Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Thursday, 12 February 2015

D21 serum Progesterone





Bismillahirrahmanirrahim.


D21 PROGESTERONE

(Salah tajuk)

Yang pernah menjalani pemeriksaan atau rawatan subfertiliti faham apa yang saya maksudkan dengan D21 progesteron.

Untuk yang belum tahu, saya kongsi secara ringkasan.
Untuk yang dah tahu, saya bagi ulangkaji.

Sesi ulangkaji ini dijalankan secara 'pesakit saya tanya sendiri dan saya jawab sendiri' :))

.
.
.

1. Apa itu hormon progesteron?

- Hormon yang dikeluarkan dengan banyak oleh selaput kantung telur (corpus luteum) selepas ovulasi.
- Untuk sumber/tujuan/kesan progesteron yang lain, silalah google sendiri ya, banyak yang menarik mengenai progesteron ni tau.

.
.

2. Di manakah hormon progesterone dihasilkan?

- Paling banyak : semestinya oleh ovari. Sejurus selepas ovulasi, kelonsong/kantung telur yang tinggal selepas ovulasi iaitu corpus luteum di dalam ovari pun mula menghasilkan progesterone.

- Selain ovari : ia juga dihasilkan dalam kuantiti yang sedikit oleh kelenjar adrenal, tisu otak dan juga err.......lemak (kolesterol) pada badan kita.
- Itulah sebabnya paras hormon progesterone masih ada (bukan sifar atau 0) walaupun wanita itu tidak mengalami ovulasi pada bulan/kitaran tersebut, tetapi dalam paras yang sangat rendah.
- Ini juga bermakna lelaki juga mempunyai progesteron dihasilkan di dalam tubuhnya.

- Apabila kita hamil, progesterone kemudiannya dihasilkan dengan lebih banyak oleh uri (plasenta).

.
.

3. Mengapa D21?

- (silalah fahami soalan 2 dan jawapannya, kemudiannya kaitkan dengan bilangan kitaran haid wanita)

-D21 bermakna hari ke 21 (Day 21) daripada hari pertama haid dalam kitaran tersebut.

- Kebanyakan wanita yang subur mempunyai kitaran haid sekita 28 hari (25-35 hari). Kitaran haid pula adalah jarak tempoh di antara D1 haid kepada D1 haid berikutnya.

- Ovulasi pula selalunya berlaku 14 hari sebelum D1 berikutnya. Ini adalah satu fakta asas yang perlu diingati dalam kitaran haid/kesuburan. Tidak kira berapa panjangkah kitarannya (asalkan teratur), hari ovulasi dikira 14 hari 'backwards' dari D1 haid berikutnya. Angka 14 ini adalah tetap.

- Setelah ovulasi, barulah corpus luteum terbentuk dan barulah corpus luteum ini mula menghasilkan progesteron dan ia berada pada paras yang tinggi kira-kira seminggu selepas itu dan berterusan pada paras tersebut sebelum ia menurun (sekiranya tiada persenyawaan oleh sperma) dan berlakulah haid.
- (Sekiranya berlaku implantasi embrio/kehamilan pula, paras progesteron akan terus meningkat hasil rangsangan dari hormon hCG ke atas corpus luteum dan kemudiannya pula oleh uri).

- Maka, 
Bagi wanita yang mempunyai kitaran haid 28 hari setiap bulan, ovulasi dijangka berlaku pada '28-14=14' iaitu D14; manakala seminggu selepas itu pula (D21), paras progesteron dijangka telahpun meningkat akibat penghasilan oleh corpus luteum di dalam ovari. Inilah sebabnya dalam wanita itu, ujian pengesahan ovulasi dilakukan pada D21 (sebenarnya dengan syarat kitaran haid wanita tersebut adalah sekitar 28 hari)

.
.

4. Apakah maknanya keputusan ini?

- Sekiranya paras progesteron tinggi ini bermakna telah berlaku ovulasi pada bulan/kitaran tersebut kira-kira seminggu yang lepas dan bolehlah dikatakan wanita itu subur ovarinya pada bulan tersebut.
- Sekiranya paras progesteron rendah, maka ia bermakna tiada ovulasi berlaku dalam masa seminggu sebelum ujian tersebut dilakukan.

