliau masih ada 6 baki embrio yang disimpan.
Beliau tidak hamil.

.
.
.

Percubaan kedua
Pada Jun 2014, beliau menjalani FET sekali lagi di pusat IVF tersebut.
3 embrio berusia Day-3 dimasukkan.
Beliau tidak hamil juga.

Selebih 3 embrio (daripada bilangan asal 6) dibuang.
(Saya tidak pasti mengapa kesemua 6 embrio beku itu di-thaw kesemuanya. Telahan saya, mungkin 3 embrio pertama di-thaw terlebih dahulu tetapi perkembangannya tidak elok sehingga terpaksa dibuang dan 3 embrio berikutnya terpaksa di-thaw. Mungkin. Mungkin juga kesemua 6 embrio tersebut diletakkan di atas satu 'cryotop'/straw yang sama sewaktu dibekusimpan dahulu. Mungkin. Saya/pesakit tidak ada maklumat ini).

.
.
.
Atas nasihat doktor, pada bulanNovember 2014, beliau menjalani prosedur 'endometrial scratching' di sana.
.
.
.

Percubaan ketiga
Memandangkan beliau tiada lagi baki embrio beku, maka pada Februari 2015, beliau menjalani fresh IVF sekali lagi.
Masih di pusat IVF yang sama.
Masih 'Long Protocol' yang sama, cuma kali ini, menggunakan dos suntikan FSH yang lebih rendah (kan dulu beliau mengalami OHSS). Jumlah dos FSH 2025 IU.
Dapat 25 telur, 19 daripadanya M II (telur matang).
10 jadi embrio (fertilization rate 10/19 = 52.6%).
Kali ini, beliau menjalani fresh-cycle ET.
Pada hari ET, 3 embrio dimasukkan pada usia Day-3 (7-8 sel).
Selebih 3 embrio dibekusimpan.
Baki 4 lagi dibuang.


Namun, beliau masih belum berjaya hamil.

.
.
.
Kini;
Setelah 3 kali percubaan ET tidak berjaya, apakah langkah beliau seterusnya?

Mari kita kaji profil beliau:
- usia 38 tahun
- telah 3 kali menjalani ET, setiap kali menggunakan 3 embrio tetapi masih belum hamil.
- kini, beliau masih ada baki 3 frozen embrio yang masih disimpan di pusat IVF itu.
- (maklumat tambahan dari pusat IVF tersebut) kesemua 3 embrio tersebut disimpan dalam satu straw yang sama.

.
.
.

Percubaan keempat
Beliau membuat keputusan untuk 'bertukar angin'.
Pada April 2015, beliau pun datang ke PHKL buat pertama kalinya.
Dengan plan 'nak pindahkan frozen embrio dari pusat ivf itu ke PHKL dan buat FET di PHKL'.
Urusan memindahkan dibuat dengan mendapat kerjasama yang bagus dari pusat ivf itu.
Plan FET dijadualkan selepas raya (susah nak makan ubat 3 kali sehari waktu bulan puasa kan)

Rejimen ubat FET
Saya ubahsuai protokol FET untuk beliau, berbeza dengan apa yang beliau ambil sebelum ini untuk FET.
Beliau didatangi haid 21.07.2015.
Saya gunakan kombinasi suntikan, pil makan dan ubat dimasukkan ke dalam vagina untuk fasa permulaan.
Rahim beliau mengambil masa yang lebih untuk bersedia. Ubat diteruskan lagi.
Apabila memasuki day-25, barulah sampai waktu keadaan rahim beliau bersedia untuk masuk fasa kedua sebelum dimasukkan embrio.

Rejimen ubat ditukar kepada ubat makan dan masuk vagina untuk 'luteal support' dan tarikh memasukkan embrio ditentukan mengikut kesesuaian semua pihak. 
Saya tak buat FET waktu cuti/hujung minggu. Saya juga memastikan agar embriologis saya tidak 'thaw' embrio waktu cuti. Mudah untuk kami, kualiti kerja juga lebih bagus kerana ada masa rehat pada hujung minggu.
Mulanya pesakit bimbang kerana 'cycle day' beliau telah menghampiri hari haid berikutnya. Kitaran haid beliau 28-30 hari.
Saya minta beliau jangan risau dan percaya dengan kaedah ini. Berdasarkan ilmu yang diturunkan dari guru IVF saya di Hamburg dan guru-guru saya di HUKM (mudah-mudahan Allah merahmati mereka), semuanya masih dalam keadaan memuaskan. Kita mesti tahu apa yang kita buat kerana tidak semua pesakit sama kaedahnya.

