Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Monday, 26 January 2015

(selingan) From Taiping With Love

Bismillahirrahmanirrahim.

Mereka yang sama generasi dengan saya mungkin pernah baca tagline 'From Taiping With Love' ini.



Taiping dalam sejarah kehidupan saya

Pertama kali menjejakkan kaki ke Taiping adalah pada tahun 1985 atau 1986 sewaktu rombongan sekolah menengah ke Pertandingan Akhir Perbahasan Bahasa Ingeris di antara sekolah kami dan siapa lagi - MRSM Taiping lah. Memandangkan saya tidak lancar berbahasa Inggeris, maka saya tidaklah dapat menjadi wakil pembahas tetapi hanyalah sebagai penyokong sahaja, heheh. Kami hanya duduk semalam sahaja di sana, menumpang tidur di asrama. Setahun kemudian, rakan se-batch MRSM Taiping membuat kunjungan balas ke Jasin 

Tidak ku sangka, diri ini akan bermukim di Taiping untuk tempoh lebih lama lagi….

Ceritanya begini;


Selepas tamat menjalani housemanship di Hospital Seremban, saya diarahkan melapor diri di Pejabat Kesihatan Negeri Ipoh sebelum ditempatkan bertugas di Negeri Perak Darul Ridzuan. Sewaktu itu, saya berumur 26 tahun. Di alam kedoktoron, usia itu masih 'poyo' lagi, buat kerja pun belum pandai mana pun.

Pada hari yang sama melapor diri, barulah saya tahu di mana saya ditempatkan : Hospital Taiping. Abah emak menemani saya ke Taiping, kami tiada saudara dekat di sana, hanyalah adik kepada ipar emak saya, itupun beliau tidaklah selalu duduk di rumahnya di situ. Dalam kebuntuan, rupanya ada jiran setaman beliau yang sangat baik hati menumpangkan saya di rumah mereka sehinggalah saya dapat mencari rumah sewa. Duduklah saya di sana, dengan percuma (malunya saya dengan mereka), malah menumpang kereta ke hospital pula. Mereka berdua memang bekerja di hospital Taiping itu.

Kerana malu menumpang lama tanpa sebarang bayaran, selepas beberapa minggu, saya kemudiannya berpindah menumpang di Asrama Jururawat sebelum menyewa rumah kedai di seberang jalan hospital itu, bersama 2 lagi staf Hospital Taiping - seorang pegawai farmasi dan seorang lagi kerani pentadbiran. Itu pun, Kak Norsiah masih lagi menghantar bekalan makanan dan buah-buahan termasuklah tempoyak kegemaran saya…mmmmm…sedapnya. Saya juga kadang-kala mengunjunginya di bahagian Farmasi tempat beliau bekerja bertanya khabar. Saya ber'musafir' di Taiping selama setahun.


Itu 19 belas tahun yang lepas. Saya tidak kembali lagi ke sana selepas itu.


Sehinggalah semalam, saya ditemani room-mate saya berkunjung ke rumah Kak Norsiah dan Abang Idrus.

Kebetulan, room-mate saya memberikan ceramah 'Early Endometrial Cancer : Role of Adjuvant Therapy' di Persidangan ESMO-MOS (European-Malaysian Oncology Societies bla bla bla) di Batu Ferringhi, Penang pada hari ini. Kali ini, dia mencadangkan kami berkereta ke Penang. Cadangan disokong! Saya pun menyelitkan program ke Taiping.


Sesi lawatan ke sekolah My Clone pula ditukar kepada hari sebelumnya, Jumaat. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya mengambil cuti pada hari kelahirannya untuk membuat lawatan mengejut (dah setiap tahun ni, bagi dia bukanlah kejutan pun). Tahun ini, room-mate saya juga mengambil cuti meraikan harijadinya! Happy birthday, Iman. Telah 16 tahun sejak saya 'dilahirkan' sebagai seorang ibu. Banyak lagi yang perlu dipelajari. 

Ya Allah. Siapa yang boleh lupa rupa ni. Mereka yang di LPPKN dan Pusrawi kenal benar perangai My Clone. Dia akan jelir lidah pada sesiapa sahaja yang dia tak suka. Main sana-sini sampaikan rambut bertepek-tepek di dahi sebab banyak berpeluh. Pakaian pula ala-ala boy, hanya seluar pendek dan t-shirt tanpa lengan termasuklah pada Hari Raya pertama, seluar dan baju berlainan warna pula tu, colour block sungguh! Sekarang dia dah banyak berubah. alhamdulillah.



Dah lama betul tak lalu terowong di Gua Tempurung ini. 



