Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Saturday, 1 November 2014

Meneliti Pakej IVF



Ikan 'favourite' saya yang berwarna kuning, mungkin sebab dalam banyak-banyak ikan yang ada hanya seekor sahaja yang berwarna kuning. Di sebelahnya pula ikan 'favourite' Prof, betul kan Prof?  (banyak pula ikan lain yang ada corak belang-belang kat belakang kepala dia)




Kali ini saya akan tulis seringkas mudah (tetapi akhirnya tak ringkas pun…..)
Laptop saya sakit, belum dihantar masuk wad lagi.
Terpaksa meminjam laptop Prof.
(dan mengambil kesempatan 'mencuri' foto-foto untuk dimuatkan dalam post ini)


MENELITI PAKEJ IVF


Apa yang biasanya menangkap perhatian anda apabila meneliti brosur pakej ivf?

1. harganya? berapa RM?
2. di mana? di sina atau di sana?
3. rekod kejayaan rawatannya ? Berapa % yang berjaya hamil?


Apa pula faktor-faktor yang anda ambil kira apabila membandingkan pakej ivf di sini dengan pakej ivf di sana?

1. harganya ?
2. rekod kejayaannya ?


Apakah yang anda teliti apabila membandingkan harga pakej ivf?
Apakah yang sepatutnya anda teliti apabila membandingkan harga pakej ivf?


Kali ini, saya akan membincangkan perkara pertama sahaja dahulu iaitu harganya:

Maka anda perlu membandingkan apakah perkara-perkara yang membezakan kos dalam proses ivf dan apakah sebenarnya yang terkandung di dalam kos itu.
Anda bolehlah membuat check-list sendiri apabila membandingkannya.


(ditambah setelah habis menulis post ini) Walaupun hanya satu perkara iaitu HARGA, sebenarnya apa yang ditulis di bawah ini sangatlah panjang. Maka bagi yang malas nak baca, saya bagitau apa senarai check-list yang dibincangkan untuk ditanyakan kepada doktor anda :


Senarai check-list :

1. Pakej IVF ni 'all IVF' ke 'all ICSI' ke 'campur-campur'?
2. Pakej ni dah termasuk caj semua 'consultation' dengan scan doktor ke? Semasa 'monitoring'? Semasa OPU? Selepas OPU? Semasa ET? Selepas ET? Betul ke semua sekali?
3. Caj ujian darah? (ulang balik soalan :  Semasa 'monitoring'? Semasa OPU? Selepas OPU? Semasa ET? Selepas ET? Betul ke semua sekali?)
4. Caj ubat (dari awal proses IVF sehingga OPU sahaja ke atau sehingga ET sahaja ke atau sehingga hari pengesahan kehamilan?)
5. Kalau ada embrio lebih, beku-simpan embrio kena caj tak? Kos tu untuk simpan berapa lama?
6. Kalau ada kompikasi? (yang ni rasanya semua doktor akan bagi jawapan yang sama : tak termasuk dalam pakej)
7. Adakah harga pakej ini 'one-off' hangus atau ada pengurangan harga jika ada masalah atau terhenti separuh jalan?  Kalau selepas suntikan rangsangan masih tak dapat telur dan doktor nak batalkan IVF, adakah masih kena bayar kesemua harga pakej? Kalau OPU tetapi tak ada telur? Kalau OPU tetapi atas sebab tertentu, tak boleh buat ET dan embrio dibeku-simpan?
8. Pada tahap bilakah embrio saya dimasukkan (ET) ? : Fixed D2 atau Day 2/Day3 blastomere stage embryo atau Day 5/Day 6 blastocyst stage embryo? Berapa peratuskah kes yang ET mereka dibuat pada Day5/6? (Berapa peratuskah kes yang ET mereka dibuat pada D2/3?)

.
.
.

Mari kita mulakan ...

Soalan pertama dalam check-list : Adakah pakej ini 'all IVF' ke 'all ICSI' ke 'campur-campur'? Bagaimanakah pengendalian ke atas telur-telur yang diperolehi? Dalam kata lain, adakah telur-telur matang (MII) yang diperolehi sewaktu OPU itu kesemuanya dibuat IVF ke atau kesemuanya dibuat ICSI ke atau dibahagi-bahagikan IVF-ICSI?

