Saya masih memilih untuk menulis di alam siber secara percuma walaupun sesekali ada yang mencadangkan agar saya menulis buku mengenai infertiliti. Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya. Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. (peringatan untuk diri sendiri) Segala pujian bagi Allah. Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Monday, 9 December 2013

(selingan) Port Dickson dan Tentera Darat Malaysia

Selamat bercuti sekolah kepada semua.

Musim berkhatan (memenuhi slot bilik pembedahan, dulu2 bersunat kat rumah sahaja)
Musim kenduri kahwin (berhati-hati di jalanraya, terutamanya yang berkonvoi)
Musim balik kampung (atau balik bandar memandangkan kini semakin generasi datuk nenek bermukim di bandar pun)
Musim bercuti2 Malaysia dan bercuti-cuti ke luar negara (yang ditunggu2 kebanyakan ibubapa




Saya tujukan post ini terutamanya kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan Port Dickson  ie. di Lembah Klang, Melaka dan semestinya Negeri Sembilan.


PORT DICKSON

Sama ada single, berkahwin mahupun berkeluarga;
Port Dickson atau singkatannya PD patut dijadikan satu destinasi santai, bukan setahun sekali tetapi berkali-kali. Santai kerana mereka yang tinggal di kawasan yang dinyatakan di atas boleh sahaja berkereta pergi ke sana dan pulang pada hari yang sama ataupun bolehlah menginap semalaman.



Walaupun bagi saya, pantainya tidaklah secantik pantai di pulau-pulau Langkawi, Tioman, Perhentian mahupun Redang, namun pantai tetap pantai; masih mendamaikan, tetap ada air laut dan deruan ombak. Lagipun, yang dibandingkan di atas itu adalah pulau-pulau. Jika dibandingkan dengan pantai darat, ke mana lagi? PD lah! Dapat menyaksikan matahari terbenam. Dapat juga tengok anak bulan di Teluk Kemang.




10 SEBAB UNTUK MELAWAT PD (mari kita lihat sama ada saya berjaya 'menjual' PD utk dilawati):


1. Dekat sahaja dari KL (dan kawasan yang se-radius dengannya)

- Hanya 82 km dari Plaza Tol Sungei Besi.
 Kira-kira 98km dari rumah saya ataupun 92km dari tempat kerja saya. Dengan pemanduan stail kura-kura, saya masih boleh sampai di sana dalam masa sejam lebih sedikit sahaja jika tiada kesesakan di jalanraya.



2. Penuh bersejarah.

Inilah yang mahal mengenai PD berbanding pantai-pantai lain di Malaysia.
Antara tempat-tempat yang boleh dilawati (sambil meng-imaginasi sejarah zaman dahulu)


2a. Tanjung Tuan (Cape Rachado)


- Walaupun ia bukanlah di tengah-tengah PD, tetapi ada juga sejarahnya 300 tahun sebelum itu. Penjajah Portugis membina rumah api di Cape Rachado pada abad ke-16 sebagai panduan pelayar ke Melaka. Itulah rumah api tertua di negara kita (cuma selepas itu dibina semula oleh British pada abad ke-19). Yang kuat stamina bolehlah menaiki tangganya dan dapat melihat pantai Sumatra yang hanya 38km dari sini (sebab itulah PD merupakan satu daripada pelabuhan keluar/masuk ke/dari Dumai).

- Maka tahukah apa sebabnya Portugis memilih untuk membina rumah api di sini dan bukannya di tempat lain?
Sebabnya - di sinilah kawasan laut yang paling sempit di Selat Melaka (sebelum sampai Melaka la) di samping banyak batu2 besar sehingga memungkinkan kapal2 pecah terlanggar batu2. Jarak antara Cape Rachado dengan Pulau Rupat Sumatera memanglah yang terdekat, cuba tengok peta.

- Apa-apapun, dahulu kala memang nama asal PD adalah Tanjung.