Kami gunakan exit Changkat Jering. 
Banyak sejarah Taiping rupanya (saya langsung tak ingat apa yang saya belajar waktu sekolah dahulu kecuali tajuk topik eg Perjanjian Pangkor, landasan keretapi Taiping-Port Weld). Saya memang tak suka subjek Sejarah (sebenarnya beberapa subjek lain juga tetapi nanti nampak sangat saya tak suka dipaksa belajar masa sekolah dulu).


Masuk sahaja bandar Taiping, kami terus masuk ke kawasan hospital.

Ini kawasan parkir kereta di hadapan bahagian O&G Hospital Taiping. Di sebelah kanan ada Bilik Bersalin dan Wad Antenatal. Di sebelah kiri (tak nampak dalam gambar) ada Klinik O&G. Masih sama.



Sekarang, berhadapan kawasan tadi, sudah siap bangunan baru untuk O&G (masih belum dibuka).

Ini pula deretan rumah kedai yang pernah saya sewa dahulu.


Rasanya yang di Tingkat pertama atas kedai 7-11 itu ataupun di atas kedai buku sebelahnya tempat saya menyewa. 

Unit kami rasanya tak sampai 400kps pun, muat 2 bilik, 1 ruang tamu, dapur dan 1 bilik mandi
/ tandas. Perabotnya hanyalah tilam span dan almari plastik berzip. Rakan serumah telahpun membeli peralatan memasak dan television sebelum saya masuk. Dengan gaji bulanan sebanyak tidak sampai RM1800, ansuran kereta, emak abah, kos membaiki kereta (maklumlah, kereta second-hand, hampir setiap bulan ada sahaja kerosakan), berapalah sangat yang berbaki. Inilah kediaman yang saya mampu pada waktu itu. Yang penting, dekat dengan tempat kerja. Sehingga kini, saya masih mengamalkan memilih rumah yang berdekatan dengan tempat kerja.


Setelah itu, kami berjalan-jalan sekitar bandar, kaki Bukit Larut, Taman Tasik dan mengunjungi Galeria Pertama.



Pernah dengar lagu Perak Darul Ridzuan?
Panjang lagunya.

Perak Darul Ridzuan
Negeri indah permai
Penduduknya hidup aman damai
Dinaungi keadilan Sultan

….Bukit Larut
Waktu malam…berkerlipan
Udaranya sejuk nyaman menyegarkan
Indahnya ciptaan Tuhan


Kalau cerita 'Winter Sonata' ada laluan dengan deretan pokok di kanan dan kiri, di Taman Tasik Taiping cuma perlukan sebelah deretan sahaja dan dahan pokok pula menjangkau ke seberang jalan sehingga hampir mencecah air tasik. Sungguh cantik.



Bijih timah. Masa sekolah dahulu, Cikgu suka suruh kami lukis gambar kapal korek di lombong bijih timah.

Hmm...bukan Hamburg di Jerman sahaja pernah terbakar teruk. Taiping juga.




Inilah Bandar Taiping
Di Galeria Pertama, ada seorang staf yang membawa kami dari satu bahagian ke satu bahagian memberi penerangan. Lagipun, pada masa itu, hanya kami berdua sahaja pelawat di situ. Di hujung tangan kirinya adalah Hospital Taiping. Jalan di bandar ini dalam bentuk segi-empat, memang senang. Berhampiran tangan kanannya pula adalah Galeria Pertama dan Zoo terkenal : Zoo dan Night Safari Taiping. Bukit di sebelah atas gamabr ini adalah Bukit Larut, juga berhampiran Taman Tasik.

Ada juga kawasan Tentera Darat di sini, menempatkan Batalion ke-9 RRD (RRD - Rejimen Renjer Diraja)

Teringat kerusi di rumah aruah Datuk saya, kami suka cungkil lubang-lubang tu :))





Kenapa bunyi semakin Jerman? Ada Tembok Berlin Taiping pula.

Inilah pasangan Kak Norsiah dan Abang Idrus.
Kebaikan hati mereka bukanlah pada saya sahaja. Selain saya, mereka juga pernah menumpangkan sekitar 20 orang di rumah ini. Di belakang adalah gambar anak-anak mereka dan idolanya iaitu adik Abang Idrus. Intan, Suzi, Irfan, Hafiz dan Hakim : kesemuanya berjaya di bidang masing-masing. Kebaikan Kak Norsiah dan Abang Idrus dilimpahi dengan kejayaan anak-anak mereka.