Kami plan untuk menunggu sehingga embrio mencapai tahap blastocyst barulah dibuat ET.
Saya bercadang untuk masukkan 2 atau 3 embrio.
Memandangkan kesemua 3 embrio itu disimpan dalam straw yang sama, embriologis terpaksa 'thaw' kesemua embrio itu.
Dan membiarkan embrio membesar menjadi blastocyst dalam tempoh yang dijangkakan.

Pada hari FET;
20.08.2015 (cycle day 31. Ya benar, D31 baru saya masukkan embrio-embrio tersebut).
Didapati kesemua 3 embrio menunjukkan perkembangan menjadi blastocyst.
Blastocyst dengan gred yang berbeza.

Kami 'bermesyuarat' mengenai bilangan embrio yang nak dimasukkan.
Embriologis mencadangkan masuk 3 embrio.
Saya masih teragak-agak kerana lebih selesa dengan 2 sahaja memandangkan dah ada blastocyst yang gred bagus. Kalau boleh, saya nak pesakit saya hamil seorang janin sahaja setiap kali. Kandungan kembar lebih berisiko. Tetapi kalau ikut kajian, pada usia beliau, kebiasaannya hanya 1 sahaja embrio yang normal kromosomnya. Kebiasaannya.
Pesakit dan suami pula fikir kalau nak masuk 2 sahaja, sayang nak 'buang' satu lagi embrio.
Kalau nak ikut profil pesakit ini yang telah mengalami kegagalan kehamilan IVF 3 kali sebelumnya, serta usianya yang kini 38 tahun, mungkin memasukkan 3 embrio lebih sesuai. Tapi kalau kesemua 3 embrio menjadi? Hmm....
Apapun, keputusan pesakitlah yang 'final'. Lagipun saya selalu percayakan 'instinct' pesakit.
Keputusan pesakit : masuk 3 embrio.


Maka;

Apakah perbezaan yang boleh menyumbang kepada kehamilan kali ini?

Saya nampak 3 perbezaan

1. Rejimen ubat
- Memang berlainan dengan apa yang beliau gunakan sebelum ini.
- Malah, berlainan juga dengan kebanyakan pesakit saya yang menjalani FET (yang juga berlainan dengan rejimen ubat beliau sebelum ini).
- Rejimen ubat untuk beliau kali ini, ada saya gunakan dalam 15-20% kes FET, keputusan saya buat mengikut profil pesakit.

2. Teknik ET.
- Setiap langkah perlu diteliti.
- Doktor : teknik membersihkan kawasan berhampiran serviks, memilih jenis tiub ET, teknik ultrasound yang jelas, berapa dalamkah tiub ET perlu dimasukkan ke dalam rahim, teknik mengeluarkan tiub ET etc.
- Embriologis : isipadu cecair media di dalam tiub ET, isipadu udara di antaranya, kekuatan 'pressure' sewaktu menekan keluar kandungan tiub ET etc.
- Pesakit : kepatuhan kepada jadual pengambilan ubat, suplemen, makanan dan minuman.

3. Kami bertiga : saya, pesakit dan suami serentak membaca Bismillahirrahmanirrahim sejurus sebelum embriologis (bukan Muslim) menolak masuk kandungan cecair media yang mengandungi embrio ke dalam ruang rahim yang telah saya tetapkan kedudukannya. Sewaktu embriologis sedang menolak masuk cecair yang mengandungi embrio tersebut, saya susuli dengan bacaan 'La haula wala quwwata illa billahil'aliyyul'azim'. Sebagai manusia yang sering lupa, saya tahu saya perlu mengucapkannya secara zahir untuk mengingatkan diri saya bahawa ini bukanlah kerja/kuasa saya.