2b. Sejarah Landasan Keretapi Malaysia


- Di sinilah juga landasan ke-3 yang terawal dibina di negara ini (selepas Taiping-Port Weld dan KL-Klang) pada tahun 1900 menghubungkan Seremban-PD. Semuanya kerana urusan membawa barangan di antara PD ke Seremban (dahulunya Seremban dipanggil Sungai Ujong). Inilah yang tambah memajmukkan bangsa yang mendiami PD pada waktu itu - pelombong timah, pekerja landasan keretapi dan penjajah. Namun sekarang, perkhidmatan keretapi dari seremban ke PD telah tiada.  Landasannya masih ada dan boleh dilihat di kawasan bandar berhampiran Pejabat Pos.



3. Ada Bandar Tentera Darat di sana

Ya, benar.
Fakta ini lagi MAHAL dan inilah yang terus menambat hati saya untuk ke sana lagi dan lagi dan lagi.
(sila tarik nafas kerana cerita seterusnya panjang)

- Ada yang menggelarnya Fort Knox Malaysia, ala-ala bandar tentera Fort Knox di USA, kerana bukan satu kem sahaja : ada banyak kem serta ada pusat latihan dari peringkat nak jadi kadet sampailah ke latihan lanjut, bla bla bla (sebut sahaja apa yang berkaitan ketenteraan) sehingga termasuklah tempat mereka memilih untuk terus menetap di PD selepas bersara, begitu nostalgiknya PD kepada mereka.

- Pada 2009, PD secara rasminya menjadi Bandar Tentera Darat. Ini ada tertulis di pintu gerbang jika anda memandu dari PLUS highway ke PD. Inilah bandar 'kelahiran' pahlawan kita; tentera-tentera darat, mereka 'graduate' di sini. Teruja sehingga naik juga buluroma saya ketika memandu melintasinya, apabila kereta melintasi dataran berwarna merah itu. 

- Siapa yang tak belajar mengenai Leftenan Adnan Saidi yang ditawan dan terkorban disiksa di Singapura ketika berjuang mempertahankan Bukit Candu dari Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2 dulu? Beliau mengetuai Platun no 7 di dalam Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu. Beliau sebenarnya bukanlah orang PD (orang Kajang) tetapi kaitannya sebagai pegawai Regimen Askar Melayu di PD (no 90) yang mengaitkannya dengan PD. 14hb Februari, tarikh yang diraikan sebahagian masyarakat, rupa-rupanya tarikh pembunuhan Leftenan Adnan Saidi. Jika melawat Singapura, pergilah ke Bukit Candu, ada muzium yang dikatakan baya menceritakan mengenai pengorbanan Askar Rejimen Melayu . Sedih membaca bagaimana beliau disiksa dan dendamnya Jepun sehingga mencari ahli keluarga beliau.



Mmm...

Seronok membaca sejarah Angkatan Tentera Darat ni. Bagi saya yang tidak mempunyai seorang pun ahli keluarga yang menyertai pasukan Tentera Darat, jenuh juga nak memahami bahasa ketenteraan ni, pangkat, gelaran kumpulan dll.


Baru ku tahu :

~ Ketua profesional tertinggi dalam TDM (Tentera Darat Malaysia) ialah Panglima TDM dengan pangkat Jeneral.   Tetapi jangan lupa ya, kita ada Field Marsyal iaitu Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (SPB Yang Di-Pertuan Agong) dan kita juga ada Menteri serta Timbalan Menteri Pertahanan dan Panglima ATM (juga berpangkat Jeneral) yang mengetuai keseluruhan ATM. Kebetulan Jeneral Datuk Panglima TDM sekarang adalah Panglima TDM yang ke-25 : angka yang sama bagi bilangan askar 'first batch' yang menyertai Kompeni Percubaan Pertama Askar Melayu pada tahun 1933 (leftenan Adnan bukan first batch, kan nombor dia 90)

~ Banyaknya pangkat profesional : Kumpulan Pegawai sahaja dah banyak pangkat dah : dari Leftenan Muda, Leftenan, Kapten, Mejar, Leftenan Kolonel, Kolonel, Brigedier Jeneral, Mejar Jeneral, Leftenan Jeneral sehinggalah ke Jeneral. Yang ada perkataan Jeneral pun ada 4 (bilangan bintang mereka pun ada 1-4 mengikut kekananan pangkat). Kalau saya ambil exam teori pasal ni, belum tentu lulus.

