Sebelum mencedok atau memetik 'ilmu' dari laman ini, anda tidak perlu meminta kebenaran tetapi diingatkan membuat semakan sendiri terlebih dahulu dengan doktor anda atau guru anda sebelum mem'forward'nya kepada orang lain dan memikul tanggungjawab akibatnya.

Pohon doa kesejahteraan dan limpahan rahmat Allah ke atas ibubapa saya dan ibubapa mertua saya. Juga ke atas guru-guru saya dan juga pesakit-pesakit saya yang banyak mengajar saya bidang ini. Segala pujian bagi Allah (peringatan ini untuk diri sendiri) . Mudah-mudahan, taubat saya diterimaNya dan segala dosa saya diampunkanNya serta saya terus dilimpahi rahmatNya. Sekiranya ada kesalahan, pohon dibetulkan, saya terbuka kepada teguran.

Sebarang percubaan berbentuk komen atau soalan bertujuan mengiklankan apa sahaja perniagaan atau blog sendiri tidak akan disiarkan. Blog ini bukanlah untuk iklan menjual barang. Peace.....

Monday, 30 December 2013

Penutup 2013

Kes terakhir fresh-cycle IVF 2013 saya

Usia 34 tahun.
Berkahwin Disember 2007.
Pernah menjalani pembedahan laparotomi pada 2009 kerana masalah berkait kesuburan.

Pernah menjalani IVF (tak pasti sama ada IVF atau ICSI) di hospital lain di KL ini dalam bulan Disember 2012.
Pada waktu itu, beliau menggunakan sebanyak 2475 IU suntikan FSH (225 IU setiap hari selama 11 hari).
Antagonist protocol.
OPU dapat 8 telur.
Pada Day3 : dimasukkan 3 embrio, disimpan-beku 3 lagi baki embrio pada hari yang sama (manakala 2 lagi embrio tidak elok maka dibuang)
Ketiga-tiganya gred 8c1 iaitu gred cantik dan bilangan sel pun teleh berkembang bagus untuk embrio hari ke-3
 - tidak pregnant.
Frozen cycle (September 2013) - dimasukkan selebih 3 embrio beku itu pun pada usia Day3 (iaitu 'thawing' dan ET dilakukan pada hari yang sama) 2 embrio masih cantik pada gred 8c1 sementara 1 lagi pada gred 4c2
 - pun tidak pregnant
Dah tak ada baki embrio beku lagi dah.


Beliau berjumpa saya selepas itu.
Berdasarkan kiraan folikel antral, usia, paras AMH (8.5 pmol/L), dos suntikan sewaktu IVF dahulu; saya menetapkan dos rangsangan 300 IU setiap hari.
'Antagonist Protocol'

(Cikgu saya ajar dos selamat suntikan rangsangan seeloknya berpandukan kepada 3A : age, AFC (antral follicle count) dan AMH (anti-Mullerian hormone) di samping faktor lain eg dos IVF sebelum itu (jika ada) dan 'response'nya iaitu bilangan telur, OHSS)
Itupun kadang-kadang masih terkena juga OHSS (saya pun suka ter-over diagnose OHSS, lebih elok daripada buat tak tahu dan kemudiannya jadi lagi teruk).
Jumlah keseluruhan dos rangsangan FSH adalah 2,700 IU (sekarang, jarang saya guna setinggi ini, biasanya sekitar 1500 IU sahaja)

Endometrium pun menunjukkan pertumbuhan optimum (memang dijangkakan).
OPU pada 14.12.2013 dapat 10 telur. Kesemuanya telur matang (M II) tetapi satu daripadanya tidak normal.
ICSI ke atas kesemua 10 telur. Menurut embriologis, terdapat kesulitan sewaktu prosedur ICSI iaitu 'thickening of Zona Pellucida', susah nak suntik, rasanya kalau dibiarkan IVF mungkin sperma susah nak 'tembus' kulit telur tu.  

Keesokannya 6 jadi embrio.
Pada hari ke-5 (19.12.2013), 2 telah menjadi blastocyst, 3 masih tahap morula dan 1 masih tahap blastomere 6-sel







Saya masukkan 2 blastocyst, berlainan gred. Anda boleh nampak pun salah satu sifatnya dalam 'grading' iaitu : berlainan saiz (kami panggil degree of expansion)


Ini yang dinamakan blastomere, kita masih boleh nampak bentuk sel-selnya. Pada hari ke-5 embrio ini masih seolah-olah berusia hari ke-3 sahaja kerana baru ada 6 sel. Yang ini bersama-sama 3 morula yang lain telahpun dibekukan dan disimpan.



Beliau baru disahkan hamil dengan BhCG 228 IU/L (beliau tidak menggunakan suntikan hCG untuk 'luteal support')
Tahniah!
Ingat pesan saya, mesti pakai ubat mengikut arahan saya, bukannya atas rujukan orang lain.
Ini kerana lain doktor IVF, lain kaedahnya.
Malah bagi saya sendiri, lain pesakit, lain jenis dan susunan ubatnya. 


Namun, tidak semua dikurniakan rezeki pada tahun ini.
Kes terakhir FET yang saya maklumkan dalam entry sebelum ini tidak hamil. Ujian BhCG < 2 IU/L. Apa pun, terima kasih kerana mendoakan beliau tadi. Belum ada rezeki.

.
.
.
.
.


(terima kasih kepada empunya isteri kerana sudi memberikan kebenaran menggunakan gambar ini)

Ini pula kes pertama fresh-cycle IVF tahun 2013. Blastocyst culture juga. Saya masukkan 2 embrio blastocyst. Beliau memilih untuk bersalin di PHKL dengan Dr Idora, bersalin normal dan cukup bulan. Kami dijemput menghadiri kenduri aqiqah bayinya, tetapi saya tidak sempat. Sungguh terharu (meremang buluroma) apabila diberitahu ayahnya tidak berhenti-henti mencium sambil menitiskan air mata sewaktu gambar ini diambil. Begitulah kasihnya seorang ayah. Dengar cerita, ayahnya nak buat bilik khas di ofisnya untuk si kecil ini sebab sekarang asyik-asyik nak balik jenguk anak (bukan nak jenguk isteri ya? haha, gurau saja)

Beria-ia betul pasangan ini meraikan majlis itu, saya pun dikirim cenderahati. Terima kasih atas ingatan. Bila saya usik "Ini nanti nak sambut menantu macamana meriah pula agaknya", dia jawab "Tu la Dr, nak buat macamana, dah 9 tahun menunggu."



Saya Pergi Belajar Endometriosis (Part 2)

Post hampir basi (tetapi ilmunya tidak sama sekali)
Isinya pun tak seperti tajuk (kerana masih dalam mode bercuti)

Tahun 2013 - tahun mendalami ilmu Endometriosis.
Selepas ke PD untuk seminar endometriosis, saya ke Strasbourg pun untuk kursus endometriosis juga. Niatnya, nak dapatkan 'the best of both worlds'.

Saya dan seorang lagi pakar O&G pun pergilah ke Strasbourg untuk mendalami ilmu pembedahan laparoskopi endometriosis yang bertajuk 'Current Treatment in Severe Endometriosis'. Di mana lagi? Di  EITS IRCAD Strasbourg la. Dia di-sponsor penuh manakala saya membayar sendiri. Beliau (terpaksa) pun meng-offer saya menjadi roommate beliau di sana, maka dapatlah saya berjimat dan membayar hanya untuk yuran kursus dan tambang perjalanan. Tq tq!

'Menonong' je dia ni berjalan, macamlah dia tahu mana nak cari pintu tunggu bas Lufthansa tu. Kan saya yang dah pernah datang ke situ?



PERJALANAN

Seperti perjalanan tahun di mana saya berseorangan ke institut yang sama di Strassbourg di Perancis itu, kali ini juga saya (dan dia) mengambil pernerbangan MH terus ke Frankfurt di Jerman. Ini kerana jarak dari Frankfurt ke Strasbourg lebih dekat daripada dari Paris. Dari sana, boleh ambil bas/coach Lufthansa terus ke Strasbourg. Mahal juga tambang bas ni, 98Eu (hampir RM500) pergi balik. Lagipun, bas Lufthansa ni berhenti betul-betul di depan hotel yag kami tinggal (selain berhenti di stesen keretapi Strasbourg).


Memandangkan kami sampai pada hari Ahad, maka tiada bezanya sama ada nak berjalan-jalan di Frankfurt ataupun di Strasbourg. Kami (atas desakan saya, heheh) memilih untuk berjalan-jalan di Frankfurt. Kami sampai awal pagi manakala jadual bas kami ambil senja, sempatlah naik keretapi ke bandar Frankfurt, tak jauh pun. Sempat membeli tudung favourite dengan harga yang sebenarnya lebih murah daripada tudung kegemaran saya yang satu lagi di deretan kedai tepi jalan di Jalan TAR KL. Sehelai RM40 sahaja, saya tak mampu pakai tudung mahal-mahal ni, asalkan saya suka, senang dipakai dan senang digosok.


