Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Friday, 22 May 2015

Siri Ingin Tahu Mengenai Kesuburan? - Adakah Ovari Anda Subur?

Bismillahirrahmanirrahim
In the name of Allah, the Most Compassionate, the Most Merciful.



Inilah Burj al Arab Dubai Menara Telekom KL.

Terasa macam nak naik helikopter hot-air balloon keliling bangunan rekaan Hijjas Kasturi Associates Sdn. ini untuk ambil gambar dan mendarat di helipad di atas bangunan ini untuk menikmati pemandangan KL.
Magnificent!

Bertahun kerja di PHKL, baru pertama kali saya ambil gambar 'KL landmark' ini, bangunan cantik yang berdekatan dengan hospital ini, dilihat jelas dari ruang parkir kereta. 
Biasalah tu.....bila di depan mata, tidak begitu menghargai. Cuba kalau bangunan ni di luar negara, dah berkeping-keping upload kat sini agaknya. Baru ku nampak, rupa-rupanya ia bangunan yang sangat, sangat, s.a.n.g.a.t. menawan hati ini, lebih-lebih lagi apabila mengetahui ia dibina dengan konsep intelligently 6-star 'energy-efficient building'.

Intelligent......I find this very exciting....

.
.
.

(masuk isi sebenar tajuk)



Kita kini faham bahawa wanita yang subur itu :

1. subur ovarinya DAN
2. subur rahimnya DAN
3. subur tiub falopiannya DAN
4. mempunyai laluan faraj yang normal untuk menyampaikan air mani (sperma).

.
.
.

Kali ni kita hanya menyentuh bab kesuburan ovari dahulu.

Adakah OVARI (kilang telur) anda subur?


1. Wanita mempunyai dua (2) ovari - satu (1) ovari terletak di sebelah kanan pelvis dan satu (1) ovari lagi terletak di sebelah kiri, bukannya di tengah-tengah pelvis (di tengah-tengah pelvis adalah rahim/uterus/peranakan).

.
.
.

2. Ovari lah yang menghasilkan telur (oocyte) yang akan membesar di dalam kantung (folikel) dan kemudiannya apabila cukup matang, telur ini akan keluar dari dalam folikel yang telah membonjol dari permukaan ovari.

Bagi yang merujuk kepada buku atau bahan ilmiah perubatan:

- Pembesaran telur ini dirujuk sebagai 'follicular growth'.

- Pemantauan pembesaran folikel telur yang lazimnya secara pemeriksaan trans-vaginal scan (TVS) pula dirujuk sebagai 'follicular tracking'.

- Tiada cara untuk melihat telur dengan mata kasar menggunakan scan walaupun secara TVS. Ini kerana (walaupun telur adalah sel terbesar di dalam tubuh wanita) saiz telur sangatlah kecil, hanya sekitar 0.1 mm sahaja. Yang dapat dilihat dengan mata kasar dan kemudiannya diukur hanyalah saiz (diameter) folikel. Folikel dikatakan matang/cantik/besar apabila diameternya mencapai di antara 17-22 mm. Selepas mencapai saiz ini, telur (jika ada) di dalam folikel ini bersedia untuk keluar, proses keluar ini dinamakan ovulasi (ovulation).

- Pengeluaran telur dari dalam folikel yang membonjol dari permukaan ovari ibi membolehkan telur  bebas supaya dapat diambil oleh tiub falopian. Itu pun jika tiub falopian tidak tersumbat serta berfungsi elok. Jika tidak, telur ini akan 'jatuh' ke mana-mana dalam ruang pelvis kita.

- Ovulasi sepatutnya berlaku sekali pada setiap kitaran/bulan, lazimnya sekitar 14 hari sebelum haid berikutnya. Kitaran haid yang normal pula adalah di antara 25-35 hari.

.
.
.

3. Tiada giliran atau peraturan dari ovari manakah ovulasi berlaku. Adakah pada bulan ini ovulasi anda berlaku dari ovari kanan, ataupun ovari kiri? Ada kalanya, ovulasi hanya berlaku dari sebelah ovari sahaja pada berturut-turut kitaran, ada kalanya pula ovulasi berlaku secara berselang.