~ apa makna logo ATM (hahaha, saya sibuk juga nak mengira barisan serta bilangan butir padi walaupun dah baca berapa jumlahnya, lepas tu sibuk nak double-check bilangan kor dan rejimen cukup tak 16, tak cukup tu sibuk juga nak kira ada 7 rejimen dan bakinya tentulah 9 kor). Tetapi ada satu lagi iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (adakah ini rejimen/kor ke-17?). Cuma, saya masih tak jumpa apa makna 21 bulatan kecil di bahagian atas mahkota itu.

~ Bukan calang-calang veteran tentera yang dianugerahkan pingat SP (Seri Pahlawan Gagah Perkasa) dan PGB (Paglima Gagah Berani).

~ banyaknya pangkat2 yang ada serta lambang pada bahu pakaian mereka : mahkota, bintang, (tak terhafal den, poning)

~ banyaknya nama kumpulan mengikut saiz : dari sekecil-kecil seksyen kepada platun/trup, kompeni, batalion/rejimen, briged sehinggalah sebesar divisyen dan diperintah di bawah kor yang juga dipanggil Markas Medan TD. Ehem ehem, satu daripada 4 divisyen berada di M.E.L.A.K.A. negeriku :)

~ 'Agi idup agi ngelaban' itu rupanya adalah motto Rejimen Renjer Diraja (RRD). Hmm...pasti dahulunya ada yang istimewa mengenai keberanian orang Iban melawan musuh ini, malah lambang parang Sarawak (Duku Ilang) juga ada pada logo TDM. Sebenarnya RRD dahulunya berasal dari Renjer Sarawak yang ditubuhkan 30 tahun selepas penubuhan RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) untuk menentang komunis. PW 1 (B) Datuk Temenggung Kanang anak Langkau juga pahlawan berbangsa Iban, beliau  antara segelintir yang dianugerahkan pingat SPGB dan SP semasa hidup. Malunya saya, ingatkan agi idup agi ngelaban ni hanya berkaitan dengan pasukan bolasepak Sarawak sahaja :)

~ Setahu saya (dari rakan2 doktor yang bertugas di RSAT - Rumah Sakit Angkatan Tentera), kalau Medical Officer (MO) dapat pangkat Mejar (kumpulan pegawai medan), manakala bila dah jadi doktor pakar bolehlah naik pangkat kepada Kolonel (kumpulan pegawai kanan). Rakan saya yang kini memasuki hospital swasta masih memegang pangkat Kolonel (bersara) Dr, wow!

~ Bukan senang nak dapatkan title Komando dan memakai 'green beret'. Pasukan elit 21GGK (Group Gerak Khas) - amende tu ek?

~ (tiada kaitan) tetapi RMC (Maktab Tentera Diraja) juga dahulunya bertapak di PD sebelum berpindah ke Sg Besi.


OK, OK. Bacalah sendiri mengenai TDM. Kemudian berangan-angan sahajalah, kerana kita sebagai orang awam susah nak masuk ke dalam kawasan kem tanpa sebab, maka,

..... untuk mendapatkan tempiasnya, pergilah melawat....



4. Muzium Tentera !
Jangan silap hari. Ia ditutup pada hari Isnin dan Selasa. Kenapa 2 hari ya?

Cubalah melawat (saya belum pergi lagi ni). Dengar cerita, ada;
- Terowong Komunis
- 'Time capsule'. Kalau mengikut plan, selepas 25 tahun (angka 25 lagi) time capsule ini ditanam, pada 1 Mac tahun 2033 kelak ia akan dibuka (di mana genapnya 100 tahun selepas Tentera Darat ditubuhkan)
- peralatan ketenteraan juga banyak dipamerkan, inilah yang menarik.



5. Banyak pilihan resort/hotel mengikut kemampuan



- Dari dahulu hinggalah sekarang, PD memanglah tempat peranginan. Sewaktu PD sibuk dengan urusan timah lagi, British turut menjadikan PD sebagai tempat bersantai pegawai2 mereka berehat/cuti.