 
Kedai makanan halal ini masih ada di paras bawah stesen keretapi Frankfurt. Atas sebab ada event apa ntah, ada satu shopping mall yang dibuka. Kami sempat berjalan ke sana (balik naik tram sebab saya tak larat asyik didera dia yang suruh saya berjalan sahaja ke sana sini) dan saya sempat membeli satu barang yang saya idamkan selama lebih 10 tahun (walaupun sebenarnya tak betul-betul sama tetapi hampir serupa dan lebih murah). Sepuluh tahun baru 'tersanggup' mampu membelinya.


PENGINAPAN

Kami menginap di Hotel Hilton (sama seperti sesi tahun lepas). Antara hotel yang agak jauh dari pusat bandar tetapi ini sahajalah hotel yang bas Lufthansa tu berhenti ambil/turunkan penumpang. Hampir kesemua peserta kursus duduk di hotel ini.


Ada breakfast dalam rate sewa bilik. Pagi-pagi, makan apa lagi? Roti2 ini sahaja lah. Pain au chocolat walaupun sangat sedap, tetapi masih tak cukup bagi tekak Melayu saya. Saya punya 'companion' di depan memang suka. Dia dah bertahun duduk di Scotland sebelum ini.


BELAJAR

Tempat yang sama, bangunan IRCAD di dalam kawasan Hospital Strassbourg
Bilik syarahan yang sama
Ketua program yang sama
Barisan penceramah berlainan dari merata Eropah da ada seorang dari USA(pakar O&G juga IVF dan juga mahir bab pembedahan robotik)


Hanya barisan tempat duduk ini sahaja yang ada 2 seat berasingan kerana sebelah tu ada tiang, yang lainnya row panjang maka kami memilih duduk di situ. Ini row ke-2 terakhir dari belakang. Pakai buku sekolah lama anak tahun sebelumnya, masih ada banyak mukasurat kosong, maka bolehlah digunakan lagi. Ini salinan pertama (a.k.a. tulisan cakar ayam sebab nak cepat). Balik Malaysia nanti, barulah dipindah salinan kedua ke buku yang cantik.

Kali ini, ada 2 orang peserta dari Asia (dulu saya seorang sahaja wakilnya). Siapa lagi, saya dan dialah! Tak ramai pun peserta, tak sampai 50 orang pun rasanya. Yurannya bukanlah murah, untuk saya Eu1050 (ada discussion/tips&tricks on pre-recorded broadcast) manakala untuk beliau (ada training on live tissue a.k.a. minipig) pula hampir Eu1800. Tahun ini yurannya meningkat kepada Eu1560 dan Eu2308. Kursus yang saya pergi tahun sebelumnya (Advanced Techniques in Operative Gynecological Endoscopy) pun dah naik harga kepada Eu2308. Aduhai! Mujurlah dah pergi.


Memang ada gaya seorang professor companion saya ni. Serius je. Terutamanya bila tiba bab yang dia minat, bukan setakat ambil gambar, tulis nota lagi (tetapi saya tak pernah faham atau boleh membaca tulisan dia ni, kadang-kadang dia sendiri tak boleh baca tulisan dia, hahaha)


Tetapi janganlah terpedaya dengan gambar di atas. Dia memang layak jadi pensyarah saja, tak sesuai jadi anak murid. Sebabnya....... dia akan kacau orang sebelah dia. Sebenarnya, dia asyik nak ajak saya berbual dengan dia, sedangkan saya nak tumpukan perhatian penuh. Maklumlah, dah datang dari jauh beribu-ribu kilometer ni (serta bayar beribu-ribu RM) kenalah jadi berbaloi. Hmmph...kalau kat dalam kelas sekolah, dah lama dah dia (dan saya pun terbabit) kena marah dengan Cikgu ni dan mesti kena denda berdiri atas kerusi .

Sehinggakan saya terpaksa menghantar notis ini kepadanya (sebab saya tak nak buka mulut, maka kenalah menulis nota).


.
.
.

Hmm......

Mentang-mentanglah dia dah pandai, dia tak nak bagi full attention pun. Sepanjang 3 hari berkursus, sama ada dia akan bagi 'running commentary' memberi komen apa yang lecturer di depan tengah mengajar, ataupun;

... dia akan buat perkara di bawah .....


....... penuh khusyu' sambil matanya tertutup.

Hanya pada sesi praktikal sahaja (saya joined sesi discussion 'meet the experts' on videos on laparoscopic surgeries, saya dapat belajar dengan amannya. Beliau pula joined sesi 'hands-on session -  training surgery on live mini pig' iaitu sesi yang saya telahpun sertai pada tahun sebelumnya.


JUSTIFIKASI

So,


Mengapa Strassbourg? Mengapa EITS? Kan dah ada AITS di Taiwan? pun cawangan IRCAD juga.


Sekali lagi, sebab di sini ada cawangan IRCAD iaitu EITS (European Institute of Tele-Surgery). 'Dia' pernah pergi ke IRCAD Taiwan (AITS - Asian ITS) tahun sebelumnya. Di sana, Prof Dr Arnaud Wattiez juga diundang menjadi salah seorang trainer/penceramah. Tetapi di EITS, Prof Wattiez menjadi koordinator (sebab dia bekerja di situ pun), setiap hari dia ada memberi pandangan. Kalau nak belajar sesuatu, kita kena berguru terus dengan orang yang paling mahir atau yang mulakan ajaran itu.


Tidak banyak gambar EITS yang ingin saya pos di sini kerana telah saya tunjukkan dalam pos terdahulu.


Cuma, baru saya sedar yang dewan utama tempat saya menghadiri sesi ceramah/live video/discussion dinamakan Dewan Lindbergh. Maka, tiba-tiba saya berminat nak mengetahui siapakah Lindbergh dalam dunia laparoskopi ini. Apa lagi, saya pun meng-google... menarik rupanya cerita di sebalik nama itu. Cuba baca mengenai Operation Lindbergh, first 'trans-atlantic robotic surgery', kenapa pembedahan tu digelar operation Lindbergh, siapa Lindbergh ni dalam dunia penerbangan, jam tangan rekaan Lindbergh jenama L------- dll (saya sempat 'ke laut' membaca yang tak de kaitan secara langsung pun, haha). Baruku perasan yang pembedahan robotik trans-atlantik pertama tu adalah dalam tahun 2001, saya belum grad jadi pakar pun. 



MAKANAN 

Memang seperti tahun dahulu, di Perancis ni la, kursus inilah, makanan kami dihidang dengan penuh beradab mereka. Kebiasaannya kongres atau seminar hanyalah dalam pek yang disiapkan untuk kami makan berdiri di tepi dewan ataupun hanyalah sandwich dan buah epal dan pisang.

Poached egg - cantiknya..... Ini baru starter

Lebih kurang yang jual kat Ikea tu

Starter yang ni tak sedap (tak pandai nak 'appreciate')

Starter yang ni pula OK OK saja


I am not a dessert person, so don't ask me about these 2


ILMU

Apa yang dipelajari;

Segalanya (hampir) mengenai 'Laparoscopic Surgery in Advanced Endometriosis" dan perkara am mengenai pembedahan laparoskopik

Pantang-larang menggunakan jenis simpulan jahitan secara laparoskopik

Peringatan mengenai perkara-perkara penting

Saja nak tunjuk. Ini adalah antara jenis simpulan jahitan pembedahan. Dah macam kelas Pandu Puteri atau Pengakap pula ya. Sama je. Nampak senang dan memang senang pun nak buat, kecuali apabila nak buat secara lapasroskopik kerana imej pembedahan pada monitor TV sewaktu pembedahan laparoskopik tu gambar 2 dimensi. Kalau kemudian boleh guna monitor 3-D memanglah akan jadi sangat mudah.

Ini sahaja?

Mana lagi notanya?



Nampak selfie saya senyum tu? Notanya dah siap-siap disimpan di dalam USB yang digantung bersama 'nametag' pada lanyard merah itu.

Saya dah kumpul 2 USB/thumb-drive ni, tahun sebelumnya dan tahun ni punya. Ada fail-fail setiap dalam bentuk powerpoint ceramah yang diberi.


JALAN-JALAN

The Grand Mosquee de Strasbourg. Masjid ni terletak hampir dengan kawasan hospital. Strasbourg pun bukannya besar mana. Ini adalah antara masjid terbesar di Perancis, dikatakan dapat memuatkan 1,200 orang tapi saya nampak tak lah besar sangat pun masjid ni.


Menikmati keindahan ciptaan Ilahi di samping mengamati kecantikan rekabentuk rumah/bangunan di sana. Memang ada rumah-rumah di sana yang serupa dengan gambar dalam 'jigsaw puzzle'. Kami berjalan mengelilingi 'bandar pulau' ini sehingga cukup 1 pusingan. Sepanjang di sana, dia memang suka 'dera' saya berjalan kaki. Penatnya......