Sama ada embrio dikultur sehingga tahap blastocsyt memainkan peranan ataupun tidak, pada pendapat saya - tidak.
Ini kerana saya tidak melakukan 'embryo selection'.
Saya masukkan kesemua 3 embrio yang ada.
Jika beliau memilih untuk dimasukkan 2 atau 1 sahaja embrio daripada jumlah 3 yang ada, barulah saya percaya blastocyst-stage 'embryo selection' yang mempengaruhi kehamilan beliau kali ini.

Kita percaya kewujudan Tuhan dan kekuasaanNya menjadikan sesuatu.
Ini telahpun dinyatakan di dalam al-Quran beratus tahun sebelum manusia sendiri mula pandai dan mencipta mikroskop untuk melihat sperma.

Semestinya saintis (manusia) hanya mampu mengiyakan (membuktikan) apa yang telahpun tertulis di dalam al-Quran mengenai kejadian manusia, pembuktian itupun diperolehi beratus tahun selepas al-Quran lengkap diturunkan.
Semestinya juga, bukanlah manusia yang mencipta ayat-ayat al-Quran itu.
Semestinya juga, yang membuat ayat-ayat al-Quran tersebut bukanlah manusia, tetapi Dia Pencipta kita semua.
Jika Dia mengetahui bagaimana kita diciptakan dan menyatakannya di dalam al-Quran dari beratus tahun dahulu, maka kita wajib percaya bahawa Dia yang menciptakan kita.
Dia Yang Maha Bijaksana.
Bila sampai masanya, kita akan hamil jika ditentukan kita akan hamil.

Pada hari keputusan ujian darah BhCG, saya whatsapp beliau memberi ucapan tahniah dan dan mengingatkan beliau supaya 'jangan lupa terus call mak/mertua. Doa emak ni makbul'.

Beliau terus menjawab;

"Ya Dr. Lepas Salina (nurse saya) call bagitau ... terus saya call mak bagitahu berita gembira ni. Tq Dr"

Bagus pesakit-pesakit saya ni.

Tahniah kepada beliau.
Masih awal lagi ni.
Semalam baru hampir 10 minggu.
Beliau akan berjumpa saya sekali lagi bulan hadapan, lawatan terakhir sebelum saya 'pindahkan' beliau kepada pakar O&G yang akan menyambut kelahiran bayinya kelak.
Beliau bercadang ingin bersalin di hospital berhampiran rumahnya.
Semoga kandungan ini sempurna dan selamat dilahirkan cukup bulan.

video
Video janin beliau yang diambil semalam.
'Instinct' pesakit saya benar. Beliau hamil seorang janin. Daripada 3 embrio yang dimasukkan.

.
.
.

Bercakap mengenai al-Quran, alangkan eloknya jika saya/kita fasih berbahasa Arab. Ada seorang pesakit IVF saya (dah bersalin 2 anak pun - kedua-duanya anak IVF) adalah seorang doktor  pakar perubatan yang pandai berbahasa Arab (beliau menuntut ilmu perubatan di Mesir). Alangkah bertuahnya dia. Saya masih merangkak-rangkak ni. Ada banyak 'pengetahuan' di dalam al-Quran yang perlu diteroka.

Maka, musim haji yang baru lepas ini, saya ada mengirim doa pada Ustaz Isahak (bekas guru Bahasa Arab saya di MRSM Jasin) yang menjadi mutawif satu agensi jemaah haji . Saya taipkan doa tersebut (memandangkan tulisan saya seperti cakar ayam) dan dah buat 'timing' doa tersebut mengambil masa tidak sampai 3 minit jika dibacakan dalam kelajuan sederhana. Saya minta guru saya ini 'sedekahkan' masa berharga beliau sewaktu berwukuf di Arafah untuk membacakan teks doa ini:

"
Dengan namaMu Ya Allah, Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Segala puji bagiMu Ya Allah, Tuhan sekalian alam.
Selawat dan salam atas Nabi Muhammad dan keluarganya.