- Nak yang mahal - ada
- Nak yang bajet - pun ada



6. Pantai PD yang terpanjang di pantai barat Malaysia

- Pilihlah pantai mana, sepanjang kira-kira 18km dari utara ke selatan. Dari Tanjung Gemuk (lebih baik guna nama glamernya iaitu Glory Beach) hingga ke Tanjung Tuan (pun ada nama glamernya Cape Rachado)

- pemandangan matahari terbenam memanglah indah. Nak tengok matahari terbit di hujung laut bukan di sini ya, ini pantai barat.

-  Seperti biasa; berhati-hatilah apabila ingin berenang. Jika 'air (sungai) yang tenang jangan disangka tiada buaya, air (laut) yang tenang pula jangan disangka tak kan pasang secara tiba-tiba. Kalau tengok jadual air pasang surut; ketinggian ombak sewaktu air pasang selalunya melebihi 2 meter. Dalam bulan Disember ini, hanya 6 hari sahaja ketinggiannya di bawah 2 meter, tetapi itu pun tiada yang rendah daripada 1.83 meter (hmm...siapa kita yang ada ketinggian itu?). Sedangkan sewaktu surut, kebanyakan harinya ia berada pada paras di bawah 3 kaki, malah ada serendah 10cm sahaja (setakat paras buku lali saya sahaja).

- Ingat Geografi? Ingat air pasang surut dan graviti bulan? Kena tambah berhati-hati apabila fasa bulan baru atau bulan penuh (mengambang) kerana pada fasa inilah ketinggian ombak waktu air pasang pada tahap maksima manakala waktu air surut pula paling rendah, maka perbezaannya sangat tinggi. Contohnya dalam minggu lepas (awal Safar) dan lagi seminggu (pertengahan Safar).

(di kolam renang yang tiada ombak pun, kenalah juga berhati-hati apabila membawa anak-anak. Kalau boleh, letak mata depan belakang kiri kanan)


7. Makanan laut

- Janganlah mengharap berlebih-lebihan kerana ini bukan 'selling point' PD. Ada restoran makanan laut, sama sahaja di KL ini. Belum pernah lagi saya tahu adanya restoran tepi laut di mana kita boleh menjala hasil tangkapan untuk terus dimasak. Tetapi, ada resort di masa kita boleh mencari ketam hidup dan ada restoran yang sudi memasakkannya.

- Walaupun ianya pelabuhan, PD ni bukanlah tempat 'ikan' berlabuh, maka sebab itulah kurang terdapat restoran makanan laut hidup/segar. Dahulu kala memang PD tempat nelayan. Sebelum ia menjadi terkenal dengan hasil arang. Sebelum ia menjadi terkenal dengan hasil timah dari Lukut. Tetapi siapa pula yang kata PD ni tempat makanan laut? Tak ada pun kan? So? Walau bagaimanapun, jika anda datang ke sini pada hari Sabtu, ada pasar malam di kawasan berhampiran pantai PD. Dapatlah merasai suasana penduduk di sana.

Makanan laut segar boleh cari di KL pun. Pilih saja terus dari tangki/akuarium di restoran, 'super fresh'. Contohnya, abalone ini


8. Aktiviti-aktiviti lain (kalau nak senaraikan secara berasingan, memang lebih dari 10 lah senarai sebab-sebab saya ni)

8a. Menyaksikan 'bird migratory' di antara September-Mac
8b. Melihat anak bulan di Teluk Kemang
- walaupun tarikh mula berpuasa Ramadhan dan tarikh hari raya Aidil Fitri kini kelihatan mengikut
8c. Ladang Burung Ostrich di Batu 9
8d. Kota Lukut 

 Tahu pantun 6 kerat di bawah ini?

Kota Lukut tempat semayam,
Raja haji datang mengepung,
Banyak pedati ikut bersama;
Jangan ikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung,
Mengagung bukti sebesar hama.