Tak cukup kami explore dari darat, kai terokai dari sungai mengelilingi bandar Strassbourg. Pengangkutan ini dipanggil Botarama. Sempat belajar dari 'dia' sewaktu rakaman (ala....kan dia ada bagi earphone untuk kami dengar) menerangkan bagaimana kejuruteraan zaman dahulu memanipulasi paras air yang berbeza untuk membolehkan bot lalu 'menaiki' mahupun 'menuruni' paras air tersebut dengan amannya. Dia ni memang arif bab sejarah, saya dah test banyak kali dari bab Hitler, sejarah Melayu, perang dunia, industri bermotor, asyik tahu je jawapan (sebab diam-diam lepas tu saya double-check, hehe), apatah lagi sejarah bolasepak. Hmm...akan datang, saya nak test dia bab sejarah jam tangan pula......


Tiada kaitan dengan dua haiwan di dalam gambar. Rasanya kedua-dua angsa ini masih hidup sewaktu saya menulis 'entry' ini.  Inilah bandar asal makanan 'foie gras'. Sempat saya membaca asal usul foie gras dan lumrah migrasi burung serta kegunaan sistem penghadaman hati mereka dalam menempuh musim sejuk......

Ini pun tiada kaitan dengan Strasbourg sahaja, di Amsterdam (negara yang warna oren kegemaran saya tu) pun menggalakkan berbasikal. Saya dapat kertas tisu ni dari salah satu restoran di Strasbourg. Apa yang ditulis itu yang menarik minat saya.

Err.....

Di rumah kami ada basikal (got it!)
Tetapi kami masih membakar hidrokarbon......(sebab tempat kerja kami jauh)
Basikal itu pula bersifat lebih kepada perhiasan sahaja.
Bukan setakat kurang digunakan, buat demo pun tak de.
Cakap tak serupa bikin, macam ketam.


Kesimpulannya,
Entry ini bukanlah nak bercerita bab endometriosis sangat (kan saya dah kata saya masih dalam mode bercuti)
Entry ini lebih kepada bercerita mengenai Strasbourg.
Dan bercerita (mengata) mengenai dia.

Sorry ya, Prof.......

Raya tahun hadapan (insyaAllah) saya akan melutut (seperti biasa) minta maaf dengan ayat panjang-panjang (kenalah saya prepare skrip dari sekarang sebab banyak buat salah/dosa dgn Prof ni, haha).

Selamat Tahun Baru, azam baru.




Hari ini saya akan mengetahui keputusan kes terakhir IVF tahun ini.
Bulan Disember ini saya hanya melakukan 8 kes IVF : 6 fresh cycle (stimulation-OPU-ET) dan 2 frozen (Preparation-Thawing-ET). Kes FET ini termasuk kes FET embrio yang dipindahkan dari hospital lain tu


(secara perbandingan, dalam bulan November 2013 saya buat 8 fresh IVF;
- Kesemuanya sampai blastocyst culture tetapi seorang kena tunggu Day 6 baru jadi blastocyst 
- 5 kes  masuk 2 embrio, 3 kes masuk 1 embrio sahaja
- Usia : 5 orang berusia 30-32 tahun, 2 orang berusia 35-36 tahun, 1 berusia 39 tahun
- 5 daripadanya hamil (62.5% pregnancy rate per OPU cycle) tetapi seorang keguguran kemudiannya (39 tahun) i.e. 20% miscarriage rate.
- 2 daripada 5 yang hamil itu twins (sebenarnya saya galakkan masuk 1 sahaja blastocyst, tetapi yang membuat keputusan mutlak adalah pasangan sendiri lebih-lebih lagi selepas saya akui kalau masuk 2 embrio blastocyst peluang memang almost always pregnant. Ada seorang berusia 36 tahun minta masuk 3 embrio, saya 'tawar-menawar' dapat pujuk masuk 2 sahaja dan jadi twins pula)



Maka, Disember ini, daripada 6 kes fresh-cycle IVF
- julat usia 27-36 tahun (27, 29, 29, 34, 34, 36)
- 5 kes masuk 2 embrio, 1 kes masuk 1 embrio sahaja
- 5 daripada 6 kes fresh IVF disahkan hamil secara ujian darah BhCG.
- 5/6 bermakna 83.33% pregnancy rate per OPU-cycle.
Tidak menghariankan kerana kesemuanya menjalani 'blastocyst transfer' ET hari ke-5.
- 1 daripada kes FET telah diketahui.
Tinggal 1 lagi.
Minta doakan supaya beliau pun hamil.

Monday, 23 December 2013

Cuti

Kepada pesakit-pesakit saya;

1. Saya sedang bercuti sehingga 1hb Januari 2014.

2. Jika ada masalah, datanglah ke PHKL. Ada doktor pakar yang 'cover' saya sepanjang tempoh itu di klinik ataupun di Unit Kecemasan juga ada Pegawai Perubatan yang menjaga.

3. Pertanyaan boleh dibuat menggunakan whatsapp ke hp yang telah diberi nombornya (kes IVF sahaja).

4. Jika tiada 'reply' kerana saya lazimnya 'off-line' apabila bercuti, maka sila 'forward'kan secara emel ke adila005@yahoo.com.

5. Hanya pesakit-pesakit yang baru sahaja menjalani IVF dalam bulan Disember ini dan ingin bertanya mengenai simptom OHSS diberi keutamaan dan tiada caj 'consultation' dikenakan.

6. Untuk tidak menggalakkan salahguna, persoalan selain OHSS akan diambilkira sebagai sesi 'consultation' yang mungkin dikenakan caj apabila datang sesi temujanji kelak. Harap maklum.

7. Kemudahan berhubungan di alam 'cyber' ini terhad hanya untuk pesakit-pesakit saya sahaja.

8. Sesi klinik akan bermula pada 2hb Januari (Isnin-Jumaat pagi, sesi petang hanya 'by appointment")





......dan dapatlah saya makan petai sesuka hati :)



Selamat Bercuti kepada semua pembaca.

Marilah kita cuba lebih gigih untuk memenuhi wawasan 2013 kerana 2014 semakin hampir.


Menggunakan Embrio Beku yang Dipindahkan dari Hospital Lain


(Tiada kaitan ) Tiba-tiba teringat pula cerita 'Transporter'.

Ini adalah kali kedua saya melakukan kes sedemikian (menggunakan embrio beku yang dipindahkan dari pusat IVF lain).
Semuanya berlaku secara tidak mereka jangka.


Ini kerana tujuan beliau datang berjumpa saya adalah untuk menjalani IVF sekali lagi. Bermula dari awal (rangsangan).


Usianya 34 tahun.
Berkahwin pada Mei 2004.
Menetap di Pahang.

Pernah hamil ektopik pada tahun 2004 (di Kelantan) dan 2010 (di Pahang), maka kedua belah tiub falopiannya telah dibuang ie tidak lagi berfungsi. Hanyalah IVF sahajalah pilihan yang ada.

Pernah menjalani pembedahan membuang fibroid, maka saya teka kehamilan ektopik beliau adalah disebabkan oleh endometriosis (sebab endometriosis adalah teman seiringan fibroid) yang merosakkan tiub falopian sehingga kandungan tersekat di situ.


Pernah menjalani 2 kali ICSI sebelum berjumpa saya.
Kedua-dua ICSI di hospital yang sama di KL tetapi oleh 2 doktor dan 2 embriologis berlainan.


ICSI kali pertama dalam tahun 2011.
- Usia ketika itu - 32 tahun
- Protokol antagonis
- 1350 IU suntikan recombinant FSH (150 IU setiap hari selama 9 hari)
- OPU dapat 7 telur : 4 M II (matang) dan 3 tak matang (2GV dan 1 M I)
- 2 embrio terhasil daripada 4 telur M II yang dibuat ICSI (50% ICSI fertilization rate)
- ET (Embryo Transfer) pada Day 3 : 2 embrio (8C1 ie 8-sel gred 1 dan 2C3 ie 2-sel embrio gred 3)
- Tidak berhasil


Di antara 2 ICSI, beliau menjalani pembedahan membuang fibroid di hospital yang sama. Tidak pasti pula apa keadaan endometriosis sewaktu pembedahan tersebut.


ICSI kali kedua dalam tahun 2012
- Usia ketika itu 33 tahun
- Protokol antagonis yang sama cuma ditambah dos.
- 1800 IU suntikan recombinant FSH (200 IU setiap hari selama 9 hari)
- OPU dapat 8 telur : 7 matang (M II) dan 1 tak matang (GV)
- 4 embrio terhasil daripada 7 telur M II yang dibuat ICSI (57.1% ICSI fertilization rate)
- ET pada Day 3 juga : 2 embrio (8C1 dan 10C1)
- Manakala baki 2 embrio dibekukan pada usia Day3
- Pun tidak berhasil


Mereka memberitahu saya;

"Kami cadang nak buat IVF sekali lagi (kali ke-3) dengan Dr pula"


Saya pula beri cadangan lain;

"Apa kata kita cuba pakai embrio beku tu dahulu? Kalau tak jadi, barulah kita buat IVF semula"


Ini kerana prosedur IVF bukanlah mudah. Hanya yang melaluinya sahaja yang faham. Bukan mudah nak suntik diri sendiri setiap hari, nak pastikan waktu suntikan dan suhu penyimpanan ubat juga dijaga, nak kena datang scan selalu dll. Dan sudah tentu ianya jauh lebih mahal.