- Tetapi ini tidaklah tepat bagi semua wanita walaupun mereka sebenarnya subur.
- Contohnya; jika kitaran haid wanita tersebut setiap 35 hari, maka ovulasi dijangka berlaku pada 35-14 = 21 iaitu D21. Maka ujian progesteron sepatutnya dilakukan pada seminggu selepas hari ovulasinya iaitu D21=7=28 iaitu D28. Maka, jika dilakukan ujian darah progesterone pada D21, semestinyalah paras progesteron masih rendah. Tak semena-mena wanita ini akan sedih kerana menyangka ovari beliau tidak subur kerana tiada ovulasi, padahal hari ujian tersebut sepatutnya dilakukan pada 35-7 = 28 iaitu D28.

.
.

5. Jadi, bilakah sebenarnya ia patut dilakukan?

- (fahami semula soalan 4 dan jawapannya)
- Ujian darah progesteron sepatutnya dilakukan kira-kira seminggu sebelum jangkaan haid akan datang.
- Pada fast mid-luteal.
- Maka ujian darah untuk pengesahan ovulasi bukanlah namanya Day21 tetapi D21 mid-luteal progesterone.
- Dalam ertikata lain, sekiranya wanita tersebut mempunyai kitaran haid yang tetap, kira dahulu hari ovulasinya (bilangan hari kitaran - 14). Kemudian hasil pengiraan ini ditambah pula dengan 7.  

- Contohnya :
Sekiranya kitaran haid 28 hari : buat D21 barulah paras progesteron cantik/tinggi
Sekiranya ktaran haid 35 hari : buat D28
Sekiranya kitaran haid 40 hari : buat D33
Sekiranya kitaran haid tidak tetap ? (dah boleh jawab sendiri kan?)
- pada borang ujian darah sepatutnya ditulis/diminta mid-luteal progesterone ataupun progesterone sahaja, bukannya D21.

- (cerita lain mengenai ujian progesteron) Saya masih menemui pesakit-pesakit yang datang pertama kali membawa hasil ujian darah progesteron yang dilakukan pada awal haid sekitar D3 kerana ia termasuk dalam pakej ujian kesuburan bersama-sama ujian lain yang lazimnya dilakukan (FSH/LH/Estradiol) dan saya masih belum dapat faham mengapa ia dilakukan? Ada sesiapa yang boleh beri penjelasan mengapa serum progesteron diambil pada D3 kerana semestinya parasnya akan rendah? Ini kerana saya masih buntu. Hanya satu sahaja sebab yang pada fikiran saya mungkin memberikan keputusan progesteron yang tinggi : iaitu jika sebenarnya haid tersebut bukanlah haid tetapi wanita tersebut hamil tetapi mengalami pendarahan yang disangka haid. Untuk makluman, saya  memang ada melakukan ujian FSH/LH/Estradiol pada sekitar D3 atas logik yang saya faham tetapi ini adalah topik lain, itupun tidak semua pesakit saya diminta menjalani ujian D3 FSH/LH/Estradiol ini.

.
.

6. (berbalik kepada progesteron) Habis tu, mengapa saya sendiri tak/sangat jarang lakukan ke atas pesakit-pesakit saya? Saya tak nak tahu ke sama ada pesakit saya subur ovarinya (boleh ovulasi)?

- Kan tujuan ujian hanya nak tahu sama ada pesakit telah ovulasi ataupun tidak.
- Sekiranya kitaran haidnya teratur, lazimnya mereka ni mempunyai ovulasi yang teratur (itu sebab saya tak perlu buat pun ke atas mereka). Mereka memang subur ovarinya.

- Jika saya nak mengesahkan betul ada ovulasi atau tidak pun, saya cuma perlu melakukan imbasan ultrasound trans-vaginal. Malah kantung-kantung telur boleh di-monitor pembesarannya, bilangannya, dan kemudiannya ovulasinya. Keputusannya pula dapat diketahui pada sesi check-up yang sama.
Kan alat ultrasound tu ada di dalam klinik saya? Melalui monitoring secara scan, saya boleh tahu berapa bilangan kantung telur awal kitaran (sebelum saya menetapkan jenis dan dos ubat kesuburan), berapa yang membesar (untuk mengetahui keberkesanan ubat kesuburan dan sama ada perlu disambung atau ditambah dosnya), bilakah akan berlaku ovulasi (berdasarkan saiz kantung telur), adakah ovulasi telah berlaku (selepas kira-kira > 40 jam suntikan pencetus ovulasi diberikan) dll. Banyak informasi yang menjadi panduan rawatan seterusnya.

- Manakala ujian darah pula : kena caj tambahan, sakit diambil darah dan keputusannya pula hanya dapat diketahui keesokannya. (Tetapi, kalau pesakit saya nak juga buat ujian ni, dipersilakan, tiada halangan).