(untuk ulangkaji, hanya telur matang MII sahaja yang akan melalui proses ini. Telur tak matang iaituMI dan GV pula tidak dapat menjalani IVF mahupun ICSI)

a = All IVF ie. kesemua telur matang MII dibuat IVF sahaja

Ini kerja paling mudah bagi embriologis. 
Sewaktu OPU, beliau akan memeriksa kehadiran telur dalam cecair yang disedut. Kemudian telur akan dikultur di dalam bekas yang mengandungi cecair media ivf dan dimasukkan ke dalam inkubator selama kira-kira 3 jam (sementara itu, beliauboleh berehat atau melakukan kerja lain). 

Kemudiannya, sperma yang telah 'dicuci' pula akan ditambah kepada bekas yang mengandungi telur-telur itu. Bekas itu pun dimasukkan semula ke dalam inkubator. Terpulanglah kepada sperma-sperma ini untuk masuk sendiri ke dalam telur dan mensenyawakannya. 

Embriologis pun habis kerja awal dan boleh balik awal. Keesokan harinya barulah kandungan bekas tersebut diperiksa di bawah mikroskop sama ada telur-telur tersebut telah tersenyawa menjadi embrio atau tidak. 

Kelebihan dalam IVF - ada 'natural selection' di mana kebiasaannya 'the best sperm will fertilize the egg'. 
Walau bagaimanapun, ada juga keadaan di mana sperma tidak dapat menembusi kulit (ZP - zona pellucida) telur itu dan langsung tiada embrio yang terbentuk. Ini pernah saya alami dahulu-dahulu sewaktu kami melakukan half-half ie separuh bilangan telur buat IVF dan separuh lagi buat ICSI. Dalam keadaan ini, ada prosedur 'rescue ICSI' di mana pada hari tersebut dilakukan ICSI menggunakan  sperma, sama ada menggunakan sperma 'fresh' (suami akan dipanggil untuk datang keluarkan air mani) ataupun baki sperma hari sebelumnya itu. 


b = All ICSI ie. keemua telur matang MII dibuat ICSI

Ini kerja paling susah dan memakan lebih masa sehingga kena overtime kecualilah kalau dalam sehari itu ada 2 kes OPU sahaja ataupun telur yang diperolehi tak banyak.

Selepas telur dikultur seperti di atas selama kira-kira 3 jam, embriologis akan mengeluarkannya dari dalam inkubator dan dengan bantuan mikroskop, beliau akan melakukan proses 'egg denudation' dahulu. Ini mungkin mengambil masa kira-kira 30 minit untuk sekumpulan 10 telur.

Sperma yang telah dicuci telah sedia ada di dalam bekas khas untuk ICSI.

Kemudian dengan penglihatan menerusi mikroskop itu, dia akan melakukan 'sperm selection' berdasarkan pemerhatiannya (dan juga pengetahuannya/pengalamannya) disusuli dengan 'sperm catching' ke dalam jarum ICSI. Embriologis yang bagus akan meluangkan masa memilih sperma yang paling elok dan bukannya main tangkap sahaja kerana selain kualiti telur, kualiti sperma juga mempengaruhi dalam menghasilkan embrio yang berkualiti.

Selepas itu, beliau akan mencari satu telur, memegang sebelah telur menggunakan satu tangan untuk menstabilkan kedudukannya, manakala satu tangan lagi memegang jarum ICSI. Beliau akan menyuntik jarum tersebut menembusi kulit (ZP - zona pellucida) telur. 

Proses 'sperm catching' dan ICSI bagi setiap satu sperma dan satu telur lazimnya mengambil masa 5 minit untuk embriologis yang berpengalaman. Bagi sekumpulan 10 telur, masa yang diambil adalah kira-kira 50 minit. Kalau sperma terlalu kurang, dia akan mengambil masa lebih lama, malah suami mungkin akan disuruh keluarkan air mani sekali lagi. 