.
.
.

Janganlah sangka jika sebelah tiub falopian anda rosak atau telah dibuang, peluang anda hamil adalah selang sebulan kerana menyangka ovulasi berlaku berselang bulan.

Contohnya;
Bagi yang telah kehilangan satu tiub falopian yang dibuang akibat kehamilan ektopik, peluang anda hamil masih ada, sekiranya ovulasi berlaku pada sebelah yang sama dengan tiub yang masih ada (sekiranya tiub tersebut tidak tersumbat dan berfungsi normal).

Seeloknya jalanilah scan TVS untuk mengetahui adakah fokilel telur membesar dari ovari yang sama sebelah tiub yang masih ada/normal.

.
.
.

4. Walaupun hanya satu sahaja telur yang akan mengalami ovulasi dalam setiap kitaran wanita yang subur ovarinya, namun pada awal kitaran, sebenarnya ada banyak telur-telur awal (disebut folikel primer) yang join 'berlumba' dalam kitaran itu dan 'mencuba nasib' untuk membesar, walaupun pada akhirnya hanya satu sahaja yang menang berjaya terus membesar untuk ovulasi. (kecuali dalam wanita yang mempunyai sejarah kembar dalam keluarganya, kadang-kadang boleh ada lebih daripada satu folikel yang matang dalam sesuatu kitaran)

Folikel-folikel primer ini dirujuk sebagai 'antral follicles' dan bilangannya pula dirujuk sebagai 'antral follicle count' atau AFC . Ia dapat dilihat dan dikira menggunakan kaedah TVS pada awal kedatangan haid.

Semakin berusia wanita, semakin rendah bilangan AFC.
Jika beri ubat subur ovari berdos tinggi juga tidak dapat menambah bilangan AFC.
Itulah sebabnya tidak digalakkan menunggu lebih lama atau berusia kerana AFC rendah dan kualiti telur (oocyte) juga menurun.

.
.
.

Itu pun jika wanita tersebut subur ovarinya.

.
.
.

Jika ovarinya tidak subur?

Jika tidak subur, tiada satupun telur yang berjaya membesar.....

.
.
.

Maka tiadalah ovulasi pada bulan tersebut.
Maknanya tiadalah juga peluang untuk kehamilan.

.
.
.

Nota kaki:

i. Apakah maknanya lagi apabila mengetahui ada sekumpulan (bukan satu sahaja) telur-telur yang 'standby' pada awal kitaran?

Ini bermakna, kita boleh menggunakan ubat kesuburan (ovari) untuk merangsang lebih daripada satu kantung telur membesar. Ubat subur sebenarnya berfungsi menyuburkan ovari, bukannya menyuburkan tiub falopian, bukan juga menyuburkan rahim. Jika tiub falopian anda tersumbat, ubat subur tidak menyuburkan (tiub falopian) anda.

Tindakbalas ovari terhadap ubat subur ini bergantung kepada jenis ubat (suntikan FSH lebih kuat kesannya berbanding pil Clomiphene citrate), dos ubat kesuburan dan AFC.

AFC tidak semestinya sama atau sedikit berlebihan atau berkurangan dari kitaran ke kitaran. Ada kalanya, AFC bulan ini kurang tetapi  AFC bulan berikutnya pula elok bilangannya.

.
.

ii. Bayi perempuan dilahirkan dengan sejumlah telur (primary oocytes) sebagai bekalan sepanjang fasa reproduksinya. Telur-telur ini mula digunakan sewaktu tempoh reproduktifnya (bermula haid pertama) sehinggalah kemudiannya berhenti (apabila kita menopaus).

Apakah maknanya ini?

- bilangan telur kita yang berjuta sebelum lahir dahulu akan terus berkurangan dari masa ke semasa, tidak diganti, juga tidak bertambah walaupun diberikan ubat subur.

(Sebenarnya terkini ada kajian awal menunjukkan penyataan di atas mungkin tidak lagi benar  i.e. ada kemungkinan wanita boleh terus menghasilkan telur dari 'oocyte precursor cells' atau 'germline stem cells'. Biar betul???)