.
.
.

"Boleh ke Dr?"

"Saya sebenarnya belum pernah buat (urusan memindahkan embrio ke PHKL). Kita cuba tanya. Kalau hospital (yang simpan embrio beku) tu benarkan kita ambil, bolehlah kita pindahkan. Sepatutnya boleh. Lagipun sebenarnya, nak pindahkan embrio ni lebih bergantung kepada kemahuan/arahan pesakit"


Maka urusan memindahkan embrio beku beliau dari hospital tersebut ke Hospital Pantai Kuala Lumpur kemudiannya dilakukan. Embriologis saya sendiri pergi mengambil embrio beku tersebut (dia memang 'multi-tasking'). Ya lah, kena kurangkan bilangan orang dan betul-betul periksa supaya tidak bertukar embrio orang lain pula.


Persediaan FET (Frozen-Thawed Embryo Transfer) pun dimulakan sejurus beliau didatangi haid menggunakan ubat yang sama seperti pesakit FET saya yang lain tetapi jadualnya berbeza (kepada pesakit-pesakit saya, sila faham betul-betul dan ikut apa yang disuruh secara lisan mahupun bertulis kerana apabila sampai ke farmasi di bawah, ramai yang keliru. Anda mesti ikut kaedah saya walaupun anda dapati ianya berlainan dengan apa yang dilalui sebelum itu).


Setelah rahimnya bersedia, ubat fasa ke-2 (luteal support) dimulakan dan jadual FET diselaraskan. Embriologis akan 'mengeluarkan' embrio tersebut 2 hari sebelum tarikh FET. Sebagai langkah berjaga-jaga, slot bilik bedah 'standby' tambahan juga ditempah untuk hari berikutnya, mana tahu jika embrio lambat berkembang.  Untuk beliau, saya tambah dengan satu lagi jenis ubat progestin.


Mujurlah setelah 'thawing' dilakukan, kedua-dua embrio tersebut menunjukkan perkembangan. Kultur pun diteruskan sehingga mencapai peringkat blastocyst.



Blastocyst. Memang cantik. 

Kepada yang perasan dan tertanya mengapa saya selalu mengambil gambar dari sudut tepi, sebenarnya kerana jika tidak, imej akan menjadi berbelang-belang seperti di bawah. Ada sesiapa yang boleh memberitahu penyelesaiannya supaya saya dapat merakam imej dari hadapan tanpa belang-belang tersebut? 




Prosedur ET juga berjalan dengan mudah (dalam ET, pesakit sebenarnya rasa macam buat IUI sahaja, cuma ia dilakukan di dalam bilik pembedahan).

Hasilnya

Ujian BhCG ini dibuat 7 hari selepas prosedur FET. Memandangkan beliau tidak mengambil sebarang suntikan hCG, maka sah beliau hamil. Hormon hCG ini dirembes oleh uri (syncytiotrophoblast) iaitu setelah berlakunya implantasi embrio. Ini baru peringkat 'biochemical pregnancy'. Apabila janin kandungan dapat dilihat dalam scan (dijangka dalam 2 minggu lagi), barulah dinamakan 'clinical pregnancy'.


Saya berpendapat kadang-kadang nak jadi penyebab sahaja kali ini beliau berjaya hamil. Kadang-kadang nak kena bertukar tangan/angin. Ini bukan bermakna doktor-doktor sebelum itu tidak melakukan yang terbaik. Embrio yang elok juga terhasil daripada telur yang elok; dan telur yang elok juga bergantung kepada protokol rangsangan yang elok; dan protokol rangsangan tersebut diformulakan oleh doktor sebelum saya. Begitu juga dengan embriologis mereka. Kerana teknik pembekuan embrio dan penjagaan penyimpanan embrio mereka baguslah juga, kami dapat menggunakan embrio tersebut dengan jayanya. Terima kasih kepada mereka.


Terima kasih juga kepada pasangan ini kerana yakin dan positif meneruskan 'plan B' ini. Pada saya, ini sangat penting. Terima kasih kepada LPPKN yang menghantar saya ke FCH yang membuka mata saya mengenai kepentingan memahami setiap hasil ujian dan setiap tindakan yang diambil, walaupun semudah memberi pil Clomiphene Citrate. Terima kasih kepada Cikgu di sana yang turut mengajar saya ilmu ultrasound bahagian infertiliti dan menganalisa hasil ujian darah dengan sejelas-jelasnya (baru ku sedar rupa-rupanya sebelum itu, ilmu saya hanyalah seumpama baru pandai baca ABC sahaja). Inilah yang dikatakan "the eyes cannot see what the mind doesn't know" dan "by knowing, you want to know more".


...termasuklah kepada pesakit-pesakit saya yang secara tidak langsung juga menjadi 'cikgu', belajar dari pengalaman merawat memang tidak ternilai. (ada juga yang mengajar ilmu sampingan : tips melancong ke negara Winter Sonata, resipi masakan, cara menggunakan coffee maker sewaktu saya baru beli dahulu dan banyak lagi).


Sekali lagi, blastocyst culture. Pada tahun ini, lebih 90% kes (pesakit) embrio mereka berjaya dikultur sehingga peringkat blastocyst sebelum dibuat ET. Itulah antara sebab-sebabnya, pada tahun ini, peratus kehamilan melonjak tinggi. Kenalah bertanya embriologis apakah rahsia beliau menjaga piawaian makmal sehingga lebih berjaya mengkultur lebih 90% kes ke peringkat blastocyst. 


Towards 100% 'Blastocyst culture'.....the way forward...




Monday, 9 December 2013

(selingan) Port Dickson dan Tentera Darat Malaysia

Selamat bercuti sekolah kepada semua.

Musim berkhatan (memenuhi slot bilik pembedahan, dulu2 bersunat kat rumah sahaja)
Musim kenduri kahwin (berhati-hati di jalanraya, terutamanya yang berkonvoi)
Musim balik kampung (atau balik bandar memandangkan kini semakin generasi datuk nenek bermukim di bandar pun)
Musim bercuti2 Malaysia dan bercuti-cuti ke luar negara (yang ditunggu2 kebanyakan ibubapa




Saya tujukan post ini terutamanya kepada mereka yang tinggal berhampiran dengan Port Dickson  ie. di Lembah Klang, Melaka dan semestinya Negeri Sembilan.


PORT DICKSON

Sama ada single, berkahwin mahupun berkeluarga;
Port Dickson atau singkatannya PD patut dijadikan satu destinasi santai, bukan setahun sekali tetapi berkali-kali. Santai kerana mereka yang tinggal di kawasan yang dinyatakan di atas boleh sahaja berkereta pergi ke sana dan pulang pada hari yang sama ataupun bolehlah menginap semalaman.



Walaupun bagi saya, pantainya tidaklah secantik pantai di pulau-pulau Langkawi, Tioman, Perhentian mahupun Redang, namun pantai tetap pantai; masih mendamaikan, tetap ada air laut dan deruan ombak. Lagipun, yang dibandingkan di atas itu adalah pulau-pulau. Jika dibandingkan dengan pantai darat, ke mana lagi? PD lah! Dapat menyaksikan matahari terbenam. Dapat juga tengok anak bulan di Teluk Kemang.




10 SEBAB UNTUK MELAWAT PD (mari kita lihat sama ada saya berjaya 'menjual' PD utk dilawati):


1. Dekat sahaja dari KL (dan kawasan yang se-radius dengannya)

- Hanya 82 km dari Plaza Tol Sungei Besi.
 Kira-kira 98km dari rumah saya ataupun 92km dari tempat kerja saya. Dengan pemanduan stail kura-kura, saya masih boleh sampai di sana dalam masa sejam lebih sedikit sahaja jika tiada kesesakan di jalanraya.



2. Penuh bersejarah.

Inilah yang mahal mengenai PD berbanding pantai-pantai lain di Malaysia.
Antara tempat-tempat yang boleh dilawati (sambil meng-imaginasi sejarah zaman dahulu)


2a. Tanjung Tuan (Cape Rachado)


- Walaupun ia bukanlah di tengah-tengah PD, tetapi ada juga sejarahnya 300 tahun sebelum itu. Penjajah Portugis membina rumah api di Cape Rachado pada abad ke-16 sebagai panduan pelayar ke Melaka. Itulah rumah api tertua di negara kita (cuma selepas itu dibina semula oleh British pada abad ke-19). Yang kuat stamina bolehlah menaiki tangganya dan dapat melihat pantai Sumatra yang hanya 38km dari sini (sebab itulah PD merupakan satu daripada pelabuhan keluar/masuk ke/dari Dumai).