Selepas itu, barulah telur-telur tersebut diletakkan semula di dalam inkubator dan keesokan harinya barulah diperiksa semula di bawah mikroskop untuk mengetahui sama ada telah menjadi embrio atau tidak.

Leceh kan?

Sebab itulah, jika tiada pakej, ICSI ada caj tambahan yang merangkumi peralatan pakai-buang, khidmat embriologis dan kos yang berkait masa (penggunaan elektrik, caj overtime dll).

c = Campur-campur ie. bahagi-bahagi beban, pilih-pilih, ada yang dibuat IVF dan ada telur yang ICSI.

Ada telur matang MII yang dibuat IVF, ada selainnya telur MII yang dibuat ICSI. Embriologis pun tak penat sangat, bayangkan kalau ada 10 telur dan pada hari itu ada 4 kes. Kalau telur lebih banyak pula? Mata boleh berpinar-pinar setelah melihat menggunakan mikroskop untuk beberapa jam….

Tetapi mujurlah di PHKL, embriologis saya sanggup mendera diri sendiri mulai awal 2013 sehinggalah sekarang. Bagi la banyak mana telur pun, kesemuanya dibuat ICSI. Ada kalanya beliau balik lewat selepas tengah malam sekiranya OPU dilakukan pada waktu petang). Diharapkan semangat ini akan berterusan.

Setelah banyak membaca di atas, rehatkan mata dengan pemandangan ini. Saya nak cadangkan embriologis saya letak gambar pemandangan di bilik rehatnya.

.
.
.

2. Caj pemeriksaan doktor di klinik. Pakej ni dah termasuk caj semua 'consultation' dengan scan doktor ke? Semasa 'monitoring'? Semasa OPU? Selepas OPU? Semasa ET? Selepas ET? Betul ke semua sekali?

- Pemeriksaan awal bagi persediaan 'cycle programme'
- Pemeriksaan 'monitoring' (lazimnya 2-3 kali)
- Pemeriksaan selepas OPU bagi pemantauan komplikasi dan persediaan ET
- Pemeriksaan pada hari ujian darah pengesahan kehamilan

Sewaktu konsultasi, scan juga lazimnya dilakukan.

.
.
.

3. Caj ujian darah. Caj ujian darah? (ulang balik soalan :  Semasa 'monitoring'? Semasa OPU? Selepas OPU? Semasa ET? Selepas ET? Betul ke semua sekali?)

Ujian darah yang dilakukan berbeza mengikut amalan doktor. Maka, jika dimasukkan ke dalam pakej, tanyakan apa ujian tersebut? Jika tidak dimasukkan dalam pakej, tanya berapa anggaran maksima ujian darah keseluruhannya? 

Saya akan tuliskan apa yang saya lazimnya lakukan setelah pasangan bagitau "Doktor, saya nak buat IVF". Ini tidak termasuk ujian-ujian awal sebelumnya bagi pemeriksaan dan rawatan kesuburan yang lebih mudah. 

- Ujian darah saringan IVF (saya akan melakukan ujian darah kepada suami dan isteri untuk Hepatitis B dan HIV). 
Ini untuk keselamatan bagi pihak kakitangan hospital yang terlibat dan juga untuk pesakit2 IVF selain anda. Ini kerana bukan sahaja sewaktu OPU dan ET, tetapi juga apabila ada embrio yang hendak dibekukan. Ada 2 pilihan di PHKL : sama ada embrio lebihan akan dibuang (tidak dibeku-simpan) ataupun pesakit 'membeli' storage tank khas untuk embrionya sahaja. Embrio pesakit yang mempunyai Hepatitis B atau HIV tidak akan disimpan di dalam tank yang sama dengan embrio pesakit-pesakit IVF yang lain.

- Ujian darah hormon (ini berbeza mengikut doktor). 
Bagi pesakit saya, ia bergantung kepada kitaran haidnya dan usianya. Ia dilakukan sebelum memulakan suntikan rangsangan. Ada doktor yang melakukan ujian hormon selepas itu sewaktu 'monitoring' dan sebelum ET.