9. Namanya pun masih kekal Port Dickson. 

Sempena nama Sir John Frederick Dickson. Tak seperti Port Klang (dahulunya mengambil nama Port Swettenham sempena nama Sir Frank Althestane Swettenham yang juga membuka landasan keretapi dari KL-Klang bagi membawa hasil timah, landasan ke-2 di negara ini). 

Dari tahun 1889 (tahun kelahiran Hitler yang mencetuskan Perang Dunia ke-2) Port Dickson diberi nama, sehingga tahun 1933 (tahun Regimen Melayu Pertama ditubuhkan, juga tahun Hitler menjadi Chancellor) dan sehinggalah kini tahun 2013; nama Port Dickson masih kekal. Dah 124 tahun PD memegang nama PD. (yang mengenali saya sememangnya faham mengapa saya suka mengaitkan/membandingkan cerita dengan Hitler)


So, ada lagi ke pelabuhan PD ni?
Ada.
Kan saya dah kata PD salah satu pelabuhan kemasukan dari Dumai.


10. Kalau pun selepas itu rasa 'menyesal ikut cakap Dr Adilah, PD tak ada apa pun'; senang sahaja. Kemaskan kembali beg anda dan dalam masa sejam anda telah sampai semula ke KL!

dan kepada yang masih tak nak melawat PD secara zahirnya selepas membaca entry ini, setidak-tidaknya anda telahpun 'melawat' PD di sini, heheh!


Cuma, impian/angan-angan saya mengenai PD (tak salah pun kalau nak berangan);


Hmm....

Kalaulah boleh dibangunkan hotel atau resort ala-ala tentera darat, mesti ramai yang akan berlumba-lumba nak menempah bilik/apartment di sana. Malah syarikat2 swasta, GLC mahupun staf kerajaan mesti nak buat kursus di situ. Lebih kurang konsep 'Outward Bound School'. Kalau ada yang konsep 'free and easy' lagilah menarik.

Kami pun teringin juga nak merasa kehidupan tentera :
- memasak dalam dapur tin kotak tu
- memasak menggunakan bahanapi 4-segi macam lilin itu
- makan pek 'ration'
- berkhemah
- tidur di berek askar (sekejap sahaja tau, bukan sanggup lama-lama pun)
- aktiviti ketenteraan (walaupun yang ni saya yang 'rrrrajin' ni sangat tak suka nak join)
- belajar taktik-taktik 'survival' (alaaa, macam cerita spy dalam TV tu) sambil berangan Mat Jenin jadi ahli GGK.




Tetapi, janganlah suruh saya cuba Ujian Kecergasan Asas; satu ujian wajib bagi semua peringkat LLP atau pegawai :

1. Larian 2.4 km dalam masa 12 minit
2. Sit-up 43 kali dalam masa 2 minit (50 bagi lelaki)
3. Push-up 43 kali dalam masa 2 minit (50 bagi lelaki)

Memang sah saya tidak layak memasuki TDM.


Sejak 2-3 minggu ini, saya lebih mengenang betapa bertuahnya kita hidup dalam keamanan...

...dan mengenang jasa mereka yang telah terkorban mahupun yang masih hidup mempertahankan negara kita ini...

...dan terus mencintai keamanan negara kita...


dan jika ke sana, jagalah kebersihan. Janganlah menyumbang kepada pencemaran keindahan pantai dan hormatilah penduduk di sana. Jangan nakal-nakal, ada di antara mereka ni askar kita tau.
Ingat pesan saya mengenai keselamatan mandi di pantai dan menjaga kebersihan. Google jadual air pasang surut kerana waktunya berubah dari hari ke hari






2 comments:

  1. Salam.dr,sya plajar MRSM.kmi dtugaskn utk buat folio kerjaya & kerjaya pilihan saya ialah O&G.jadi,sya nk tnya bbrpa soaln utk dr.
    Apa tndkn & lgkh yg dr. ambil slpas zman psekolahan utk mnjdi seorg O&G yg bjaya skrg.slain itu,apakah cbran yg dr.hdapi sblum & slpas mnjdi seorg dktor? Itu shja.trima ksih dr. :)

    ReplyDelete