- Maka tahukah apa sebabnya Portugis memilih untuk membina rumah api di sini dan bukannya di tempat lain?
Sebabnya - di sinilah kawasan laut yang paling sempit di Selat Melaka (sebelum sampai Melaka la) di samping banyak batu2 besar sehingga memungkinkan kapal2 pecah terlanggar batu2. Jarak antara Cape Rachado dengan Pulau Rupat Sumatera memanglah yang terdekat, cuba tengok peta.

- Apa-apapun, dahulu kala memang nama asal PD adalah Tanjung.


2b. Sejarah Landasan Keretapi Malaysia


- Di sinilah juga landasan ke-3 yang terawal dibina di negara ini (selepas Taiping-Port Weld dan KL-Klang) pada tahun 1900 menghubungkan Seremban-PD. Semuanya kerana urusan membawa barangan di antara PD ke Seremban (dahulunya Seremban dipanggil Sungai Ujong). Inilah yang tambah memajmukkan bangsa yang mendiami PD pada waktu itu - pelombong timah, pekerja landasan keretapi dan penjajah. Namun sekarang, perkhidmatan keretapi dari seremban ke PD telah tiada.  Landasannya masih ada dan boleh dilihat di kawasan bandar berhampiran Pejabat Pos.



3. Ada Bandar Tentera Darat di sana

Ya, benar.
Fakta ini lagi MAHAL dan inilah yang terus menambat hati saya untuk ke sana lagi dan lagi dan lagi.
(sila tarik nafas kerana cerita seterusnya panjang)

- Ada yang menggelarnya Fort Knox Malaysia, ala-ala bandar tentera Fort Knox di USA, kerana bukan satu kem sahaja : ada banyak kem serta ada pusat latihan dari peringkat nak jadi kadet sampailah ke latihan lanjut, bla bla bla (sebut sahaja apa yang berkaitan ketenteraan) sehingga termasuklah tempat mereka memilih untuk terus menetap di PD selepas bersara, begitu nostalgiknya PD kepada mereka.

- Pada 2009, PD secara rasminya menjadi Bandar Tentera Darat. Ini ada tertulis di pintu gerbang jika anda memandu dari PLUS highway ke PD. Inilah bandar 'kelahiran' pahlawan kita; tentera-tentera darat, mereka 'graduate' di sini. Teruja sehingga naik juga buluroma saya ketika memandu melintasinya, apabila kereta melintasi dataran berwarna merah itu. 

- Siapa yang tak belajar mengenai Leftenan Adnan Saidi yang ditawan dan terkorban disiksa di Singapura ketika berjuang mempertahankan Bukit Candu dari Jepun sewaktu Perang Dunia ke-2 dulu? Beliau mengetuai Platun no 7 di dalam Kompeni C, Batalion Pertama Askar Melayu. Beliau sebenarnya bukanlah orang PD (orang Kajang) tetapi kaitannya sebagai pegawai Regimen Askar Melayu di PD (no 90) yang mengaitkannya dengan PD. 14hb Februari, tarikh yang diraikan sebahagian masyarakat, rupa-rupanya tarikh pembunuhan Leftenan Adnan Saidi. Jika melawat Singapura, pergilah ke Bukit Candu, ada muzium yang dikatakan baya menceritakan mengenai pengorbanan Askar Rejimen Melayu . Sedih membaca bagaimana beliau disiksa dan dendamnya Jepun sehingga mencari ahli keluarga beliau.



Mmm...

Seronok membaca sejarah Angkatan Tentera Darat ni. Bagi saya yang tidak mempunyai seorang pun ahli keluarga yang menyertai pasukan Tentera Darat, jenuh juga nak memahami bahasa ketenteraan ni, pangkat, gelaran kumpulan dll.


Baru ku tahu :

~ Ketua profesional tertinggi dalam TDM (Tentera Darat Malaysia) ialah Panglima TDM dengan pangkat Jeneral.   Tetapi jangan lupa ya, kita ada Field Marsyal iaitu Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (SPB Yang Di-Pertuan Agong) dan kita juga ada Menteri serta Timbalan Menteri Pertahanan dan Panglima ATM (juga berpangkat Jeneral) yang mengetuai keseluruhan ATM. Kebetulan Jeneral Datuk Panglima TDM sekarang adalah Panglima TDM yang ke-25 : angka yang sama bagi bilangan askar 'first batch' yang menyertai Kompeni Percubaan Pertama Askar Melayu pada tahun 1933 (leftenan Adnan bukan first batch, kan nombor dia 90)

~ Banyaknya pangkat profesional : Kumpulan Pegawai sahaja dah banyak pangkat dah : dari Leftenan Muda, Leftenan, Kapten, Mejar, Leftenan Kolonel, Kolonel, Brigedier Jeneral, Mejar Jeneral, Leftenan Jeneral sehinggalah ke Jeneral. Yang ada perkataan Jeneral pun ada 4 (bilangan bintang mereka pun ada 1-4 mengikut kekananan pangkat). Kalau saya ambil exam teori pasal ni, belum tentu lulus.

~ apa makna logo ATM (hahaha, saya sibuk juga nak mengira barisan serta bilangan butir padi walaupun dah baca berapa jumlahnya, lepas tu sibuk nak double-check bilangan kor dan rejimen cukup tak 16, tak cukup tu sibuk juga nak kira ada 7 rejimen dan bakinya tentulah 9 kor). Tetapi ada satu lagi iaitu Pasukan Udara Tentera Darat (adakah ini rejimen/kor ke-17?). Cuma, saya masih tak jumpa apa makna 21 bulatan kecil di bahagian atas mahkota itu.

~ Bukan calang-calang veteran tentera yang dianugerahkan pingat SP (Seri Pahlawan Gagah Perkasa) dan PGB (Paglima Gagah Berani).

~ banyaknya pangkat2 yang ada serta lambang pada bahu pakaian mereka : mahkota, bintang, (tak terhafal den, poning)

~ banyaknya nama kumpulan mengikut saiz : dari sekecil-kecil seksyen kepada platun/trup, kompeni, batalion/rejimen, briged sehinggalah sebesar divisyen dan diperintah di bawah kor yang juga dipanggil Markas Medan TD. Ehem ehem, satu daripada 4 divisyen berada di M.E.L.A.K.A. negeriku :)

~ 'Agi idup agi ngelaban' itu rupanya adalah motto Rejimen Renjer Diraja (RRD). Hmm...pasti dahulunya ada yang istimewa mengenai keberanian orang Iban melawan musuh ini, malah lambang parang Sarawak (Duku Ilang) juga ada pada logo TDM. Sebenarnya RRD dahulunya berasal dari Renjer Sarawak yang ditubuhkan 30 tahun selepas penubuhan RAMD (Rejimen Askar Melayu Diraja) untuk menentang komunis. PW 1 (B) Datuk Temenggung Kanang anak Langkau juga pahlawan berbangsa Iban, beliau  antara segelintir yang dianugerahkan pingat SPGB dan SP semasa hidup. Malunya saya, ingatkan agi idup agi ngelaban ni hanya berkaitan dengan pasukan bolasepak Sarawak sahaja :)

~ Setahu saya (dari rakan2 doktor yang bertugas di RSAT - Rumah Sakit Angkatan Tentera), kalau Medical Officer (MO) dapat pangkat Mejar (kumpulan pegawai medan), manakala bila dah jadi doktor pakar bolehlah naik pangkat kepada Kolonel (kumpulan pegawai kanan). Rakan saya yang kini memasuki hospital swasta masih memegang pangkat Kolonel (bersara) Dr, wow!

~ Bukan senang nak dapatkan title Komando dan memakai 'green beret'. Pasukan elit 21GGK (Group Gerak Khas) - amende tu ek?

~ (tiada kaitan) tetapi RMC (Maktab Tentera Diraja) juga dahulunya bertapak di PD sebelum berpindah ke Sg Besi.


OK, OK. Bacalah sendiri mengenai TDM. Kemudian berangan-angan sahajalah, kerana kita sebagai orang awam susah nak masuk ke dalam kawasan kem tanpa sebab, maka,

..... untuk mendapatkan tempiasnya, pergilah melawat....



4. Muzium Tentera !
Jangan silap hari. Ia ditutup pada hari Isnin dan Selasa. Kenapa 2 hari ya?

Cubalah melawat (saya belum pergi lagi ni). Dengar cerita, ada;
- Terowong Komunis
- 'Time capsule'. Kalau mengikut plan, selepas 25 tahun (angka 25 lagi) time capsule ini ditanam, pada 1 Mac tahun 2033 kelak ia akan dibuka (di mana genapnya 100 tahun selepas Tentera Darat ditubuhkan)
- peralatan ketenteraan juga banyak dipamerkan, inilah yang menarik.



5. Banyak pilihan resort/hotel mengikut kemampuan



- Dari dahulu hinggalah sekarang, PD memanglah tempat peranginan. Sewaktu PD sibuk dengan urusan timah lagi, British turut menjadikan PD sebagai tempat bersantai pegawai2 mereka berehat/cuti.