- Ujian darah saringan dan pemantauan OHSS
Disebabkan ada sedikit sifat OCD, saya lazimnya lakukan ini bagi memperolehi 'baseline levels' parameter-paremetr yang dipantau sekiranya pesakit mengalami OHSS. Ujian ini terkandung dalam 'general health screening' iaitu FBC, liver profile dan kidney profile. Ini dilakukan pada lawatan terakhir 'monitoring' sewaktu mengambil suntikan rangsangan dan jika perlu, pada lawatan selepas OPU (sebelum ET).

- Ujian darah pengesahan kehamilan
Ujian ini dinamakan serum BhCG. 
Bagi yang diberikan rawatan suntikan hCG sebanyak 5000-6500 IU untuk 'final egg maturation' kira-kira 36 jam sebelum OPU, ujian ini dilakukan kira-kira 15 hari selepas suntikan tersebut. Jika dos suntikan lebih tinggi, ujian ini akan dilewatkan kerana boleh berlaku keputusan 'false positive' dari hCG ubat tersebut. Dalam keadaan sedemikian, ujian darah serum BhCG hendaklah diulangi selepas 2-3 hari bagi memastikan paras hormon BhCG meningkat, barulah sah 'biochemical pregnancy'.
Bagi yang tidak diberikan rawatan suntikan yang mengandungi hCG sepanjang rawatan IVF, ujian ini boleh dilakukan kira-kira 12-15 hari selepas OPU.

Bagi yang diberikan rawatan suntikan hCG beberapa kali untuk 'luteal support' selagi ada suntikan tambahan selepas ujian darah BhCG, ketepatan hasil ujian darah diragui kerana ia bercampur dengan hCG dari ubat suntikan. Dalam keadaan ini, lebih tepat jika kehamilan dipastikan hanya setelah scan menunjukkan kehadiran kantung di dalam rahim, seeloknya kantung bersis janin. Kalau tidak nanti, 'frustration' bertambah apabila awalnya menyangka hamil (walaupun sebenarnya disebabkan hCG di dalam ubat suntikan) tetapi kemudiannya diberitahu pula keguguran sedangkan kehamilan tidak berlaku langsung.

(rehat lagi)

.
.
.

4. Caj ubat (dari awal proses IVF sehingga OPU sahaja ke atau sehingga ET sahaja ke atau sehingga hari pengesahan kehamilan?)

Ini faktor utama yang sangat membezakan kos IVF atau ICSI. 

Kos pengunaan ubat berbeza mengikut jenis protokol, jenis ubat rangsangan telur, dos ubat rangsangan, jenis ubat 'luteal support'.

- Protokol antagonist : ubat suntikan antagonist harganya lebih mahal daripada ubat agonist, kira-kira sedikit lebih 2 kali ganda. 

- Ubat rangsangan telur : paling murah adalah ubat makan yang mengandungi Clomiphene citrate. Paling mahal adalah suntikan 'recombinant FSH'. Di antaranya adalah suntikan 'urinary FSH'. Pilihan jenis ubat lazimnya mengikut amalan doktor tersebut ataupun pesakit diberi 2 atau 3 pilihan dan membuat keputusan yang kebiasaannya dipengaruhi faktor harga. Ada doktor yang 'mencampur' 2 jenis ubat untuk mengurangkan kos. 

Mungkin sebab itu PHKL tidak memasukkan ini dalam pakej prosedurnya kerana tidak semua pesakit memerlukan ubat dalam dos yang sama, ada yang sedikit manakala ada yang perlukan dos sehingga 3 kali ganda)

- Ubat 'luteal support' : pun berbeza harga mengikut jenis hormon progesteron dan kaedah penggunaan. Ubat pil yang dimakan paling murah, manakala ubat gel masuk vagina pula paling mahal. Daripada segi keberkesanan, banyak kajian melaporkan kapsul/pessary/gel progestin masuk vagina ataupun suntikan progestin ke dalam otot lebih berkesan daripada pil progestin makan.