Gambar ini diambil sewaktu kami ingin beredar. Sebenarnya sewaktu sampai, hati saya mejadi terlalu sebak sehingga airmataku jatuh jua, mengenangkan kebaikan hati mereka dari dahulu menumpangkan saya. Seolah-olah cerita Melayu zaman dahulu, musafir menumpang di rumah orang.



Walaupun beliau bekerja pada hari itu, Kak Norsiah sempat memasak awal pagi. Kami dihidangkan dengan lauk sebanyak ini, sedap sungguh. Ada ikan, ayam panggang, kambing kurma, sayur campur dan acar buah jeruk. Kami makan bertambah-tambah.

Hampr waktu kami nak balik, anak sulung mereka, Intan pula sampai. Dah besar, memang saya tak kenal kalau terjumpa di tengah jalan.


Inilah bilik yang saya tumpang dahulu, memang besar. Ada bilik air sendiri. Bilik ini dihias sebagai bilik pengantin - Hafiz akan berkahwin mingu hadapan.


Saya bertuah dikelilingi oleh ramai orang baik-baik belaka.
Semoga Allah melimpahkan rahmatNya ke atas mereka ini.


Abang Idrus sempat berseloroh ;

"Ni 20 tahun baru sampai, tak tahu pula bila lagi nak sampai sini"

Haaa....kena sebiji!

.
.
.


Kami meneruskan perjalanan ke Penang.


Berangan cerita The Hunger Games.
Sebenarnya ini siling Hotel tempat Persidangan Onkologi diadakan di Penang.



Saya cuba juga meninjau kot-kot ada nampak pokok Pinang.
Tak ada pun.
Pokok kelapa adalah.

Sempat berjumpa pakar se-PHKL (Dr Paul Ng - dia pakar gynae-onkologi, dahulunya pensyarah saya di HUKM), rakan se-batch undergrad Mary J (pun pakar gynae-onko) dan senior setahun sewaktu program kepakaran HUKM serta di Hospital TAR Klang (Dr Viji - pun pakar gynae-onko). Inilah masa untuk saya berjumpa sesiapa yang berkaitan dan mengucapkan terima kasih di atas tunjukajar mereka dahulu. Seperti alam profesional lain, kami belajar dari senior dan rakan sebaya, malah mereka yang lebih junior juga kadangkala memberikan idea serta berkongsi pengalaman yang berguna, bukan hanya dari guru/pensyarah sahaja. Selain itu, saya juga mendapat tips dari para jururawat. Maklumlah, mereka membantu ramai doktor, semestinya ada sahaja petua daripada doktor itu atau doktor ini dsb yang boleh ditiru diikuti. 


Balik KL, kami singgah Bidor beli petai, ulam kegemaran saya sewaktu hujung minggu.
Sebelum balik ke rumah, kami singgah di sebuah rumah di Selayang untuk bagi separuh petai-petai itu (banyak sangat).

Di hadapan rumahnya itu ada pokok bougainvillae (saja nak bagi nama glamer, nama Melayunya bunga kertas).

Dalam rumah pula ada bunga ni. 
Dia bagitau ada orang bagi...ehem. Saya balas - ala....kat klinik saya pun orang tu bagi bunga juga.

Tepi rumah ada kucing.
Saya tengok dari jauh sebab saya tak reti nak suka kucing.

Dah banyak clue dah ni

Siapa lagi, Kak Faudziah la.
Salah seorang staf sewaktu saya di LPPKN dahulu. 
Beliau dan ramai lagi di LPPKN banyak membantu kerja saya dan mengajar bab pentadbiran.
Dah lebih 10 tahun saya tak datang rumah ni.
Dah bertukar wajah!

Kak Faudziah ni, sama sahaja rupanya dari mula-mula saya kenal dia pada tahun 2002, awet muda betul! Dia pun sehingga sekarang masih menjaga saya. Kalau nak nasihat jujur, dialah orangnya, saya akan tanya dia (walaupun pahit untuk ditelan, heheh). Dialah yang mengajar saya membuat kulit karipap yang sangat sedap. Banyak kadang, dia akan menghantar makanan ke rumah saya. Hmm...saya sahaja yang sombong sibuk tak sempat pergi ke rumah dia.

Semoga beliau dikurniakan rahmatNya termasuk kesihatan yang berkekalan.







2 comments:

  1. Salam doc..next time jemput singgah rumah tok ammar rifqi .. :)

    ReplyDelete
  2. Mula2 seronok baca pasal taiping n penang..good info. Tibe2 yg bwh tu cm kenai jaa...kenai org tu n bunganya..hihi. semoga prof, dr, kak f n abg mio sekeluarga dikurniakan kesihatan sehingga ke akhir hayat hendakNya..aminn...

    ReplyDelete