- Lagipun ujian darah progesteron hanya membuktikan ovulasi telah pun berlaku beberapa hari yang lepas. Bukannya akan berlaku, bukan juga baru lagi eg semalam berlaku.

- Jika di klinik saya tiada kemudahan ultrasound trans-vaginal atau sekiranya saya ditakdirkan tidak pandai mentafsir imej ultrasound trans-vaginal, barulah saya terpaksa melakukan ujian progesteron. Hanya sekiranya saya ketiadaan ultrasound.

- Apa pun, sama ada ovulasi atau tiada ovulasi, ia tidak mengubah cara rawatan saya. Dalam >90 kes, pesakit bersetuju apabila saya cadangkan pengambilan ubat kesuburan (lazimnya pil dahulu) untuk membanyakkan bilangan telur matang kerana mereka faham dengan bilangan telur melebihi satu (jika mereka ada ovulasi/subur), peluang kehamilan mereka meningkat.

- Lagipun (asyik lagipun ni), tak kan bulan depan atau setiap bulan nak check darah progesterone lagi? Tidak semestinya jika bulan ini tiada ovulasi, bulan berikutnya juga tiada. Ingat, ada keadaan wanita bersifat 'ovulatory cycles' (kitarannya ada ovulasi), ada yang 'anovulatory cycles' (kitarannya tiada ovulasi) dan ada yang 'oligo-ovulatory cycles' (hanya ada beberapa sahaja kitaran dalam setahun itu yang ada ovulasi).

- Hanya dalam keadaan wanita yang ingin menjalani pemeriksaan kesuburan sahaja tetapi tidak untuk rawatan eg belum berkahwin tetapi ingin mengetahui tahap kesuburannya, barulah saya melakukan ujian progesteron ini, pada kira-kira seminggu selepas jangkaan ovulasi, tidak semestinya D21.

.
.

7. Jadi, bagaimana saya nak tahu jika pesakit saya subur ovarinya (boleh mengeluarkan telur) ?

- (baca semula soalan 6 dan jawapannya) apa lagi, saya tanyalah sejarah kitaran haid pesakit dan kemudiannya buat ultrasound trans-vaginal.

- Itu sebabnya saya galakkan pesakit datang pada sekitar D12 untuk lawatan pertama, jika kitaran haidnya teratur dan sekitar 28 hari, saya sepatutnya dapat lihat ada satu kantung telur besar (matang) sama ada di dalam ovari kanan ataupun kirinya. Juga, lapisan endometriumnya telah tebal (petanda paras estrogen yang cantik) dan 'berwarna hitam'/hypo-echoic, maka nak tengok endometrial polyp pun senang. Sesi follow-up pula berselang beberapa hari, saya buat scan untuk lihat sama ada telah berlakunya ovulasi atau tidak di samping saya dapat melihat hasil ujian darah (jika ada) yang dilakukan sebelumnya.

- Jika kitaran haidnya panjang atau tidak teratur, saya akan aturkan lawatan susulan untuk tujuan yang sama.

.
.
.

Sekian.
Terima kasih kepada guru-guru di HUKM, HKL dan di FCH yang memberi tunjuk ajar, serta 'guru-guru' informal yang memberi inspirasi.
Semoga ilmu ini pula dapat dikongsi bersama pelajar perubatan dan rakan doktor lain.
Jika salah, harap betulkan.
Saya terbuka terhadap 'pertikaian yang positif'.


Allahu'-a'lam : Allah Maha Mengetahui
Alhamdulillah : (segala) puji-pujian bagi Allah






6 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Salam dr adilah..last mnth sy ade buat iui tapi gagal..1st day period on thursday..sy dah buat appointment and dpt jumpe dr this coming tuesday (D4)..boleh x sy cont fertility treatment (iui) utk bulan ni..

    ReplyDelete
  3. Assalam.. Saya ingin bertanya. Tube kiri saya disahkan kembang / membengkak. Hal ini menyebabkan tube saya jadi sempit. Saya dlm proses utk buat IVF. Soalan saya, perlukah saya menjalani operation utk besarkan tube yg tersumbat itu sebelum meneruskan dengan prosedur IVF. Terima kasih.

    ReplyDelete
  4. Salam doc,
    sy mempunyai kitaran haid yg tk mènentu average 34-37 days ..jika saya nak buat appointment untuk jumla doc dan say hanya berpandukan ovulation calendar sy boleh ksn doc?

    ReplyDelete