Tanya doktor anda 'berapa anggaran maksimum kos SEMUA ubat SEHINGGA SELEPAS ET iaitu sehingga hari pengesahan ujian kehamilan ? ' sebagai persediaan anda.

.
.
.

5. Kalau ada embrio lebih, beku-simpan embrio kena caj tak? Kos tu untuk simpan berapa lama?
Kebanyakan pakej tidak memasukkan ini, maknanya kena bayaran tambahan. Tetapi ada yang menawarkan percuma untuk tahun pertama, bermakna tahun-tahun berikutnya kena bayar juga.

.
.
.

6. Kalau ada kompikasi? (yang ni rasanya semua doktor akan bagi jawapan yang sama : tak termasuk dalam pakej)

(kena minta maaf terlebih dahulu ni)
Saja letak gambar air menderu ni sebagai peringatan sebab kos rawatan komplikasi biasanya hampir sama atau lebih mahal daripada kos IVF. Wang mengalir laju…. Itulah sebabnya tidak digalakkan memilih IVF saja-saja tanpa sebab kerana walaupun peratus peluang kehamilan paling/jauh lebih tinggi, risikonya dan juga perbelanjaannya juga paling tinggi berbanding kaedah rawatan kesuburan tanpa pembedahan yang lain.

.
.
.

7. Harga pakej ini 'one-off' hangus atau ada pengurangan kos jika ada masalah.  
- Kalau selepas suntikan rangsangan masih tak dapat telur dan doktor nak batalkan IVF, adakah masih kena bayar kesemua harga pakej? 
- Kalau OPU tetapi tak ada telur? 
- Kalau OPU ada telu dan kemudiannya jadi embrio, tetapi atas sebab tertentu, tak boleh buat ET dan embrio dibeku-simpan?

Ada yang memerlukan anda membayar kesemua harga yang dipaparkan. Ada pula yang bersifat 'partial  or full' bergantung kepada keadaan.

Contohnya di PHKL, salah satu pakej yang ditawarkan adalah pakej prosedur (saya akan terangkan lebih lanjut di bawah nanti apa yang termasuk dan apa yang tidak termasuk di dalam pakej). Bayaran pakej dibuat sebanyak 2 kali iaitu pada hari OPU dan pada hari ET. Harga pakej tersebut pada tahun 2014 ini adalah RM10,899.00

Pada hari OPU : bayaran RM 9349.00
Pada hari ET : bayaran RM 1,550.00

Apakah kelebihannya pada pihak anda?

1. Sekiranya tidak berlaku ET atas sebab tiada telur atau tiada embrio yang terhasil ataupun ada embrio tetapi ET terpaksa ditangguhkan kepada bulan yang lain atas sebab-sebab tertentu, maka anda hanya perlu membayar sebanyak RM 9349 sahaja, bukannya kesemua harga pakej.

Malah, sekiranya tiada telur diperolehi sewaktu OPU, pihak hospital akan membandingkan harga bukan pakej bagi prosedur OPU tersebut dengan harga RM 9349.00 dan anda akan hanya perlu membayar harga yang lebih rendah. Dalam setiap kali ia berlaku, anda akan membayar lebih rendah daripada harga pakej RM 9340.00 kerana tiada proses 'egg culture', 'sperm preparation' dan ICSI.

Tetapi seperti kebanyakan pakej IVF lain, sila ambil perhatian;

2. Sekiranya ada embrio tetapi ET ditangguhkan kepada bulan lain, maka pada bulan anda menjalani prosedur FET (Frozen-thawed Embryo Transfer) harga bukanlah RM 1,550.00 seperti ET dalam pakej. Harganya adalah sekitar di bawah RM 4,000.00

.
.
.

8. ET : Fixed D2 atau Day 2/Day3 blastomere stage embryo atau Day 5/Day 6 blastocyst stage embryo? Berapa % pesakit di sini yang dilakukan ET pada D5/6 atau pada peringkat blastocyst?

Semestinya, blastocyst ET memberikan peratus kehamilan yang lebih tinggi daripada sekiranya ET dilakukan sebelum embrio menjadi blastocyst (sila lihat post terdahulu mengenai 'blastocyst culture/transfer')

Ia lebih kepada polisi pusat IVF tersebut dan amalan doktor/embriologisnya.

