Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Sunday, 22 March 2015

Siri Ingin Tahu Mengenai Kesuburan ? - Pertemuan Ovum dan Sperma


Bismillahirrahmanirrahim

...bersambung Kisah 'Ingin Tahu Mengenai Kesuburan?'


(pengakuan)
Ini bukan di rumah kami.
Pokok bunga di rumah kami kadang-kadang sahaja subur berbunga, banyak kadang hanya daun dan pohon sahaja.






Bagaimana kehamilan terjadi?

1. Mesti ada penghasilan ovum dan sperma
2. Mesti ada pertemuan ovum dengan sperma
3. Mesti ada persenyawaan ovum oleh sperma membentuk embrio
4. Mesti ada implantasi embrio di dalam rahim

.
.
.

Kita telah belajar bagaimana satu sperma yang normal kromosomnya mensenyawakan satu ovum yang normal kromosomnya untuk menghasilkan satu embrio yang juga normal kromosomnya.

Ini baru dinamakan persenyawaan.
Belum lagi implantasi embrio.
Belum lagi kehamilan.


Seperti beberapa tayangan gambar yang mempunyai siri, 'movie' yang pertama ditayangkan sebenarnya bukanlah episod pertama.
Ada episod sebelumnya / prelude.

Dalam hal kesuburan, episod sebelum persenyawaan adalah :
1. Penghasilan ovum dan sperma 
2. Pertemuan ovum dan sperma boleh bertemu 


Kita masuk episod satu langkah sahaja sebelum persenyawaan.

Sebelum persenyawaan, kena ada pertemuan.

.
.
.

'Pertemuan di antara ovum dan sperma'.


Di manakah pertemuan ini berlaku?

Pertemuan ini berlaku di dalam tiub falopian pada kawasan 1/3 penghujung ie berhampiran bukaan / fimbriae.

Untuk ovum memasuki dalam tiub falopian ini, ovum mestilah 'dibawa masuk' oleh tiub falopian itu. Ovum tidak boleh 'berjalan' sendiri memasuki tiub falopian, maklumlah, ovum tiada kaki atau otot untuk bergerak. 

Tambahan pula, ada ruang bebas di antara ovari dan tiub falopian, bukannya ada laluan bersambung terus seperti dinding/koridor.

Maka,

Apakah struktur yang penting untuk memasukkan ovum ke dalam tiub falopian?

Yang penting di sini ialah tiub falopian itu sendiri.

Tiub falopian mestilah mempunyai 2 sifat utama:

1. Tidak tersumbat
2. Aktif / sihat fungsinya

Selepas ovum terkeluar dari permukaan ovari (ini dinamakan ovulasi), jejari halus yang dinamakan fimbriae pada penghujung tiub falopian yang berbentuk serombong itu akan aktif 'menyapu' ovum ini memasuki tiub falopian. 

Jadi, aktiviti tiub falopian ini penting.

Sekiranya fimbriae berpenyakit eg melekat-lekat sehingga menyukarkan 'pergerakannya', maka ia tidak dapat menangkap ovum masuk ke dalam tiub falopian.

Juga, sekiranya otot dinding tiub falopian yang memegang rerambut halus di permukaan bahagian dalam tiub falopian (villi) mengalami kerosakan/penyakit, ia tidak dapat menolak ovum lebih ke dalam atau menolak sperma menghampiri ovum, atau menolak embrio memasuki ruang rahim.

Keadaan ini masih boleh berlaku walaupun apabila diuji, tiub falopian tidak tersumbat sepenuhnya.

.
.
.

Sekiranya tiub falopian tersumbat pula, memanglah ovum tidak dapat dimasukkan ke dalamnya kan?
Ini mudah difahami dan hakikat ini mudah diterima oleh pesakit.
Tetapi ramai yang menyangka itu sahaja, sedangkan faktor 'kesihatan' tiub falopian juga penting untuk kesuburan (walaupun tidak tersumbat) agak sukar diterima kenyataannya.

.
.
.

Selain itu, kelenjar-kelenjar di dalam tiub falopian juga penting menyediakan nutrien bagi menyambung membekalkan 'makanan' kepada sperma, embrio dan juga telur (walaupun telur mendapat makanannya sendiri - tahukah mengapa saiz telur sangat besar? Malah telur adalah sel terbesar di dalam badan kita)

.
.
.

Inilah antara asas kelebihan rawatan IVF (persenyawaan tabung uji), sama ada IVF ataupun ICSI :

'menyediakan kawasan pertemuan ovum dan sperma'

Ikan di laut, asam di darat, dalam kuali bertemu juga
Telur di ovari, sperma di epididymis, dalam tabung uji bertemu juga.

Nama sahaja tabung uji, tetapi bukanlah berbentuk tabung uji seperti yang kita biasa gunakan di makmal sekolah.


Bagi menggantikan fungsi tiub falopian;
- Tabung uji menggantikan tiub falopian,
- Tabung uji itu diisi dänga cecair (IVF culture media) yang mengandungi bahan nutrien
- Tabung uji itu pula dimasukkan ke dalam inkubator pada suhu badan menyerupai suhu badan manusia

Ketiga-tiga di atas adalah bagi menyerupai keadaan di dalam tiub falopian di dalam tubuh.

.
.
.

Inilah yang menjadikan peluang kehamilan IVF paling tinggi, kerana ovum dan sperma pasti bertemu (di dalam tabung ujilah, di mana lagi?).

Cuma, selepas itu:

- adakah persenyawaan akan berlaku ataupun tidak?
- adakah implantasi berlaku ataupun tidak?


Sekian
All praise is due to Allah

2 comments:

  1. salam dr
    klu kes dimana fimbriea tak dpt tangkap telur, ada rawatan ke?

    ReplyDelete
  2. Terima kasih Dr. Adilah..semua post mudah difahami, saya masih menerima rawatan di hospital kerajaan, mungkin akan cuba ovarian drilling & last iui sekiranya masih gagal dinasihatkan buat ivf..

    ReplyDelete