- Nak yang mahal - ada
- Nak yang bajet - pun ada



6. Pantai PD yang terpanjang di pantai barat Malaysia

- Pilihlah pantai mana, sepanjang kira-kira 18km dari utara ke selatan. Dari Tanjung Gemuk (lebih baik guna nama glamernya iaitu Glory Beach) hingga ke Tanjung Tuan (pun ada nama glamernya Cape Rachado)

- pemandangan matahari terbenam memanglah indah. Nak tengok matahari terbit di hujung laut bukan di sini ya, ini pantai barat.

-  Seperti biasa; berhati-hatilah apabila ingin berenang. Jika 'air (sungai) yang tenang jangan disangka tiada buaya, air (laut) yang tenang pula jangan disangka tak kan pasang secara tiba-tiba. Kalau tengok jadual air pasang surut; ketinggian ombak sewaktu air pasang selalunya melebihi 2 meter. Dalam bulan Disember ini, hanya 6 hari sahaja ketinggiannya di bawah 2 meter, tetapi itu pun tiada yang rendah daripada 1.83 meter (hmm...siapa kita yang ada ketinggian itu?). Sedangkan sewaktu surut, kebanyakan harinya ia berada pada paras di bawah 3 kaki, malah ada serendah 10cm sahaja (setakat paras buku lali saya sahaja).

- Ingat Geografi? Ingat air pasang surut dan graviti bulan? Kena tambah berhati-hati apabila fasa bulan baru atau bulan penuh (mengambang) kerana pada fasa inilah ketinggian ombak waktu air pasang pada tahap maksima manakala waktu air surut pula paling rendah, maka perbezaannya sangat tinggi. Contohnya dalam minggu lepas (awal Safar) dan lagi seminggu (pertengahan Safar).

(di kolam renang yang tiada ombak pun, kenalah juga berhati-hati apabila membawa anak-anak. Kalau boleh, letak mata depan belakang kiri kanan)


7. Makanan laut

- Janganlah mengharap berlebih-lebihan kerana ini bukan 'selling point' PD. Ada restoran makanan laut, sama sahaja di KL ini. Belum pernah lagi saya tahu adanya restoran tepi laut di mana kita boleh menjala hasil tangkapan untuk terus dimasak. Tetapi, ada resort di masa kita boleh mencari ketam hidup dan ada restoran yang sudi memasakkannya.

- Walaupun ianya pelabuhan, PD ni bukanlah tempat 'ikan' berlabuh, maka sebab itulah kurang terdapat restoran makanan laut hidup/segar. Dahulu kala memang PD tempat nelayan. Sebelum ia menjadi terkenal dengan hasil arang. Sebelum ia menjadi terkenal dengan hasil timah dari Lukut. Tetapi siapa pula yang kata PD ni tempat makanan laut? Tak ada pun kan? So? Walau bagaimanapun, jika anda datang ke sini pada hari Sabtu, ada pasar malam di kawasan berhampiran pantai PD. Dapatlah merasai suasana penduduk di sana.

Makanan laut segar boleh cari di KL pun. Pilih saja terus dari tangki/akuarium di restoran, 'super fresh'. Contohnya, abalone ini


8. Aktiviti-aktiviti lain (kalau nak senaraikan secara berasingan, memang lebih dari 10 lah senarai sebab-sebab saya ni)

8a. Menyaksikan 'bird migratory' di antara September-Mac
8b. Melihat anak bulan di Teluk Kemang
- walaupun tarikh mula berpuasa Ramadhan dan tarikh hari raya Aidil Fitri kini kelihatan mengikut
8c. Ladang Burung Ostrich di Batu 9
8d. Kota Lukut 

 Tahu pantun 6 kerat di bawah ini?

Kota Lukut tempat semayam,
Raja haji datang mengepung,
Banyak pedati ikut bersama;
Jangan ikut resmi ayam,
Bertelur sebiji riuh sekampung,
Mengagung bukti sebesar hama.



9. Namanya pun masih kekal Port Dickson. 

Sempena nama Sir John Frederick Dickson. Tak seperti Port Klang (dahulunya mengambil nama Port Swettenham sempena nama Sir Frank Althestane Swettenham yang juga membuka landasan keretapi dari KL-Klang bagi membawa hasil timah, landasan ke-2 di negara ini). 

Dari tahun 1889 (tahun kelahiran Hitler yang mencetuskan Perang Dunia ke-2) Port Dickson diberi nama, sehingga tahun 1933 (tahun Regimen Melayu Pertama ditubuhkan, juga tahun Hitler menjadi Chancellor) dan sehinggalah kini tahun 2013; nama Port Dickson masih kekal. Dah 124 tahun PD memegang nama PD. (yang mengenali saya sememangnya faham mengapa saya suka mengaitkan/membandingkan cerita dengan Hitler)


So, ada lagi ke pelabuhan PD ni?
Ada.
Kan saya dah kata PD salah satu pelabuhan kemasukan dari Dumai.


10. Kalau pun selepas itu rasa 'menyesal ikut cakap Dr Adilah, PD tak ada apa pun'; senang sahaja. Kemaskan kembali beg anda dan dalam masa sejam anda telah sampai semula ke KL!

dan kepada yang masih tak nak melawat PD secara zahirnya selepas membaca entry ini, setidak-tidaknya anda telahpun 'melawat' PD di sini, heheh!


Cuma, impian/angan-angan saya mengenai PD (tak salah pun kalau nak berangan);


Hmm....

Kalaulah boleh dibangunkan hotel atau resort ala-ala tentera darat, mesti ramai yang akan berlumba-lumba nak menempah bilik/apartment di sana. Malah syarikat2 swasta, GLC mahupun staf kerajaan mesti nak buat kursus di situ. Lebih kurang konsep 'Outward Bound School'. Kalau ada yang konsep 'free and easy' lagilah menarik.

Kami pun teringin juga nak merasa kehidupan tentera :
- memasak dalam dapur tin kotak tu
- memasak menggunakan bahanapi 4-segi macam lilin itu
- makan pek 'ration'
- berkhemah
- tidur di berek askar (sekejap sahaja tau, bukan sanggup lama-lama pun)
- aktiviti ketenteraan (walaupun yang ni saya yang 'rrrrajin' ni sangat tak suka nak join)
- belajar taktik-taktik 'survival' (alaaa, macam cerita spy dalam TV tu) sambil berangan Mat Jenin jadi ahli GGK.




Tetapi, janganlah suruh saya cuba Ujian Kecergasan Asas; satu ujian wajib bagi semua peringkat LLP atau pegawai :

1. Larian 2.4 km dalam masa 12 minit
2. Sit-up 43 kali dalam masa 2 minit (50 bagi lelaki)
3. Push-up 43 kali dalam masa 2 minit (50 bagi lelaki)

Memang sah saya tidak layak memasuki TDM.


Sejak 2-3 minggu ini, saya lebih mengenang betapa bertuahnya kita hidup dalam keamanan...

...dan mengenang jasa mereka yang telah terkorban mahupun yang masih hidup mempertahankan negara kita ini...

...dan terus mencintai keamanan negara kita...


dan jika ke sana, jagalah kebersihan. Janganlah menyumbang kepada pencemaran keindahan pantai dan hormatilah penduduk di sana. Jangan nakal-nakal, ada di antara mereka ni askar kita tau.
Ingat pesan saya mengenai keselamatan mandi di pantai dan menjaga kebersihan. Google jadual air pasang surut kerana waktunya berubah dari hari ke hari






Sunday, 8 December 2013

(selingan) Menghayati Sejarah Malaysia

130 tahun : Portugis menjajah Melaka (1511-1641)
162 tahun : Belanda menjajah Melaka (1641-1795 dan 1818-1825; berselang 'diambil sementara' oleh British di antaranya apabila Perancis menawan Belanda pada 1795)
72 tahun : British memerintah Malaya (1874-1941 ; 1945-1957)

Campur semua dah nak masuk 400 tahun!


4 tahun : Japan memerintah Malaya (1941-1945) dan negara-negara jajahan British yang lain.
1946-1948 : Malaya kembali ke tangan British. Tetapi India (1947), Pakistan (1947), Ceylon (1948), Burma (1948) telah diberi kemerdekaan, mengapa Malaya lambat diberi kemerdekaan?

1957 : kita merdeka!


Hmm....
Baru baru 56 tahun pun.
Sejarah pasca-kemerdekaan kita masih pendek berbanding berabad-abad kita dijajah sebelum itu.....



Eheheh;

Kenapa tiba-tiba nak bercerita sejarah Malaysia ni?


Sebabnya;




Hari ini 8 Disember;
Hari anniversary kami :)

Tetapi (sob sob);

8 Disember juga sebenarnya hari pertama Jepun menyerang Malaya apabila bertapak di Kota Baru, Kelantan (sehari selepas mengebom Pearl Harbour) dalam tahun 1941.


Teringat cerita aruah datuk dan nenek saya mengenai kepayahan hidup pada zaman Jepun.....


Kita patut bersyukur datuk nenek kita selamat mengharungi zaman tersebut.
Dengan sebab itulah, ibubapa kita dan kita dapat lahir di dunia ini.