Ya Allah, Maha Pengampun, Maha Pemurah, Maha Penyayang; limpahkanlah rahmatMu ke atas anak muridku, Adilah binti Ahmat dan keluarganya; suaminya, ibubapa, anak-cucunya serta pasangan dan keluarga masing-masing agar mereka semua mendapat belas kasihanMu, dan terus dimasukkan ke syurgaMu tanpa dihisab dan tanpa ke nerakaMu walaupun sesaat. Ampunkanlah dosa-dosa mereka, sama ada yang telah lepas mahupun yang akan datang, yang sengaja mahupun yang tidak sengaja, yang besar mahupun yang kecil. Berilah kebahagian kepada mereka. Anugerahkanlah kesihatan yang baik agar mereka dapat terus beribadat kepadaMu. Berilah nikmat pada mereka untuk melihatMu di syurga kelak. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun.

Ya Allah, Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Pemurah; segeralah makbulkan segala doanya yang baik-baik, yang dimintanya sewaktu dia berwukuf di bumi Arafah ini tahun lepas, agar dia terus sentiasa mensyukuri nikmatMu yang telahpun memakbulkan sebahagian doa-doa tersebut. Pada ketika ini, dia juga sedang tunduk berdoa kepadaMu di tanahair, dengan penuh pengharapan, agar dia juga dilihat olehMu dan para malaikatMu. Maka,  pandanglah juga kepadanya di sana dengan kelembutanMu, dan berilah keistimewaan kepada semua doanya yang baik-baik, sama seperti keistimewaaan yang diberikan kepada doa kami di Arafah ketika ini.

Ya Allah, Maha Berkuasa memberi sesuatu; berilah dia khusyu’ dalam solatnya dan jauhilah dia dari berkata atau berbuat perkara-perkara yang tidak berfaedah, kerana sehingga kini, dia masih belum berjaya menghindarinya. Anugerahkanlah dia kefasihan berbahasa Arab, sama ada secara beransur-ansur ataupun dengan sekelip mata sahaja, agar dia dapat memahami pertuturan solat dan isi al-Quran. Serta jagalah perlakuannnya dalam pekerjaannya, dan jauhilah dia dari kecuaian agar dia dapat menyempurnakannya dengan baik. Berilah nur padanya. Mudah-mudahan dia menjadi hambaMu yang diredhai.

Ya Allah, Maha Mengasihani, peliharalah kaum kami. Berilah kami pemimpin yang mengasihi kami dan jadikanlah kami semua hamba yang menurut perintahMu serta menjauhi laranganMu. Janganlah diturunkan bala ke atas kesalahan kaum kami. Kasihanilah kami dan keturunan kami seterusnya, Ya Allah.


Ya Allah; Maha Mendengar, Maha Mengetahui, Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Pengampun, ampunkanlah dosa kami semua dan rahmatilah kami. "

Mudah-mudahan, doa saya segera dimakbulkan. Aamiiiin.

10 comments:

  1. Salam dr..mcm mana klu suami ada hepatitis b..bolehkah buat ivf n beku embrio

    ReplyDelete
    Replies
    1. Di PHKL, boleh buat IVF/ICSI tetapi bualn dengan harga pakej. Jika hendak embrio dibeku-simpan, sama ada disimpan di dalam satu tangki yang berlainan dan anda perlu membayar kosnya. Jika tidak, embrio lebihan tersebut akan dibuang setelah anda diberitahu terlebih dahulu.

      Delete
  2. Salam dr adilah.. Saya masih ade 2 frozen embryo di HKL (sebelum ini 2x ivf :1 fresh, 1 fet tetapi gagal) bolehkah sekiranya saya ingin mendapatkan rawatan fet di phkl secara transporter?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Call nurse di klinik untuk appointment

      Delete
  3. Assalamualaikum Dr.Adilah,jika ingin buat ivf kerana tiub yg diikat(BTL) adakah pesakit perlu melalui rawatan suntikan hormon(kesuburan)? Atau bole scan vagina utk tentukan waktu subur dan terus melalui prosedur OPU saja? Berapa anggaran kos utk ivf pesakit macam ni?

    ReplyDelete