Ada pusat IVF yang menghadkan kesemua kes ET kepada D2/3 sahaja.

Ada pusat IVF yang memilih kes 'embrio cantik' boleh teruskan sehingga kultur D5, manakala kes 'embrio tak cantik' pula dihaskan kepada D2/3.

Ada pusat IVF yang melakukan kultur embrio sehingga Day5/6 bagi kesemua atau >90% pesakit.

.
.
.

Akhirnya,

.
.
.

Untuk kepastian kali kesekiannya (sambil berdoa supaya doktor masih sabar melayan anda), tanya sekali lagi : 'apa yang TIDAK termasuk di dalam pakej' untuk kepastian.

.
.
.

Mari kita buat latihan.

Sebagai contoh, 

Pakej prosedur IVF di PHKL tahun 2014 ini yang berharga RM 10, 899.00

Ia hanya meliputi:

1. Kesemua kos pada hari OPU : daycare 2-bedded atau 4-bedded di wad (kalau nak bertukar kepada bilik 'single' ada bayaran tambahan), nursing, prosedur OPU, caj konsultasi doktor gynae, caj konsultasi doktor pakar bius, caj bius penuh atau 'sedation' mengikut pilihan/penilaian doktor bius, caj embriologis, caj prosedur ICSI, caj makmal IVF, caj bilik bedah dan peralatan, ubat antibiotik, ubat penahan sakit, ubat pembiusan, cecair intra-vena (IV drip).  

Termasuk juga kos di makmal IVF pada keesokan harinyam, setiap hari berikutnya, sehingga pada hari ET : pemeriksaan embrio, kultur embrio

Kesemuanya RM 9349.00 dibayar pada waktu anda mendaftar masuk horpital ataupun paling lewat apabila anda mendaftar keluar petang itu.

Hanya sekiranya anda mengalami komplikasi eg pendarahan sehingga memerlukan raewatan/prosedur tambahan, barulah anda diminta membuat bayaran tambahan.

2. Kos pada hari ET : tiada katil/bilik kerana sebagai 'out-patient' sahaja melainkan jika anda sendiri atau dengan nasihat doktor memilih untuk berehat semalam sebagai in-patient dengan bayaran tambahan 'ward dan nursing' sahaja. Lain-lain termasuk prosedur ET, caj makmal IVF, caj bilik OT dan peralatan dan caj konsultasi doktor. Anda masih perlu mendaftar di kaunter pendaftaran untuk urusan pembayaran, kemudiannya duduk menunggu di bilik TV di wad sebelum dipanggil ke dalam bilik prosedur IVF. Selepas ET, anda akan berbaring di atas katil di 'OT recovery bay' selama kira-kira setengah jam sebelum pulang setelah suami membuat pembayaran penuh.


Pada hari ET anda membayar selebihnya RM 1550.00. 

Sekiranya terdapat masalah sewaktu ET eg terpaksa menukar alat 'embryo transfer catheter', caj tambahan akan dikenakan.

Sekiranya ada embrio lebih untuk dibekukan, caj beku-simpan juga akan dikenakan mengikut bilangan embrio yang hendak disimpan. Bayaran meliputi penyimpanan embrio untuk tempoh setahun.

Sekiranya anda atau suami mengidap Hepatitis B atau HIV dan ingin membeku-simpan embrio lebih menggunakan tank berasingan, maka anda perlu membayar kos tank dan cecair nitrogen tersebut.



Ambil perhatian akan apa yang ditawarkan di dalam pakej RM10,899.00 dan bandingkan sekiranya ia turut ditawarkan oleh pakej-pakej lain:

1. All ICSI ie kesemua telur matang MII dilakukan ICSI
2. Ada doktor pakar bius yang turut menjaga sewaktu OPU. Walaupun sekiranya tiada bius penuh (hanya sedation), ia diberikan oleh doktor pakar bius dan monitoring juga dilakukan olehnya sementara doktor gynae menumpukan perhatian kepada melakukan prosedur OPU.
3. 'Embryo culture' sehingga Day 5 atau Day 6 selepas OPU iaitu sehingga peringkat ET blastocyst.  Ini bermakna ET pada Day 5 atau Day 6. Setakat ini, lebih 95% pesakit IVF mempunyai blastocyst apabila embrio mereka memasuki Day 5 atau Day 6. 