'Due Date' Bersalin


Kami selalu guna singkatan EDD.
Pesakit pula suka guna istilah 'due date'.



Apa makna 'due date'?
(makna 'as in' apa maksudnya bila tarikh due date sekian haribulan diberi?)



Sebelum tahu apa maksud 'due date', kenalah tahu bagaimana tarikh 'due date' tersebut diperolehi.



Kami guna formula Naegele dalam pengiraan 'due date' ni.
Berdasarkan tarikh hari pertama haid terakhir (LMP atau 'Last Menstrual Period');
cuma tambah 7 hari dan tambah 7 bulan (jangan lupa tengok tahun juga ya)



Apa-apapun;


Tarikh 'due date' yang diberikan itu bukanlah tarikh yang dijangka kebanyakan akan bersalin, tetapi tairkh di mana 90% mereka (yang diberikan 'due date' tersebut) TELAHPUN SELAMAT bersalin.

Ya, benar. 90% dijangka lahir dalam masa 7-10 hari awal.



Ini bermakna, hanya 10% sahaja mereka yang diberikan tarikh EDD atau 'due date' sekian sekian haribulan; sama ada akan bersalin pada hari tersebut atau melangkaui tarikh tersebut ('overdue' la tu)



Maka, 90% dari anda semua bersalin awal darikh tarikh 'due date' bukanlah doktor silap meneka tarikh bersalin :)



Tetapi adakah ianya selamat? (bersalin awal dari tarikh tu?)



Jangan risau, memang selamat lagi, asalkan ianya dalam 2 minggu awal kerana kandungan sebenarnya telahpun mencapai usia matang dan selamat jika lahir.


Dalam IVF, tarikh EDD lazimnya diberi dengan mengambilkira beberapa faktor :.hari OPU dan peringkat embrio (sama ada berkadaran dengan usianya) pada hari ET (Embryo Transfer). Contoh gambar di atas : pada hari ke-5 selepas OPU, bukan semua embrio yang mencapai tahap blastocyst.

Sunday, 24 November 2013

Lagi Berkenaan OHSS

Hanya disebabkan oleh OHSS, saya memberikan nombor hp saya untuk dihubungi pesakit IVF saya sekiranya jika berlaku apa-apa kecemasan atau ada kemusykilan mengenai OHSS.


Hanya sebab OHSS...

OVARIAN HYPERSTIMULATION SYNDROME



Malah, mereka diberikan sekeping kertas berinformasi dan berjadual yang saya karang mengenai OHSS:


1. (tiada kaitan dengan OHSS tetapi ada kaitan dengan penggunaan telefon) Mereka perlu terus menghubungi saya, sama ada whatsapp atau sms:

- apabila didatangi haid pada kitaran nak buat IVF (berserta 4 atau 5 serangkai soalan yang telah saya siapkan sebelum itu, bergantung kepada jenis/bilangan ubat yang diambil)

- memberitahu pada jam berapakah sebenarnya mereka mengambil suntikan 'triggering' (kerana kadangkala ada yang terlambat ambil disebabkan terlajak tidur). Memandangkan suntikan lazimnya diambil pada waktu tengah malam, saya pohon tunggulah sehingga keesokan siangnya untuk meng-sms atau whatsapp saya, tidak perlulah dan dan waktu itu juga ya.



2. Dalam masa 24 jam selepas prosedur OPU, mereka boleh (malah MESTI) terus mendial telefon saya sekiranya berlaku perubahan pada perkara-perkara yang saya telah suruh buat/pantau.



3. Sehari selepas OPU, saya akan memaklumkan secara whatsapp atau sms mengenai bilangan telur (matang dan tak matang) serta bilangan embrio yang telah menjadi dan menjadualkan tarikh masuk embrio (sama ada 5 atau 6 hari selepas OPU - kerana mulai tahun 2013, saya mengamalkan 'Embryo Transfer' peringkat blastocyst)



4. Setiap hari/pagi, mereka perlu meng-'update' saya melalui whatssapp atau sms mengenai:

- kadar denyutan nadi
- berat
- ukurlilit pinang
- jumlah minum
- jumlah air kencing
- tanda-tanda perut kembung, loya, muntah, pening, sembelit dll

SETIAP PAGI YA



M.E.S.T.I.

Ini kerana jika dibiarkan, OHSS boleh menjadi lebih teruk sehingga masuk peringkat kritikal. Saya selalunya tidak menunggu sehingga peringkat 'moderate' untuk pesakit dimasukkan ke wad. Biarlah saya OCD juga dalam bab ini.

Maka, sila beri perhatian.


Silalah faham sedalamnya mengenai risiko ini kerana OHSS tiada ubat sebenar. Prinsip rawatannya ada sedikit sama seperti merawat penyakit Denggi, iaitu menggantikan apa yang kurang.  Jangan sehingga sampai ke peringkat moderate (apa lagi peringkat severe) OHSS baru nak dapatkan rawatan.


Eloklah kedua-dua pihak saya dan anda mengambil langkah berjaga-jaga ini.


Bagi pesakit saya, ini termasuklah beberapa pantang larang dan panduan aktiviti sewaktu menjalani rawatan.

Do's and don'ts ada tertulis di dalam jadual di bawah.




Tetapi...
Janganlah ambil kesempatan pula sehinggakan setiap satu perkara kecil pun nak tanya saya. Sukar untuk saya beri perhatian pada setiap soalan sedemikian kerana anda bukanlah seorang sahaja pesakit saya. Sila baca 'gentle reminder' di bawah sekali pada borang itu tau.

Saturday, 16 November 2013

Saya pergi belajar lagi (part 1) - Endometriosis

Kalaulah telah ada jawapan kepada penawar abadi kepada penyakit endometriosis.....

Tetapi;

sebab itulah ianya menjadi antara minat utama saya dan ramai lagi pakar gynae.


Kerana ia masih 'mind-challenging'


Jika ianya menjadi sangat steriotaip,
boring juga bila nak bercakap ayat yang samag setiap kali berhadapan dengan pesakit endometriosis.
Boleh pasang pita rakaman dan dimainkan semula.


Tahun 2013 ini,
saya berkesempatan menghadiri 2 sesi ringkas mengenai endometriosis.

Saya berpeluang mendengar dari "the best of both worlds"

a) satu di dalam negara

Sabtu 8hb September, selepas saya menghabiskan sesi klinik (bulan terakhir saya membuka klinik pada Sabtu), saya pun bergegas ke sana...



Port Dickson! Setelah bertahun tidak ke sana, hati ini terus jatuh pada keindahan Port Dickson. Melihat pintu gerbang 'Bandar Tentera Darat' membuat saya begitu teruja dan terus rasa selamat (walaupun rasanya inilah kawasan yang akan dituju jika berlaku peperangan, naudzubillah) dan ingin datang lagi dan lagi ke sini. Malam itu juga saya terus meng-google sejarah Port Dickson. 

Cuba nak snap gambar pantai tetapi dapat kecil sahaja. Memang pantai PD tidak secantik Langkawi tetapi sudah cukup menenangkan.

PD Avillion.
Pertama kali ke sini. Memang cantik. Rugi tidak berkesempatan menikmati malam di sana, tetapi keluarga lebih utama. Saya tetap memilih untuk pulang pada senja yang sama.


Julung-julung kali diadakan, bermakna 1-2 tahun lagi mungkin ada kongres kedua menyusul.


The better half mulanya dijemput memberi ceramah endometriosis - kanser tetapi tidak berkelapangan. Saya pula hanya tahu mengenai adanya kongres ini lewat selepas beliau menolak. Maka terpaksalah saya berkelana sendirian.

Lihat tajuk di bawah sekali - "Do teenagers have endometriosis?" Sangat menarik. Siapa kata endometriosis hanya penting untuk nak pregnant sahaja?

Malangnya saya tidak dapat menghadiri sesi itu kerana ada 2 sesi berjalan seentak, susahnya nak buat pilihan. Tetapi disebabkan saya ingin mendengar dari "the best of both worlds" ceramah berkenaan laparoscopic surgery in advanced endometriosis (kerana selepas itu saya ke luar negara untuk mengadiri kursus laparoscopic surgery lagi), saya pun memilih sesi yang satu lagi.




My best award (kalau ada lah) akan kuberi kepada Prof Jamiyah Hassan. An excellent discussion, memang mind triggering. Di dalam hati saya asyik berkata Wow! Wow! dan Wow! Kalaulah saya boleh mengupas topik sebaik itu.....

Terasa rugi tak record sebiji2 apa Prof Jamiyah cakap.



Nevertheless, all the other speakers were very good too. They were (and I'm sure are still) the best, at least in this country. That's why they were given the honour to present. That's why they were standing there in front of us, while your truly sat at the back writing notes (scribbling), writing and writing (as the saying goes -


Rupanya exam specialist O&G baru2 ni ada keluar topik "Medical Management in Endometriosis", lebih kurang macam tu la. Haa....sesiapa registrar yang tak datang mesti rugi sebab apa yang Prof Zainul cakap secara santai (sebab topik ni dah jadi perkara ruji dalam puluhan tahun beliau menjadi pakar) masa tu rupa-rupanya memang padat dengan point2 markah penuh (kalau bagi perhatian dan masih ingatlah :)


Nasib baik saya datang. Walaupun terpaksa menempuh hujan lebat waktu malam balik ke KL.