- semakin lama, telur juga semakin berusia/tua. Maklumlah, ia wujud dari waktu kita masih janin berusia 5 bulan di dalam kandungan ibu. Ini juga bermakna, kualiti telur semakin berkurangan kerana selama usia kita itulah telur-telur ini terdedah kepada apa-apa sahaja kesan persekitaran (sama ada baik ataupun tidak) termasuklah apa yang kita makan/ambil. Maka, berhati-hatilah dengan apa yang anda ambil atau makan. Pernah dengar 'peribahasa moden' you are what you eat" ?

.
.

iii. Janganlah malu sekiranya kini anda baru faham akan kesuburan ovari. Anda bukan keseorangan.

Sehingga kini , masih ada pesakit saya yang menyangka:

- ovari dan rahim adalah organ yang sama, 
- ovari terletak di tengah-tengah, 
- jika haid keluar itu bermakna ovari juga subur, 
- ubat subur adalah seperti ubat magik i.e. ubat 'penyembuh segala penyakit' yang menyuburkan ovari, tiub falopian dan rahim sekaligus dll.

Tanggapan ini tidak benar.
Tetapi mereka tidak perlu malu. Ini bukan bidang mereka.

Sama seperti saya yang tidak faham banyak perkara eg. mengenai cara mencantikkan laman blog ini, atau mengenai istilah yang digunakan oleh pegawai bank apabila saya ingin membuat pinjaman, ataupun penggunaan telefon melebihi membuat panngilan-dan-menjawab sahaja, ataupun menukar tayar kereta.

Yang penting ialah kita ingin belajar perkara yang perlu kita belajar.
Kalau tak faham, kenalah bertanya.
Masalahnya ialah apabila kita tak tahu yang kita sebenarnya tak tahu......


"Belajar sepanjang hayat"

......

Saya masih tak minat nak tahu tak tahu nak tukar tayar kereta dll.......



Alhamdulillah - all praise is due to Allah

9 comments:

  1. Assalamualaikum Dr..saya sangat suka baca blog Dr. kerana dapat banyak ilmu baru tentang kesuburan..Saya follow blog Dr.

    Cuma agak silau mata saya tiap kali nak baca entry terbaru..huhu..

    ReplyDelete
  2. Salam...dr. adila...sy nak tanya...mengapa ET sy masih lg nipis (7.7 ) sedangkan sy mempunyai folical yang besar ( 23mm)......adakah ini j (ET nipis) punca sy tidak berjaya iui1...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada beberapa punca, antaranya : pengambilan pil Clomiphene citrate, merokok, peradangan akibat penyakit seperti TB endometrium dll. Doktor biasanya akan memberikan ubat tambahan untuk mengatasi ET nipis.

      Delete
  3. Assalamualaikum doktor
    Apa maksud laluan faraj sempurna?

    Saya ada buat iui ,doktor beritahu laluan faraj sy bengkang bengkok.adakah saya kategori laluan faraj tidak sempurna?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun baru pertama kali mendengar istilah faraj bengkang-bengkok. Setahu saya faraj tiada bentuk kukuh kerana ia hanyalah otot nipis sahaja dikelilingi oleh organ seperti rektum/usus , pundi kencing, lelemak dan otot punggung.......

      Delete
  4. As salam dr. Sy dr sarawak.dn ingin mendapatkan.rawatn ivf dgn dr. Sdh smstinya masalah utama sy adlh jarak. Mengikut prosedur tmujnji yg dr sediakan itu, bolehkah sy pergi utk bbrp tmujnji yg sgt pntg shj..krn sy merancang utk buat ivf pd.awal.cuti sekolah bln 11 nnti krn.sy seorg guru...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya juga 'sekolah'. Maka setiap kali cuti sekolah, saya akan bercuti menemankan anak

      Delete
  5. Assalamualaikum doc..
    Sy irrigular period n sebelum kawen pernah pergi klinik. Doc ckp sy pcos. Sy dah 1tahun 5bulan kawen tapi masih tak prgnent. Macammana cara sy nk buat rawatan dgn doc? Kena buat appointment dulu ke camne..?

    ReplyDelete