Yang TIDAK TERMASUK dalam pakej RM 10,899.00 tersebut adalah:

1. Ubat persediaan, ubat rangsangan, ubat 'luteal support' dan ubat-ubat lain
Ini melibatkan kos yang kedua tinggi selepas kos prosedur.
Bagi yang berusia di bawah 35 tahun dan/atau mempunyai 'ovarian reserve' yang masih bagus, doa ubat rangsangan mereka sedikit sahaja berbanding yang lebih berusia dan mempunyai 'ovarian reserve' yang rendah di mana dos ubat rangsangan boleh menjadi 2-2.5 kali ganda.
Kebiasaannya harga ubat adalah dengan anggaran serendah RM1,000 sekiranya memilih rangsangan menggunakan pil dan ubat luteal support juga menggunakan pil, kebanyakan kes (>85%) pesakit saya pula menggunakan  sekitar RM4,500 apabila menggunakan protokol antagonist serta rangsangan menggunakan suntikan berdos rendah dan ubat luteal support menggunakan progestin intra-vagina, manakala yang selebihnya mungkin lebih tinggi lagi sekiranya memerlukan dos rangsangan lebih tinggi untuk mendapatkan bilangan telur yang sederhana mencukupi)

2. Konsultasi dan scan pemeriksaan doktor di klinik.

3. Ujian darah.
Sekiranya suami diminta menjalani ujian air mani untuk diperiksa dalam kitaran IVF itu, ini adalah percuma / telah termasuk dalam pakej.

4. Pembekuan-simpan embrio lebihan serta bayaran tahun-tahun berikutnya (annual storage). Buat masa ini, caj beku-simpan adalah RM 1,000 bagi setiap 4-5 embrio untuk tahun pertama; menggunakan kaedah 'vitrification' (dahulu-dahulunya hanya menggunakan kaedah 'slow freezing' yang lebih murah iaitu RM 1,000 bagi kesemua embrio). Caj 'annual storage' pula adalah RM 1,000 bagi setiap pesakit.

5. Sekiranya terdapat komplikasi dan memerlukan rawatan eg pendarahan, jangkitan kuman, OHSS.

6. dan lain-lain yang saya mungkin lupa ('escape clause', heheh).
Itulah sebabkan mesti baca dan faham 'fine print' dan tanya yang 'in-between' supaya jelas sejelas-jelasnya sebelum anda membuat pilihan. 


Juga, ambil perhatian akan adanya pakej-pakej IVF lain di PHKL iaitu pakej all-in prosedur OPU dan ET+ubat+konsultasi+scan (tetapi dengan jenis ubat dan dos maksimum yang telah ditetapkan)



panjang betul post kali ini……

(Saya menulis dengan PENUH pengharapan agar ianya jelas supaya saya dan embriologis tidak perlu menerangkannya dengan panjang lebar sewaktu sesi konsultasi. Sebelum itu, mereka yang berhasrat untuk menjalani IVF digalakkan menghadiri Forum IVF dan membuat 'homework' semudah 'klik' pada jari di laman sesawang)

2 comments:

  1. hai dr. Adilah.
    Thanks for this artikel. Sangat2 membantu untuk saya buat persediaan dari segi kewangan.

    Anyway, suka kalau doktor boleh share tips-tips untuk menghadapi IVF dari segi pemakanan dan emosi. Serta perlukah seseorang yang ingin membuat IVF mengambil cuti? Jika ya, waktu peringkat IVF yang mana perlu ambil cuti.

    Thanks in advance doc.

    ReplyDelete
  2. Salam Dr Adilah..biasanya klu blaku komplikasi, insuran cver ke x?

    ReplyDelete