Seperti biasa - dapat souvenir bag knapsack, gambar ini diberi dalam frame kaca dan sijil ditandatangani the other half sebagai Ketua Jabatan O&G HUKM (tapi sijil tersebut tak sampai pun ke tangan saya sehinggalah ke hari ini). Gambar ini diambil sebelum mula masuk mendengar ceramah. Kalau diambil selepas saya balik memandu dalam hujan, rupaku pasti akan kelihatan pucat dan mata serta hidung merah.



Take-home messages:

1. Berbaloi2 datang.

2. Kekaguman saya kepada Prof2 pensyarah semakinlah meningkat. Terima kasih, Cikgu. Memang betul kata pujangga;

"Selagi seseorang itu berdiam diri, beliau akan dipandang mulia. Apabila beliau membuka mulut, sama ada akan bertambah darjatnya dipandang orang atau akan makin rendah". Terasa begitu jauh darjat mereka berbanding saya yang 'rrrrrrajin' membaca ini.

3. Port Dickson - allow me some time to write about you.....and I'll be back :)



Kepada yang meng-sponsor, terima kasih banyak2. Walaupun hanya RM350 (yuran kongres tidak termasuk penginapan), sumbangan anda dihargai.


Friday, 15 November 2013

Air Mani Keluar Semula Selepas Bersama

Keadaan analysis sperma yang sangat tidak cantik. Terlalu banyak 'round bodies' yang disebabkan oleh sama ada sperma yang tidak matang (badan sahaja, ekornya sangat pendek atau tiada) ataupun disebabkan jangkitan kuman.




"Doktor, kenapa bila lepas bersama je, air mani keluar semula"

"Macamana nak buat air mani masuk dalam rahim? Sebab bia lepas bersama je, air mani suami saya mesti keluar semula"

"Doktor, ada cara tak? Nak elakkan air mani husband dari keluar semula?"




Ini adalah antara cara2 soalan yang diajukan kepada saya, sama ada di klinik mahupun di laman akhbar/media.

Berpuluh-pulh kali, mungkin lebih seratus kali saya diajukan soalan sedemikian.

...dan saya masih memberikan jawapan yang sama.



Kepada yang masih menyangka air mani mesti masuk ke dalam saluran serviks, silalah hayati 'points' di bawah :



-Air mani memang akan keluar semula dari faraj kerana faraj kita berotot (elastik). Bila ada penis yang menegang di dalamnya, ia akan mengembang untuk memuatkan penis tersebut. Selepas ejakulasi, penis akan mengendur, otot vagina yang masih kenyal akan menyebabkan penis terkeluar bersama-sama sebahagian besar cecair mani. Itulah sebabnya air mani terkeluar. Otot vagina yang 'menolak' air mani ini keluar. Hanya sedikit sahaja cecair mani yang masih bertakung di bahagian belakang vagina (kawasan posterior fourchette).

-Yang penting, sperma di dalam air mani tu yang akan berenang naik ke dalam saluran pangkal rahim (serviks) sebelum masuk ke ruang rahim dan seterusnya ke dalam tiub falopian.

-Air (cecair) tak boleh bergerak sendiri. Pancutan sewaktu ejakulasi juga tidak dapat menembak air mani terus masuk ke dalam rahim kerana di dalam saluran serviks ada lendir/mukus yang menyekatnya.

-Secara logiknya, darah haid dari rahim yang turun ke faraj akan keluar sebagai haid kan? Mana ada darah haid yang dah turun ke faraj akan naik semula ke dalam rahim?


Ada faham?



Maka, untuk meningkatkan peluang sebanyak mungkin sperma berenang memasuki saluran serviks;

- Selepas 'besama', baring selama kira-kira setengah jam. Tidak perlu meletak bantal di bawah punggung atau menonggeng atau apa sahaja posisi 'menarik' yang saya sering dengar dari pesakit. Cuma perlu berbaring terlentang atau mengiring ikut selesa sahaja. Kemudian, barulah bangun ke tandas untuk membersihkan kemaluan.




Kenapa setengah jam?

Sebab : persekitaran vagina sangat asidik (ini bagi memastikan kawasan vagina bebas dari jangkitan kuman). Selepas setengah jam, boleh dikatakan hampir kesemua sperma yang masih tertinggal di dalam vagina akan atau telahpun mati. Tak perlulah berbaring berjam-jam! Hanya sperma yang telah berjaya menembusi mukus serviks dapat bertahan selama beberapa hari lagi.




Apa akan jadi kalau cecair mani dimasukkan ke dalam ruang rahim (uterus)?

Bahaya. Ia boleh mengakibatkan keadaan 'anaphylactic shock' kerana bahan prostaglandin di dalam cecair mani tersebut boleh menyebabkan serangan seolah-olah kesan 'shock' selepas disengat tebuan.

Itulah sebabnya dalam prosedur IUI, sperma akan diasingkan daripada cecair mani.




"Jadi sebab itu jugalah selepas IUI, saya boleh bangun terus ya doktor?"

"Haa! Pandai pun!"

Dalam IUI, cecair yang mengandungi sperma terpilih hanyalah sebanyak 0.5ml sahaja dan dimasukkan terus ke dalam ruang rahim......

....dan saya akan keluarkan syringe dari laci dan menyedut air di dalam bekas yang disediakan sebelum menitiskannya di atas tapak tangan saya, sebagai demo betapa sedikitnya 0.5ml itu.



Mujur belum ada yang bertanya soalan ini :

"Kalau macam tu, boleh tak doktor bagitau macamana nak relax-kan otot faraj saya supaya ia boleh terus mengembang dan tak tolak air mani tu keluar. Dapatlah air mani bertakung dalam faraj saya banyak2?"


Dengan sifat generasi muda yang semakin bijak dan berfikir 'out-of-the-box' dan bertanya macam2 soalan yang tidak diduga ini, tak mustahil saya akan menerima soalan sedemikian tidak lama lagi.

Wednesday, 16 October 2013

'Sekolah lamaku'



Lama sudah saya tidak menjengah laman sesawang ini.
Telah berwajah baru.

Ini tidaklah menghairankan kerana mereka mempunyai staf IT yang kuat, sementara kami terpaksa berkongsi dengan keseluruhan jabatan2 di hospital Pantai KL itu. Nak masukkan ke dalam sesawang tatapan umum bukanlah mudah kerana terpaksa melalui tapisan bukan sahaja di peringkat PHKL tetapi di peringkat Pantai Holdings pula.
Tapisan demi tapisan.
Inilah sebabnya laman sesawang kami nampak seperti tidak di-update langsung.
Hmm....say no more.



Doktornya masih sama.
Dahulunya ada 3 orang kuat dan seorang baru sahaja join, kini setelah 10 tahun saya ke sana cuma ada tambahan seorang.

.
.
.

Inilah tempat saya menimba ilmu IVF.
Danke schön!




Inilah juga tempat saya belajar ilmu ultrasound bab kesuburan dengan teratur dan mendalam. Baru ku tahu nak mencari apa yang sepatutnya pada kaca monitor scan itu.

Benarlah kata pujangga;

"The eyes cannot see what the mind doesn't know"


Bukanlah setakat nak ukur 'kantung telur' dah besar ataupun tidak. Banyak informasi lain yang terpampang tetapi lazimnya tidak dikenali. Maka kepada mereka yang selalu mengadu kepada nurse saya 'kenapa Dr Adilah boleh nampak tapi sebelum ni tak ada orang pun bagitau saya ada macam tu?'; haaa...itulah jawapannya. Dan saya akan mengajak suami mereka sekali untuk melihat imej scan pada monitor itu. Dan mengajar mereka sekali macamana nak tengok.




Mereka (FCH) kini melaporkan peratus kejayaan setinggi 60-80% (kumulatif 3-4 cycles) dan data ini bukanlah data SS (syok sendiri) tetapi angka ini diperolehi daripada badan pendaftar IVF di negara itu (nampak ada perkataan ivf register di bahagian nota kaki laman?).

Itupun mereka terikat dengan peraturan-peraturan seperti : tidak boleh membekukan embrio melebihi tahap 2pn (umur sehari), mereka masih boleh mendapatkan peratus kejayaan setinggi itu.

Ya.
Di negara itu, ada satu badan berdaftar (IVF Register) yang memasukkan setiap nama mereka yang menjalani rawatan IVF dan dipantau hasilnya. Ini bukanlah wajib ke atas setiap pusat IVF di sana, ianya secara sukarela. Dan FCH telah menawarkan diri untuk 'diaudit'. Di sana juga hanya pusat IVF yang mencapai peratus kejayaan tertentu sahaja yang diberikan pembiayaan ke atas pesakit-pesakit (atas syarat-syarat tertentu).